Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Hadis sahih, Nu'man bin Basyir meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada segumpal daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Ingatlah bahawa perkara itu adalah hati." - Bukhari dan Muslim
SIDANG Parlimen baharu-baharu ini sangatlah kecoh.'Satu Malaysia' sudah tahu.Yalah, sekarang bukankah zaman ICT - daripada 'budak kecik' sampailah orang tua bangka - dapat saksikan gelagat ahli Parlimen yang bergelar 'Yang Berhormat'.
Sesetengahnya menjadikan sidang Parlimen kali ini macam sarkas. Mereka menjerit-jerit, melolong dan melakukan pelbagai aksi memalukan. Sungguh 'geli-geleman' untuk memanggil mereka 'Yang Berhormat'.
Berceloteh pasal 'budak kecik' ini, teringat saya kata-kata pedas seoprang guru yang sebelum ini biasa membawa anak-anak muridnya melawat Parlimen termasuk memasuki dewan perbahasan.
Selepas menyaksikan sidang Parlimen yang macam 'sarkas' itu, guru itu berkata dia 'tak ingin' lagi bawa anak-anak muridnya ke situ.
Antara lain beliau memberi komen:"Kita di sekolah bertungkus-lumus mendidik anak murid pasal disiplin termasuk berpegang kepada salah satu prinsip Rukun Negara - Kesopanan dan Kesusilaan - tetapi ahli Parlimen kita menunjukkan contoh terburuk...bagaimana ya, kita mahu bawa anak-anak murid kita ke sana?"
Perlakuan buruk sesetengah pemimpin kita (sudah mestinya termasuk ahli Parlimen) ada hubungan dengan melakukan pemisahan politik daripada agama. Atau mereka tak sedar atau terlupa akan hal itu?
Apabila politik tidak terikat dengan agama atau pemimpinnya terlupa atau buat-buat terlupa terikatan mereka dengan agama seperti soal akhlak (moral serta disiplin), penyelewengan termasuk ketika berbahas di Parlimen begitu berleluasa kerana matlamat menghalalkan cara.
Matlamat utama adalah untuk terus berkuasa (termasuk menunjukkan dia saja betul), jadi akan diusahakan perkara itu sekalipun tindak tanduk adalah berlawanan dengan ajaran agama. Berdasarkan slogan untuk berkuasa dulu, kini dan selamanya, tindakan halal dan batil bercampur-aduk, sedangkan kehidupan seseorang Muslim itu hendaklah berdasarkan hukum-hakam halal haram yang termaktub dalam ajaran agama.
Sekarang ini, pada bulan kemerdekaan (Ogos) dan Zulhijah yang penuh kebarakahan ini, sesetengah pihak menyemarakkan politik perkauman dan membela maksiat seperti rasuah dalam usaha mengekalkan kuasa.
Perkembangan ini begitu membimbangkan kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat termasuk diri kita sendiri. Amat bahaya jika setiap pemimpin bangsa mengapi-apikan kepentingan dan sentimen kaum masing-masing sedangkan perkara ini ditentang keras oleh Islam dan Rasulullah s.a.w. yang kedatangannya adalah untuk membawa rahmat kepada sekian alam, sekali gus mematikan semangat asabiyah jahiliah.
Kita bimbang jika pemimpin jahil menyemarakkan amalan jahilah ketika sambutan hari kemerdekaan. Adakah patut hari kemerdekaan yang begitu bermakna itu disemarakkan dengan majlis hiburan termasuk konsert yang membabitkan percampuran bebas lelaki-wanita.
Sewajarnya kesyukuran dipamerkan kerana bebas daripada cengkaman penjajah, bukan terikut-ikut dengan cara hidup Barat yang bukan bertunjangkan agama dan budaya kita.
Amat-amatilah apabila pemimpin hidup bermaksiat termasuk berleluasanya amalan rasuah dan penindasan (jauh daripada landasan agama), maka Allah Taala menurunkan bala yang turut menimpa rakyat.
Ini akan menyebabkan kehidupan rakyat tidak aman; jenayah seperti pembunuhan, perompakan, perzinaan dan buang bayi menjadi-jadi, menggambarkan institusi keluarga dan masyarakat serta negara sedang menuju kehancuran. Inilah neraka dunia, petanda kehidupan buruk akhirat nanti.
Syukurlah ulang tahun kemerdekaan sejak akhir-akhir ini kurangnya majlis-majlis liar yang menyebabkan anak muda kita tersasar termasuk dalam upacara dianjurkan pemimpin. Mungkin ada cahaya keinsafan, memberi kesempatan semua pihak terutama pemimpin membuang jauh-jauh majlis batil, sebaliknya menggantikannya dengan amalan mulia sejajar dengan kehendak agama.
Apa kata sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini, pemimpin disertai anak muda mengimarahkan masjid atau bersolat berjemaah dan berselawat beramai-ramai serta mengadakan majlis ilmu di dataran, merendahkan diri merayu kurnia-Nya termasuklah pembebasan (kemerdekaan) daripada api neraka. Ya lupakan majlis lara seperti membuat 'countdown' 10,9,8,7,6,5,4,3,2,1,,,Merdeka!.
Imam (pemimpin termasuk PM, menteri dan ahli Parlimen) adalah contoh ikutan, jadi bersempena sambutan kemerdekaan bertepatan dengan bulan mulia dan di ambang tahhun baharu Hijrah 1442, marilah kita mengorak langkah permulaan bagi menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara kita daripada neraka dunia, juga api neraka Allah SWT dengan tidak membiarkan diri kita terus bergelumang dalam kemaksiatan termasuk 'bersarkas' di Parlimen!
No comments:
Post a Comment