Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
KETIKA kembara solo berkapcai saya di utara Semenanjung tidak lama dulu, saya singgah di Masjid Kedah di pekan Parit Buntar. Ketika berehat-rehat di masjid ini, seorang 'syeikh' (seorang tua berserban dan berjubah) merapati saya dan bertanya khabar.
Beliau bertanya adakah saya lari dari rumah kerana ada masalah rumah tangga. Saya tidak menjawabnya sebalik tersengih saja. Mengapa 'syeikh' ini membuat andaian begitu? Bagi saya mungkin 'syeikh' ini terkesan dengan kes-kes penceraian suami isteri yang tinggi sekarang ini termasuk kes yang membabitkan pasangan veteran.
Sekarang ini musim haji, marilah kita 'fokus' sebentar kepada Jabal Rahmah yang menjadi tumpuan sesetengah jemaah 'bagi membicarakan' soal cinta mereka'. Di kemuncak Jabal Rahmah ada satu batu tanda besar - di sekitar batu ini mungkin kita akan terlihat pelbagai luahan cinta yang dilakar di batu. Misalnya Shah love Hanim...pasangan bercinta mungkin hanyut dibuai perasaan dengan lokasi dipercayai Nabi Adam a.s. dan Hawa bertemu buat pertama kali selepas 'tercampak' ke dunia.
Itu semasa cinta pada tahap terhangat tetapi mengapa selepas lama berkahwin, alam rumah tangga semakin lama semakin hambar dan pudar? Tidak ada lagi keinginan lagi mengukir ungkapan 'Shah love Hanim'...ya mengapa...apa sudah terjadi?
Selepas melayari bahtera perkahwinan kira-kira tiga dekad (30 tahun), saya akui cabaran mengekalkan rumah tangga semakin lama semakin tinggi...jadi tingkatkan penyerahan diri kepada Allah SWT...berdoalah banyak-banyak kerana manusia sebenarnya tidak berdaya...kita perlu kerap mengucapkan 'La haula wa la quwwata illa billah' yang bermaksud tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
Ya, sebagai insan biasa, kita juga cemaskan rumah tangga kita, berdoalah agar perkahwinan kita berkekalan hingga ke akhir hayat; bukan hingga ke anak cucu seperti diungkapkan sesetengah orang. Ini kerana ada juga pasangan veteran yang sudah beranak cucu terbabit dalam perceraian. Ertinya perkahwinan mereka berakhir selepas mereka mendapat anak cucu.
Mengenai rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat, seorang ustaz berkata suami isteri perlukan ilmu rumah tangga, termasuklah mengerti kurniakan Allah berupa mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu?
Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir."
Jatuh cinta adalah kurnia Allah SWT. Biasalah orang muda lelaki dan perempuan akan jatuh cinta jika ada 'chemistry' kata budak-budak muda sekarang. Apabila sudah bercinta, si pemuda teruslah meminang dan cepat-cepatlah nikah bagi mengelakkan terjebak daripada melakukan maksiat.
Tidak payahlah buat macam budak-budak muda zaman sekarang. Bertunang dijadikan lesen untuk mengusung anak dara orang tidak kira siang dan malam. Mak bapak pun diamkan saja. Semuanya haram dan berdosa.
Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah.
Semuanya indah, semuanya cantik. Pujian melangit diberikan kepada pasangan masing-masing. Si teruna akan berkata kepada si dara "Dinda adalah satu antara 1,000", manakala si dara akan berkata kepada si teruna, "Abanglah lekaki paling handsome (kalah Shah Rukh Khan) di dunia ini." Itulah yang disaksikan berdasarkan ukiran cinta di Jabal Rahmah.
Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah.
Biasalah manusia, daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang handsome tadi, anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Jika fizikal sudah 'longlai', adakah cinta turut mahu dibiarkan 'terlerai'? Demikianlah, kalau cinta berdasarkan 'body', kecantikan tak akan kekal, Lambat laun pasti pudar, malah 'body' pasangan kita yang dulunya cun atau sado, akhirnya akan dihantar ke kubur!
Pakailah alat mekap macam mana pun, tua tetap datang, kulit mulai berkedut, laki pun tidak lagi mengucapkan kata-kata hikmat "kau sentiasa di hatiku." "Untuk mengucapkan "I love you, atau aku cinta kamu", sudah terasa geli-geleman pada sesetengah orang. Apatah lagi jika kata-kata itu diucapkan di depan anak cucu, mereka akan berkata nanti, "orang tua ni dah buat tabiat ke?"
Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal sekali pun kau sudah 'condemn', aku tetap menyayangimu! Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri.
Bukalah mata dan hati kamu luas-luas, kamu akan dapati ada suami yang terus melayani si isteri sekalipun orang rumahnya itu telah 'tersadai' di atas katil kerana berpenyakit, demikian juga ada isteri yang terus setia sekalipun suami sudah terperosok di atas kerusi roda.
Demikianlah betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurnikannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda dan kemudian bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman?
Jadi bagi pasangan suami isteri berusahalah untuk mendapatkan kasih sayang rahmah itu. Ini kerana makin lama sesebuah perkahwinan itu, makin hilanglah mawaddahnya (sebagai contoh keinginan seks semakin lama semakin menurun).
Bagi si isterilah tambatlah suami anda dengan ciri-ciri hebat anda seperti melayan makan minum dan menyediakan pakaiannya manakala bagi si suami tunjukkan keprihatinan anda seperti merawatnya ketika dia sakit.
Masakan sesuatu pasangan itu ada rahmah jika si isteri tidak mempedulikan makan minum dan rumah tangga si suami kerana kerap berada di luar melayani kepentingan kerjayanya manakala si suami asyik-asyik mengugut nak kahwin satu lagi kerana si isteri selalu sakit.
Fikir-fikirkanlah, marilah kita (termasuk saya) mencari rahmah selepas era mawaddah berakhir akibat ketuaan diri. Semua orang akan tua kerana tua tidak diminta tetapi ia datang sendiri. Jika kita sudah mendapatkan 'rahmah' (bukan wanita bernama Rahmah), insya-Allah kita tak akan LARI dari rumah tangga kita! Kalau mampu selalulah singgah di Jabal Rahmah (tunai umrahlah) bagi menyemarakkan cinta...
No comments:
Post a Comment