Friday, August 3, 2018

Jangan lari... (1): Dekati Allah, bukan lari daripada-Nya!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

"SILA duduk dan jangan lari..."usikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebelum merasmikan pembukaan penggal Parlimen terkini, memberi ilham kepada saya untuk menulis episod baharu dalam kolum ini yang saya namakan 'Jangan lari'...

Subhanallah, dalam menjalani kehidupan termasuk diri penulis sendiri, kita kerap melarikan diri daripada pelbagai perkara seperti tanggungjawab. Kita culas daripada menunaikan amanah...kita lari daripada ini semua, sebahagian besarnya kerana bagi menyelamatkan tengkok kita sendiri

Apabila melakukan perkara kurang baik, kita lari daripada pihak berkuasa seperti polis, SPRM dan JPJ. Kita lari kerana tidak mahu tindakan diambil terhadap diri kita. Sebagai contoh mudah, saya memaparkan pengalaman sendiri untuk direnung dan difikirkan bersama.

Ketika berada di bangku sekolah menengah dulu, ramai kawan-kawan saya (termasuk diri inilah) mula 'belajar' menghisap rokok. Suatu hari ketika 'sting' di satu lokasi, pengetua dapat mengesan kami. Ketika pengetua menyerbu, kami pun lari...ada bergegas ke belukar, ada di sebalik bangunan dan ada yang tak sempat berfikir lantas masuk ke dalam bilik mandi dan tandas!

Malang bagi mereka yang memasuki bilik ini kerana ia tiada jalan keluar (ada satu pintu saja). Namun bilik ini besar (bagi menampung keperluan pelajar asrama) - ada banyak kamar mandi dan tandas...jadi pengetua terpaksa memeriksa dari satu tandas ke tandas dan bilik mandi menyebabkan ada pelajar berkesempatan menyerbu keluar dan lari...Terasa amat melucukan walaupun dalam keadaan 'tegang' itu pengetua kami menjerit, "Jangan lari, aku dah nampak kau!"

Pelajar 'apa peduli' dengan gertakan itu. Yang penting, mereka mahu menyelamatkan diri. Pembaca mahu tahu apa hukuman jika tertangkap? 'Public caning' (kena rotan di khalayak ramai)...jadi seboleh-boleh mereka mahu 'meloloskan' diri. Mereka lari, lari dan terus lari...

Pada hari kejadian, tiada seorang pun pelajar tertangkap. Apabila bertemu semula pada hari lain, pelajar menceritakan semula episod itu...mereka ketawa berdekah-dekah terutama apabila mengulangi dan mengejek-ejek gertakan pengetua - "Jangan lari, aku dah nampak kau..." Ya, nampak saja tak cukup selagi tangkapan tak dibuat...jadi 'selamatlah' kami pada hari berkenaan!

Itu pengalaman pada masa 'budak-budak'...yalah kita lari kerana takutkan sesuatu, sekarang ini pada usia tak berapa muda (cuba mengelak daripada perkataan tua), kita mula bertatih-tatih mengenal diri sendiri dan Pencipta kita iaitu Allah SWT, kita faham atau baru mahu faham bahawa jika takutkan Allah SWT (misalnya bimbang bagaimana nasib kita dalam kubur atau di akhirat nanti), kita tidak diperlukan melarikan diri daripada-Nya tetapi merapati-Nya. Ya, kata ustaz-ustaz, jangan lari daripada Allah tetapi rapati-Nya!

Teringat saya sebuah hadis...antara inti kata yang saya boleh ingat adalah; jika kamu berjalan kepada Allah, Dia akan berlari kepadamu.  Jadi jangan lari daripada Allah. Saya semak hadis tersebut; ungkapan (terjemahan) sebenarnya adalah: Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata: Nabi s.a.w. bersabda: "Allah Ta'ala berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika dia ingat kepada-Ku dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik daripada kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Mengenai cara mendekatkan diri pada Allah SWT, cendekiawan (Pesantrenonline) antara lain mengungkapkan: 

1.    Selalu bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT.
Dalam aspek ini kaitannya dengan apa yang sudah kita dapatkan. Allah SWT selalu menguji hamba-Nya dengan harta, kelaparan, dan kehausan. Dari sanalah Allah SWT akan tahu siapa hamba-Nya yang benar-benar bersyukur dan mana hamba-Nya yang hanya mencintai duniawi tanpa memikirkan kehidupan akhirat yang justeru itulah kehidupan yang sebenarnya.
2.    Selalu mengucap istigfar ketika melakukan kesalahan.
Hal ini adalah hal yang paling mudah dilakukan namun tidak semua orang dapat mengamalkannya. Jika mengucap istigfar saja tidak bisa bagaimana bisa seorang hamba dekat dengan Tuhan-Nya? Sejatinya mengakui kesalahan dan bersegera untuk berdataubat adalah salah satu jalan yang harus di lalui untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
3.    Menjalankan kewajiban dan menjauhi larangan-Nya.
Kewajiban utama seorang hamba adalah menjalankan apa yang sudah diwajibkan. Seperti solat, zakat, puasa, dan melakukan haji bagi mereka yang sudah mampu. Bahkan dijelaskan di dalam al-Quran bahwa solat adalah hal pertama yang ditanyakan di dalam kubur
4.    Mengamalkan berbagai-bagai amalan yang sudah turun-temurun sejak zamannya para Nabi.
Amalan di sini adalah sejenis amalan ang dapat menghantarkan kita untuk sesegera mungkin berdekatan dengan Allah SWT. Beberapa orang pada zamannya para Nabi sering melakukan berbagai-bagai amalan yang disunnahkan. Seperti dengan berzikir, melakukan perbuatan baik, dan banyak hal lain yang berhubungan dengan usaha batiniyah yang dilakukan. Bahkan usaha ini tidak hanya akan mendekatkan diri kepada Allah SWT, melainkan juga terpenuhinya hajat yang diminta dalam menjalani kehidupan duniawi.
5.    Selalu berprasangka baik kepada Allah SWT
Allah SWT selalu menguji hamba-Nya dengan perkara apa pun. Sebagai seorang hamba, kita hanya diwajibkan untuk selalu husnudzan kepada-Nya. Kerana bisa jadi apa yang kita anggap buruk justeru itulah hal yang membuat kita menjadi lebih baik. Pada dasarnya berfikir negatif sangat berbahaya bagi kehidupan. Allah SWT berfirman, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS: Al-Baqarah [2]: 216).
Beberapa hal di atas hanyalah sebahagian daripada beberapa cara yang biasa digunakan oleh mereka yang ingin semakin dekat dengan Sang Maha Pencipta. Tentu masih banyak hal lain yang dapat dilakukan. Inti daripada usaha ini adalah dengan semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menjauhi larangan-Nya dan melakukan kewajiban yang sudah diwajibkan kepada setiap hamba. 
Jadi tidak wajar (salah) kita lari daripada Allah SWT sebaliknya perlu mendekati-Nya serapat-rapatnya!

No comments: