Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
NEGARA kita pernah dilanda jerebu teruk beberapa kali. Antaranya jerebu pada tahun 1996 yang turut melanda negeri Sarawak. Pada detik penuh gelisah itu, sejumlah anak dan isteri orang besar Sarawak sudah dihantar ke luar negara. Kerana jerebu saja mereka sudah lari, apatah lagi jika negeri atau negara dilanda musibah lebih besar.
Ketika Johor di landa banjir, ada pemimpin pergi makan nasi kandar di Australia. Mereka memilih untuk merasmikan sebuah restoran di negara orang daripada makan nasi kawah bersama rakyat yang dilanda bah. Demikianlah pemimpin ketika pilihan raya bermati-matian bercakap hidup mati mereka bersama rakyat, tetapi apabila terjadi musibah, sesetengah mereka segera bertindak menyelamatkan keluarga dan diri masing-masing dulu, nasib rakyat dikemudiankan.
Pemimpin 'auta' dan kaki kelentong ini cakap berdegar-degar. Minta rakyat berkorbanlah untuk negara; mempertahankan negara ke titisan darah terakhirlah, berjimat cermatlah dan ubah gaya hidup selepas kenaikan harga minyak, tetapi diri sendiri dan anak bini kaki joli, boros - menghabiskan harta negara, termasuk ketika berada di luar negara seperti di Dubai dan London.
Mereka meminta rakyat beramanahlah, sedangkan mereka khianat, melarikan wang berkarung-karung ke luar negara. Minta rakyat cintakan bahasa kebangsaanlah, sedangkan mereka menghancurkannya, menjayakan sesuatu projek untuk mengisi kantung sendiri dan kroni-kroni.
Pemimpin jenis tak tahu malu ini meminta rakyat bersikap patriotik, tetapi apabila berlaku jerebu, mereka hantar anak bini ke 'oversea', bercuti di Los Angeles dan Australia. Anak-anak orang besar termasuk menteri juga ke hantar belajar di luar negara, tidak payah mengikuti sukatan pelajaran di tanah air yang tiada standard ini.
Tak tahulah apa tindakan mereka jika meletus huru-hara dan perang. Agaknya mereka yang pertama hantar keluarga masing-masing ke 'oversea', biarlah rakyat hadapi kemelut itu. Berjuanglah rakyat ke titisan darah terakhir, kata mereka.
Pada ketika kehidupan rakyat meruncing dan terpaksa mengikat perut disebabkan kenaikan harga barang-barang, ramai daripada anggota keluarga terhormat ini masih ber'shopping' di London, Paris dan Dubai.
Masih ramai yang menunjukkan kemewahan dengan kenduri kahwin macam 'pesta puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam dan wang hantaran puluhan malah ratusan ribu ringgit.
Mereka terus boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama majalah, surat khabar dan TV terus menyiarkan kisah dan gambar perkahwinan 'luar biasa' ini. Apakah ini untuk dicontohi oleh rakyat yang saban hari bersarapan cekodok, lempeng, ubi rebus, nasi sejuk dan lauk lebihan semalam dengan kopi O panas atau pun air suam saja disebabkan gula dan kopi sudah naik harga?
Ketika musim pilihan raya ramai pemimpin sumpah-sumpah berkeliaran dalam masyarakat. Bukan main sopan santunnya kepada rakyat. Mesra rakyatlah, berjiwa rakyatlah; boleh jual ikanlah, boleh goreng mi, mereka berlagak seolah-olah senang susah rakyat adalah seiring dengan kehidupan mereka. Hakikatnya mereka tinggal di istana kayangan sedangkan rakyat di pondok buruk yang menunggu masa menyembah bumi.
Bagi calon-calon pilihan raya pula, masa meraih undi inilah kita nak tergelak tengok mereka tunjuk aksi pandai tunggang motosikal, basikal, naik becalah, masuk bawah kolong rumah oranglah dan masuk bendanglah.
Adegan ini masa meraih undi saja, lepas mereka jadi wakil rakyat, jadi YB jangan haraplah mereka buat kerja itu. Nanti dikatakan YB gilakah masuk bawah rumah orang? Tanyalah pada calon pemimpin BN yang masuk bawah rumah orang malah ada yang sanggup pikul keranda mayat.
Itulah namanya, banyak orang sudah jadi sumpah-sumpah pada masa pilihan raya. Binatang jenis sesumpah ini berlakon saja. Berlakon baik apabila diperlukan baik, dan berlakon jahat apabila diperlukan jahat. Itu depan orang, belakang orang siapa tahu? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Kalau dah tahu begitu tak baiknya spesies sesetengah calon, buat apalah dipilih pemimpin jenis sesumpah ini? Banyak orang kata, mereka mengikut saja. Orang undi pemimpin itu, aku pun undilah. Ketua kampung, imam kampung, pengerusi JKKK dan tok siak kampung pilih dia maka aku pun pangkahlah. Orang kata Pak Loh tu baik, aku pun pangkah Pak Loh.
Orang yang jenis ikut-ikut ini hendaklah takut akan ayat-ayat Allah, seperti Al-A'Raaf ayat 38-39 ini yang bermaksud: "...berkata golongan akhir (pengikut) mengenai golongan pertama (ketua) "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, oleh itu berilah azab seksa yang berlipat ganda dari neraka." Allah berfirman "kamu masing-masing disediakan azab seksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui." Dan berkata golongan ketua di antara mereka kepada golongan pengikut "Jika begitu tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami." Allah berfirman "rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang telah kamu usahakan."
Demikianlah, janganlah diundi pemimpin dan calon sumpah-sumpah ini. Jangan fikir kita boleh terlepas tangan dengan perbuatan zalim dan kesesatan mereka (melesenkan arak, menggalakkan judi, pub dan disko, konsert sana konsert sini seperti Sure...) yang dilakukan sesetengah pemimpin ini sedangkan kita relakan tangan kita mengundi mereka. Oleh itu berfikirlah sebelum mengundi, bagaimana mahu menyelamatkan diri, anak isteri dan sekian muslimin dan muslimat daripada azab Allah SWT sebelum memangkah nanti.
Selepas rakyat nampak kemunafikan pemimpin-pemimpin ini, apakah mereka mahu terus dipilih memimpin kita? Pemimpin inilah yang awal-awal LARIKAN anak bini ke ‘oversea’ ketika musibah menimpa negara seperti jerebu dan banjir sedangkan rakyat didahulukan untuk menderita. Jadi, kepada pemimpin jangan lari; kepada rakyat yang mengundi, tepuk dada, tanyalah selera.
No comments:
Post a Comment