Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
SESEKALI ketika berkenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) laluan Kuala Lumpur - Melaka (Ayer Keroh), termenung saya seketika melihat papan tanda persimpangan bertingkat baharu bertulis Ainsdale dan Southville City. Terfikir di 'otakku', saya ini berada di Malaysia ke, England ke, Afrika Selatan ke?
Kemudian baru-baru ini aku mendengar khabar, kerajaan negeri Kelatan 'mengambil langkah ke depan' dengan menamakan semula Tanah Tinggi Lojing sebagai Lojing Highlands...lagi sekali 'otakku' berfikir keras; Kelantan ni sebuah negeri di United Kingdom ke, Amerika Syarikat ke atau Malaysia ke?
'Apa ke bendanya' (logik tak) apabila ada pihak berkata keputusan kerajaan negeri Kelantan untuk menukar nama kepada Lojing Highlands adalah satu keputusan baik bagi merancakkan pembangunan kawasan tanah tinggi itu. Yalah, kalau tak tukar nama kepada 'keinggerisan' itu tak akan majukah Lojing? Kalau macam tu, lebih baik tukar nama Kelantan itu kepada nama yang lebih 'glamour'. Mungkin lebih baik tukar nama ibu negeri, Kota Bharu kepada Newcastle!
Kalaulah nama-nama ini wujud ketika zaman penjajahan seperti Slim River, Fraser's Hill, Cameron Highlands bolehlah difahami tetapi sekarang ini selepas negara di ambang untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-61, 'entahlah' apa yang diperlu dikatakan kepada golongan yang 'syok' dengan nama-nama keinggerisan ini!
Jika dulu ada keazaman pemerintah untuk menukar nama-nama tempat seperti Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang dan Port Weld kepada Kuala Sepetang, sekarang ini nampaknya banyak pihak terutama pemaju hartanah swasta hatta sebuah kerajaan negeri pun memilih nama-nama 'keinggerisan' bagi membuktikan kononnya 'keglobalan' masing-masing. Ya, seolah-olah nama-nama berciri tempatan dan bahasa kebangsaan tidak ada nilai terutamanya dari segi komersial. Tak ada 'standard'.
Berhubung isu penjenamaan semula Tanah Tinggi Lojing sebagai Lojing Highlands, penulis tertarik dengan pandangan pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan yang mendakwa pemilihan nama itu sebagai tindakan mahu menghapus imej dan bahasa kebangsaan.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Hazmi Hassan, dipetik sebagai berkata: "Saya sokong tindakan kerajaan yang berhasrat membangunkan kawasan Tanah Tinggi Lojing dengan penjenamaan semula kawasan tersebut namun nama yang dipilih jelas menghapus imej dan bahasa kebangsaan dalam peta Malaysia.
"Kerajaan Kelantan juga memperlihat sikap hipokrit kononnya mahu membela bahasa kebangsaan namun memilih satu nama yang jelas memperlekeh bahasa kebangsaan. Seolah-olah sesuatu kawasan itu hanya boleh maju sekiranya ia dijenamakan dalam bahasa Inggeris."
Pandangan Hazmi mungkin keras, bagi penulis mungkin kerajaan negeri Kelantan TERLEPAS PANDANG sehubungan itu dicadangkan ia membaiki segera kesilapan ini...ya tidak ada rugi untuk mengaku salah...mintalah MAAF dan marilah kita sama-sama mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Ya, selepas lebih enam dekad negara kita merdeka, kita insya-Allah tidak mahu dengar lagi semakin banyak nama-nama keinggerisan muncul di negara kita...dulu (sebelum Merdeka) kita ada Brickfields (masih kekal sehingga sekarang), Port Dickson (masih kekal), Georgetown (masih kekal) tetapi selepas Merdeka apatah lagi selepas 'Kemerdekaan Ke-2' ini (kerana tumbangnya rejim feudal Umno BN) tolonglah, usah diperbanyak nama keinggerisan seperti Forest City, Ainsdale, Southville City dan Lojing Highlands! Nanti lama-lama negara ini pun dinamakan Malayland...takut aku!
No comments:
Post a Comment