Sunday, August 26, 2018

Kg Abdullah Hukum; di manakan kucari ganti...


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

BARU-BARU ini saya membawa seorang anak gadis saya ke tempat interbiu kerja di Bangsar South. Saya yang memandu kereta dari Melaka teragak-agak mencari tempatnya sekalipun 20-30 tahun lalu saya bermastautin di sini kerana bekerja di NSTP.

Tapak Bangsar South ini dulunya adalah Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi. Teringat saya semasa mula-mula belajar memandu kereta semasa bujang dulu, sebuah kedai 'lesen L' di Kampung Abdullah Hukum menjadi tempat kunjungan. Teringat saya dalam satu sesi belajar memandu, pakcik pengajar mengajak saya 'cepat-cepat cabut' selepas saya terlanggar 'bontot' sebuah kereta yang di pakir.

Sekalipun kereta berkenaan tiada kesan calar, pakcik berkenaan suruh saya 'cabut' kerana kononnya 'dia tak mahu cari pasal'. Hari ini bukan saja kedai berkenaan tiada, Kampung Abdullah Hukum pun tiada lagi dalam peta. Semuanya sudah memberi laluan kepada apa yang dinamakan pemodenan dan kemajuan - yang tersergam menongkah langit adalah menara dan bangunan Bangsar South.

Kalau Kampung Abdullah Hukum sendiri sudah tiada, agak-agak tahu tak generasi sekarang siapakah dia Abdullah Hukum. Orang segenerasi saya pun tidak tahu apatah lagi generasi baru. 

Alhamdulillah, tidak lama dulu, saya ada membaca buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum (antara tokoh peneroka Kuala Lumpur) yang antara lain menyatakan: 

"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850. 

"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.

"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabok Batu Tiga (ini kampung saya - penulis). Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.

"Perniagaan masa itu banyak di tangan orang Melayu; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."

Selepas Melaka, Abdullah Hukum dikatakan telah berhijrah ke Kuala Lumpur, menjadi salah seorang peneroka awal di sana. Beliau telah membuka Kampung Abdullah Hukum di Bangsar, tetapi sayang seribu kali sayang, kampung ini tidak wujud lagi.

Lenyapnya Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi digantikan Bangsar South sewajarnya menyedarkan bahawa sebenarnya kita kehilangan khazanah bangsa yang sangat berharga. Sebahagian sejarah bangsa telah terpadam meninggalkan emosi menyayukan hati sesetengah daripada kita yang masih bernostalgia mengenai zaman itu.

Kedua-dua kampung di KL yang sudah lenyap ini, tidak mungkin berganti tetapi ibu kota kita masih 'menyimpan' saki baki khazanah bangsa (kampung Melayu) di dada kota seperti Kampung Baru yang sudah acap kali mahu dilenyapkan tetapi alhamdulillah masih berdiri sasa.

Berbanding Kampung Abdullah Hukum dan Kerinchi, Kampung Baru adalah lebih dekat di hati saya. Saya pernah tinggal di sini, ingatan akan tempat makan minum di banyak gerai di sini tidak akan terpadam daripada minda...ya jika Kampung Baru lenyap ia adalah mimpi buruk bagi diri ini dan mungkin juga sebahagian besar anak perantau ke KL, tidak kira mereka dari dekat atau dari jauh seperti Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak malah Pattani dan Indonesia.

Dengan terdiri kerajaan baharu daripada puing-puing rejim lama, pemimpin Malaysia Baharu diharapkan dapat beriltizam untuk memulihara khazanah bangsa yang mungkin tidak dapat dicari ganti seperti Kampung Baru. Biarkan Kampung Baru menongkah arus...biarkan ia terus hidup dengan nama dan identiti asalnya (Kampung Baru) dan bukan nama komersial baru seperti KL New Village!

Saturday, August 25, 2018

Jangan lari... (5): Suami isteri veteran; carilah rahmah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

KETIKA kembara solo berkapcai saya di utara Semenanjung tidak lama dulu, saya singgah di Masjid Kedah di pekan Parit Buntar. Ketika berehat-rehat di masjid ini, seorang 'syeikh' (seorang tua berserban dan berjubah) merapati saya dan bertanya khabar.

Beliau bertanya adakah saya lari dari rumah kerana ada masalah rumah tangga. Saya tidak menjawabnya sebalik tersengih saja. Mengapa 'syeikh' ini membuat andaian begitu? Bagi saya mungkin 'syeikh' ini terkesan dengan kes-kes penceraian suami isteri yang tinggi sekarang ini termasuk kes yang membabitkan pasangan veteran.

Sekarang ini musim haji, marilah kita 'fokus' sebentar kepada Jabal Rahmah yang menjadi tumpuan sesetengah jemaah 'bagi membicarakan' soal cinta mereka'. Di kemuncak Jabal Rahmah ada satu batu tanda besar - di sekitar batu ini mungkin kita akan terlihat pelbagai luahan cinta yang dilakar di batu. Misalnya Shah love Hanim...pasangan bercinta mungkin hanyut dibuai perasaan dengan lokasi dipercayai Nabi Adam a.s. dan Hawa bertemu buat pertama kali selepas 'tercampak' ke dunia. 

Itu semasa cinta pada tahap terhangat tetapi mengapa selepas lama berkahwin, alam rumah tangga semakin lama semakin hambar dan pudar? Tidak ada lagi keinginan lagi mengukir ungkapan 'Shah love Hanim'...ya mengapa...apa sudah terjadi?

Selepas melayari bahtera perkahwinan kira-kira tiga dekad (30 tahun), saya akui cabaran mengekalkan rumah tangga semakin lama semakin tinggi...jadi tingkatkan penyerahan diri kepada Allah SWT...berdoalah banyak-banyak kerana manusia sebenarnya tidak berdaya...kita perlu kerap mengucapkan 'La haula wa la quwwata illa billah' yang bermaksud tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
Ya, sebagai insan biasa, kita juga cemaskan rumah tangga kita, berdoalah agar perkahwinan kita berkekalan hingga ke akhir hayat; bukan hingga ke anak cucu seperti diungkapkan sesetengah orang. Ini kerana ada juga pasangan veteran yang sudah beranak cucu terbabit dalam perceraian. Ertinya perkahwinan mereka berakhir selepas mereka mendapat anak cucu. 



Mengenai rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat, seorang ustaz berkata suami isteri perlukan ilmu rumah tangga, termasuklah mengerti kurniakan Allah berupa mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu? 

Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." 

Jatuh cinta adalah kurnia Allah SWT. Biasalah orang muda lelaki dan perempuan akan jatuh cinta jika ada 'chemistry' kata budak-budak muda sekarang. Apabila sudah bercinta, si pemuda teruslah meminang dan cepat-cepatlah nikah bagi mengelakkan terjebak daripada melakukan maksiat. 

Tidak payahlah buat macam budak-budak muda zaman sekarang. Bertunang dijadikan lesen untuk mengusung anak dara orang tidak kira siang dan malam. Mak bapak pun diamkan saja. Semuanya haram dan berdosa.

Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah. 

Semuanya indah, semuanya cantik. Pujian melangit diberikan kepada pasangan masing-masing. Si teruna akan berkata kepada si dara "Dinda adalah satu antara 1,000", manakala si dara akan berkata kepada si teruna, "Abanglah lekaki paling handsome (kalah Shah Rukh Khan) di dunia ini." Itulah yang disaksikan berdasarkan ukiran cinta di Jabal Rahmah.

Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah. 

Biasalah manusia, daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang handsome tadi, anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Jika fizikal sudah 'longlai', adakah cinta turut mahu dibiarkan 'terlerai'?  Demikianlah, kalau cinta berdasarkan 'body', kecantikan tak akan kekal, Lambat laun pasti pudar, malah 'body' pasangan kita yang dulunya cun atau sado, akhirnya akan dihantar ke kubur!

Pakailah alat mekap macam mana pun, tua tetap datang, kulit mulai berkedut, laki pun tidak lagi mengucapkan kata-kata hikmat "kau sentiasa di hatiku." "Untuk mengucapkan "I love you, atau aku cinta kamu", sudah terasa geli-geleman pada sesetengah orang. Apatah lagi jika kata-kata itu diucapkan di depan anak cucu, mereka akan berkata nanti, "orang tua ni dah buat tabiat ke?"

Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal sekali pun kau sudah 'condemn', aku tetap menyayangimu! Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri.

Bukalah mata dan hati kamu luas-luas, kamu akan dapati ada suami yang terus melayani si isteri sekalipun orang rumahnya itu telah 'tersadai' di atas katil kerana berpenyakit, demikian juga ada isteri yang terus setia sekalipun suami sudah terperosok di atas kerusi roda. 

Demikianlah betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurnikannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda dan kemudian bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman? 

Jadi bagi pasangan suami isteri berusahalah untuk mendapatkan kasih sayang rahmah itu. Ini kerana makin lama sesebuah perkahwinan itu, makin hilanglah mawaddahnya (sebagai contoh keinginan seks semakin lama semakin menurun). 

Bagi si isterilah tambatlah suami anda dengan ciri-ciri hebat anda seperti melayan makan minum dan menyediakan pakaiannya manakala bagi si suami tunjukkan keprihatinan anda seperti merawatnya ketika dia sakit. 

Masakan sesuatu pasangan itu ada rahmah jika si isteri tidak mempedulikan makan minum dan rumah tangga si suami kerana kerap berada di luar melayani kepentingan kerjayanya manakala si suami asyik-asyik mengugut nak kahwin satu lagi kerana si isteri selalu sakit. 

Fikir-fikirkanlah, marilah kita (termasuk saya) mencari rahmah selepas era mawaddah berakhir akibat ketuaan diri. Semua orang akan tua kerana tua tidak diminta tetapi ia datang sendiri. Jika kita sudah mendapatkan 'rahmah' (bukan wanita bernama Rahmah), insya-Allah kita tak akan LARI dari rumah tangga kita! Kalau mampu selalulah singgah di Jabal Rahmah (tunai umrahlah) bagi menyemarakkan cinta...

Thursday, August 23, 2018

Jangan lari... (4): Menegakkan syiar Islam, hukum hakamnya kewajipan setiap Muslim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

MENEGAKKAN syiar Islam dan hukum hakamnya adalah kewajipan setiap Muslim; jadi kepada semua termasuklah diri ini, jangan lari daripada amanah dan tanggungjawab ini

Di negara kita tercinta sekarang ini, Islam dan umatnya diserang dari pelbagai penjuru termasuk yang membabitkan media baharu. Sempena kehadiran bulan haji yang kemuncaknya nanti Hari Wukuf di Arafah dan Hari Raya Korban, marilah kita merenung antara doa yang kita panjatkan di sana sebagai satu muhasabah sama ada kita berada di jalan-Nya yang lurus atau tidak.

Antara doa itu bermaksud: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Belas Kasihan, terimalah segala permintaan kami, wahai Tuhan yang menerima segala permintaan mereka semasa dalam kecemasan. Wahai Tuhan, apabila menghendaki sesuatu berlakulah perkara itu dengan tidak dapat dirintangi lagi.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, kami ini datang beramai-ramai untuk mendapatkan keampunan daripada Engkau di atas segala dosa kami. Janganlah Engkau kecewakan kami, berilah kepada kami seperti yang Engkau berikan kepada hamba-hamba Engkau yang salih. Janganlah Engkau palingkan kami daripada tempat suci ini, melainkan kami mendapat kemenangan dan tidak kecewa, tidak menyesal dan tidak pula kami daripada golongan orang yang sesat dan menyesatkan. Wahai Tuhan Yang Amat Mengasihani.

“Ya Allah, Ya Tuhan kami! Berilah petunjuk dan taufik kepada kami. Peliharalah kami daripada terjerumus dalam lembah kejahilan dan kemusnahan, selamatkan kami daripada segala penyakit jiwa, jadikanlah kami daripada golongan orang yang menjauhkan diri daripada runtunan hawa nafsu yang buas kerana itulah sejahat-jahat musuh yang berjangkit ya Allah, jadikan kami daripada golongan mereka yang sentiasa menghadapi Engkau tidak kepada yang lain. Bawalah kami ke jalan Engkau, kasihan belaslah, ketika kami bertadharuk bersemadi terhadap Engkau.

“Ya Allah, perbetulkan kami kiranya kami telah menyeleweng, perkuatkanlah kami dalam pendirian kami, hidupkan kami dalam iman dan taat kepada Engkau, matikan kami di dalam Islam, daripada golongan mereka yang bertaubat, begitu juga semasa soal di akhirat. Jadikanlah kami daripada mereka yang yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan, jadikan kami daripada golongan mereka yang beroleh keamanan pada hari kiamat, berilah kesukaan kepada kami, ya Allah dengan dapat memandang wajah Engkau Yang Mulia dengan berkat rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.” 

Jadi dalam isu terkini di tanah air kita seperti perlakuan sesetengah pihak dan individu di kalangan orang Islam sendiri yang memandang rendah (mempersenda) syiar dan hukum hakam Islam seperti soal penutupan aurat, memperjuang seks dan gaya hidup songsang dan menghina usaha pendaulatan perundangan Islam, di manakah diri kita dalam menegakkan Islam - tanyalah diri sendiri sama ada tindakan kita sejajar dengan apa yang kita doakan di Tanah Suci terutama di Arafah, Mina dan Mudzalifah.

Tidak menjadi masalah jika orang bukan Islam tidak mahukan peraturan Islam dan sebuah negara yang mendaulatkan hukum-hakam Islam kerana sah dia bukan seorang Islam, tetapi yang menjadi persoalannya mengapa orang yang mengaku Islam termasuk pihak berkuasa tidak mahu mendaulatkan hukum-hakam Islam. Mungkinkah mereka sudah berusaha ke arah itu atau mereka sebenarnya dalang yang menghalang Islam daripada memerintah negara ini? Selayaknya Islamlah yang memerintah dan bukan diperintah kerana pengakuan setiap Muslim, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Taala.

Menegakkan perundangan Islam hanya boleh dilaksanakan negara dan bukan secara individu, namun perintah ini tersangat berat kerana setiap Muslim wajib bertindak ke arah itu, sekurang-kurangnya mempunyai niat atau cita-cita mencapai matlamat itu. Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti.

Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi. Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan begitulah seterusnya. Kemudian kita perlu ada jemaah bagi memperjuangkannya. Jika kita tidak mampu ke arah menegakkan hukum-hakam Islam, berilah sokongan tidak berbelah bagi kepada jemaah yang mahu menegakkannya.

Malangnya, apa yang berlaku hari ini, bukan saja jemaah yang mahu menegakkan hukum-hakam Islam tidak dibantu, usaha mereka mahu digagalkan termasuklah dengan melakukan fitnah dan sekatan. Malah ada pula di kalangan umat Islam sendiri yang mempromosi cara hidup songsang dan lebih menakutkan mereka mahu memaksa masyarakat mengiktiraf kehidupan sesat mereka itu.

Panduan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dan masyarakat seperti menegakkan hukum-hakam Islam sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan sendiri? 

Tidak mahu mengikut garis panduan kehidupan yang ditetapkan Allah SWT dan enggan menerima hukum-hakam-Nya bermakna tidak takutkan Allah, sombong pada-Nya. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah. Jika Allah SWT yang memberikan segala-galanya kepada kita, tidak mahu kita turuti, kita mahu ikut cakap siapa? Iblis, syaitan?



Kepada mereka yang sudah berada di laluan menegakkan Islam, JANGAN LARI jika mendapat tentangan yang semakin perit hari demi hari...ingatlah kembali kisah Nabi Yunus a.s.; baginda yang meninggalkan kaumnya dihukum Allah SWT dengan ditelan ikan nun (paus). Baginda Nabi Yunus a.s. memohon pengampunan dengan berdoa 'La ilaha illa anta. Subhanaka inni kuntu minaz zolimin' yang bermaksud: "Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan Engkau, ya Allah. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang yang membuat zalim."

Wednesday, August 22, 2018

Rugi, rosak sinonim rejim lama Melaka...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

TIDAK lama dulu emak saya dimasukkan ke wad di Hospital Pakar Putra Melaka (Putra Specialist Hospital Melaka Sdn Bhd atau PSHM). Deposit kemasukan saja RM2,000...kos rawatan setiap hari adalah lebih RM1,000, jadi selama seminggu dia dirawat di situ kosnya hampir mencecah RM10,000!

Secara 'kasarnya' kelihatan banyak duit 'mahsyuk', tetapi beberapa hari lalu terkejut saya tatkala membaca akhbar mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2017, ada sebuah berita utama dengan tajuk besar 'PSHM catat kerugian RM30.5 juta' manakala tajuk kecilnya 'Perkhidmatan kesihatan hospital yang terletak di Melaka tak diurus dengan berkesan'.

Laporan itu mendapati syarikat kerajaan negeri itu mengalami kerugian terkumpul RM30.5 juta pada tahun 2016. Kerugian ini adalah lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya iaitu RM29.77 juta pada tahun 2014 dan RM27.53 juta pada 2015.

Sungguh pelik, pada ketika hospital-hospital swasta berkembang pesat di negeri Hang Tuah bagi menyediakan perkhidmatan bukan saja kepada rakyat tempatan berkemampuan bahkan pelancong perubatan dari negara jiran seperti Indonesia (ada perkhidmatan khas menyambut pesakit di terminal feri Pelabuhan Sungai Melaka), Singapura dan Brunei, kerugian hospital kerajaan negeri semakin lama semakin teruk. Ya, apa yang tak kena?

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan: "Secara keseluruhannya, aktiviti perkhidmatan kesihatan PSHM telah diuruskan dengan tidak berkesan dan tidak teratur. Amalan tadbir urus PSHM juga kurang memuaskan kerana terdapat amalan tadbir urus yang tidak dipatuhi."

Audit juga mendapati jumlah penghutang perniagaan bagi tahun 2014, 2015 dan 2016 masing-masing RM26.21 juta, RM27.82 juta dan RM28.04 juta. Kenapa ini berlaku, tidak bolehkah didedahkan siapa dan pihak mana yang banyak berhutang ini?

Umum mengetahui bahawa hospital ini menjadi 'port' bagi merawat pesakit di kalangan pemimpin-pemimpin rejim lama, keluarga serta sahabat handai mereka...persoalannya apakah mereka ini menyumbang kepada jumlah hutang besar yang semakin meningkat saban tahun itu?

Ekoran daripada pendedahan Ketua Audit Negara ini, Ketua Menteri Melaka daripada Pakatan Harapan (HARAPAN), Adly Zahari berkata kerajaan Melaka menetapkan tempoh satu tahun bagi menstrukturkan semula dan menambah baik PSHM.

Katanya, PSHM antara syarikat kerajaan negeri yang diberi perhatian utama selepas HARAPAN mengambil alih pentadbiran Mei lalu dan penstrukturan semula syarikat sudah dilakukan pihaknya sebelum laporan audit itu dikeluarkan.
“Pada bulan pertama HARAPAN mengambil alih (kerajaan negeri) kita mula struktur semula (PSHM) daripada awal menukar CEO (Ketua Pegawai Eksekutif). Sebelum laporan audit itu keluar CEO PSHM juga sudah buat dua audit iaitu luaran dan dalaman.

“Penambahbaikan kita sedang lakukan dan laporan audit itu kita akan lihat dan mana-mana cara kita perbaiki. Kita akan lihat jika ada melibatkan penyalahgunaan kuasa, kita akan semak,” katanya.

Selain isu PSHM, banyak lagi projek dan infrastruktur rakyat di negeri Hang Tuah perlu 'penilaian semula'. Antara yang terhangat adalah bangunan Pasar Besar Melaka di Melaka Sentral yang rosak teruk (boleh runtuh pada bila-bila masa) dan terpaksa 'ditinggalkan' lebih 300 peniaga yang kini beroperasi di pasar sementara di Bachang.

Nasib peniaga dan pengguna satu hal tetapi ada perkara perlu diketengahkan dan diketahui awam adalah berjuta-juta ringgit wang rakyat telah dileburkan untuk membina kompleks Melaka Sentral (termasuk pasar) yang selepas beberapa tahun digunakan, 'sudah hancur'.

Melaka Sentral adalah baru, hanya digunakan sejak 14 tahun lalu. Ia yang merangkumi stesen bas, bazar dan pasar besar. Ia terletak di tanah tebus guna seluas 46.6 ekar dan dibangunkan dengan kos RM53 juta. Ada pihak mendakwa ia dibina dengan kos RM61 juta.
Persoalannya, mengapa wang rakyat bernilai berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk membina kompleks kegunaan awam yang 'cepat hancur'?  Apa, adakah wang rakyat boleh dibelanjakan sebegitu rupa tetapi hasil pulangan diterima adalah seperti apa disaksikan hari ini...syarikat kerajaan negeri rugi besar manakala bangunan milik kerajaan 'hancur'?