Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
KIRA-KIRA jam 10.50 malam Khamis (hari Rabu), 11 Julai saya (penulis) menaiki tren malam Pantai Timur di stesen KTM Segamat, Johor menuju Wakaf Bharu dekat Kota Bharu, Kelantan.
Subhanallah, perjalanan ini mengembalikan ingatan (nostalgia) pengalaman menaiki tren dari Tampin (Pulau Sebang) ke Kuala Kangsar dan sebaliknya setiap kali cuti sekolah ketika saya bersekolah di Perak pada 1970-an dulu.
Perkhidmatan dan keadaan tren Pantai Timur sekarang ini 'sebijik' macam kereta api yang saya naiki dulu. Lokomotif, koc, tandas malah pintu pun 'mirip' yang dulu. Malah pada subuh pagi, ada peniaga menjerit 'nasi lemak, nasi lemak, nasi goreng, nasi goreng, nasi goreng, nasi gorenggg' dan apa yang menariknya kanak-kanak mengajuknya dengan melagukan 'nasi gollenggg, nasi gollenggg' yang iramanya mampu mengejutkan penumpang daripada tidur!
Di dalam kereta api, apabila bergerak dari sebuah koc ke koc lain, akan terjumpa bahagian bersambung yang kadang-kadang 'terjungkit' menyebabkan penumpang boleh melihat landasan di bawah manakala ada pintu yang selaknya gagal berfungsi menyebabkan pintu terbuka sepanjang perjalanan.
Apabila pintu terbuka, saya melihat ada 'mamat' berani duduk di muka pintu sedangkan kereta api sedang bergerak laju. Ditakdirkan 'mamat-mamat' ini jatuh 'dalam kegelapan malam', siapa tahu?
Demikianlah, bagi saya tren KTM Pantai Timur sekarang ini 'menyamai' perkhidmatan keretai api Pantai Barat 40-50 tahun lalu. Di laluan Pantai Barat, trennya sudah 'berevolusi' memasuki zaman baru dengan tren elektrik dengan laluan berkembarnya.
Persoalannya, adakah perkhidmatan tren Pantai Timur mahu dikekalkan dulu, kini dan selamanya? Tidak lama dulu seorang tokoh politik dari Kelantan, pada satu sidang parlimen bertanyakan hal ini dengan meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf landasan kereta api ke Pantai Timur menjadi rel berkembar.
Jawapan bertulis daripada kementerian menjelaskan kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melaksanakan projek rel berkembar dan elektrifikasi, melainkan kerajaan melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur landasan dan jambatan kereta api di Pantai Timur yang berkos kira-kira RM 868.5 juta dan dijangka siap pada 2019.
'Pemodenan' KTM Pantai Timur difikirkan perlu kerana antara lain dengan terbentuknya laluan yang memberi akses pada kereta api barangan (freight), pergerakan rakyat dan aktiviti ekonomi menjadi lebih cepat dan efisien lebih-lebih lagi kawasan yang dilalui adalah wilayah pedalaman yang mempunyai hasil bumi yang banyak dan dengan kewujudan sistem perhubungan yang baik dan efisien dapat meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil bumi yang memberi impak positif pada sektor pertanian, perlombongan, pengilangan dan pembuatan; nampaknya KTM tiada cadangan demikian lebih-lebih lagi pemerintah lama dulu 'begitu ghairah' dengan projek 'East Coast Rail Line' (ECRL).
Jadi akan 'kekalkah' perkhidmatan tren KTM Pantai Timur 'macam dulu-dulu'?. Jika benar, persoalannya, sampai bila? Namun setidak-tidaknya dengan adanya tren Pantai Timur ini bolehlah saya terus 'bernostalgia' - untuk perjalanan Segamat-Wakaf Bharu ini saya menempah 'sleeping berth' (tempat tidur) jadi sepanjang perjalanan lebih 12 jam itu dapatlah saya membaring, merehatkan diri serta melepakan mata.
Tren yang saya naiki itu hebat sungguh - ia bagai gergasi besi, bergerak tangkas dalam kegelapan malam; mengenai kereta api ini orang putih kerap menggunakan ungkapan ini - the train roared in the darkness of the night - akhirnya selepas hari siang saya turun di stesen Pasir Mas, tidak di stesen Wakaf Bharu seperti dijadualkan kerana seorang rakan baik di pekan ini yang saya hubungi melalui telefon ketika dalam tren, sudi menerima saya sebagai tetamunya.
Selepas makan minum dan berehat, ketika berbual, rakan ini yang saya kenal budi dan akhlaknya, berharap saya sebagai seorang penulis dapat memaklumkan hal ini kepada pemimpin PAS terutama di Kelantan. Orang menegur itu tandanya dia sayang; jadi kepada semua berlapang dadalah...
Kata rakan ini masalah berkaitan dadah terutama di kalangan generasi muda di kampungnya di Pasir Mas dan kampung-kampung lain di negeri Kelatan sudah menjadi terlalu teruk. Beliau meminta pemimpin politik dan negeri mengambil perhatian berat, sebelum terlambat. Sekarang ini ramai orang 'berniaga sikit-sikit' berlagak menjadi jutawan...hakikatnya ada yang berlindung di sebalik perniagaan...mereka sebenarnya tauke dadah, dakwanya.
Selain itu, beliau berkata akhlak dan masalah muda-mudi termasuk remaja di bangku persekolahan pun amat kritikal. Beliau mengambil contoh, berdekatan rumahnya ada sebuah sekolah...sejumlah pelajar beruniform selalu dilhat ponteng sekolah...mereka menghabiskan masa di kedai kopi berhampiran dengan lepak-lepak dan menghisap rokok. Seorang dua boleh tahan, tetapi apabila sudah beramai-ramai ini apa cerita? Sungguh malang, hal ini terjadi di Negeri Serambi Mekah, jadi kepada pemimpin bertindak segera sebelum terlambat, pintanya.
No comments:
Post a Comment