Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
TANGGAL 1 Ramadan lalu saya mengalami kemalangan kecil. Ketika saya mahu mempakir motosikal di masjid untuk solat asar, kenderaan itu hilang imbangan lantas saya menahannya dengan kaki kanan...tanpa sedar betis saya telah 'melekap' di ekzos motosikal yang panas, aduh sakitnya!
Dengan pantas saya menarik kaki saya, sedikit kulit pada bahagian betis yang terkena ekzos tersiat...terasa pedih dan panas. Cepat-cepat saya meludah ke tapak tangan, membaca Bismillah dan Surah Al-Fatihah, kemudian melumurkannya ke tempat melecur tadi dengan doa bersungguh-sungguh, penuh pengharapan agar saya 'tidak apa-apa'.
Selepas solat asar saya kembali 'merenung' luka saya. Ada kesan terbakar seluas dua duit syiling 50 sen. Sebahagian kulit di bahagian itu sudah tersiat manakala bakinya melecur, menggelembung dan kemerah-merahan. Demikianlah ujian Allah datang tepat pada 1 Ramadan, kini bulan barakah ini sudah berlalu malah Syawal sudah sampai ke pertengahan bulan...luka di kaki baru sembuh tetapi masih berparut besar, persoalannya apa yang dapat saya pelajari daripada 'insiden' ini? Ya, sungguh banyak pengajaran, antara yang dapat saya selami:
1. Belajar menerima takdir Illahi (Qada' dan Qadar)
Sejurus sebelum 'tragedi' itu saya 'happy' saja...almaklumlah tak lama lagi selepas asar dan memasuki maghrib, saya akan berbuka puasa bersama isteri dan anak-anak tercinta pada hari pertama Ramadan. Tapi, apakah malang, dalam sekelip mata, kaki sudah melecur. Pedih, panas dan sakit pula tu. Ya, dalam keadaan kita baik-baik sahaja, tiba-tiba kita sakit pula. Itulah ketentuan Illahi, sebagai orang beriman, terima saja ketentuan-Nya. Ini namanya reda atas Qada' dan Qadar-Nya..
Jika jatuh sakit dan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, demikian juga kematian. Bila-bila saja kita boleh mati termasuk saat kita sedang 'happy'. Ibarat sekeping papan, apabila diterbalikkan yang atas akan ke bawah, yang bawah ke atas. Apabila diterbalikkan diri kita ni, masuk kuburlah kita...Persoalannya sudah bersediakah kita untuk mati...misalnya sudah cukupkah bekalan kita?
2. Belajar takut seksaan Illahi
'Terbakar' sedikit di kaki saya sudah tak tahan...itu baru terkena ekzos motosikal bukan terbakar dalam erti sebenarnya. Bisanya, aduh. Pedihnya, aduh. Itu baru sedikit kulit kaki tercabut. Oohh, tidak dapat saya bayangkan bagaimana orang yang terbakar sebahagian badannya atau mati terbakar misalnya dalam kemalangan jalan raya.
Di dunia ini kita tak dapat tahan 'seksa' terbakar. Bagaimana nasib kita di akhirat nanti jika kita jenis orang degil dengan perintah Illahi. Demkian juga, bagaimana diri kita saat sakratulmaut yang menurut sesetengah ulama sakitnya seumpama 70 kali tetakan pedang? Dalam Surah An Nisaa' ayat 56, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang kafir pada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
3. Belajar erti sabar
Apabila ditimpa sakit, kebanyakan orang termasuk diri ini tidak dapat sabar. Kata orang 'jam ini' juga hendak baik. Setiap hari ketika mencuci luka itu, saya membelek-beleknya - hai tak baik-baik...bila nak baik ni. Saya menghitung masa - tiga hari tak baik, seminggu pun tak baik, akhirnya sampai sebulan baru luka itu terkatup tetapi parut merah masih ada sehingga kini. Alhamdulillah pada Ramadan itu sedikit sebanyak saya dapat mengerti sabar...semua hal dalam dunia ini memerlukan kesabaran...tiada istilah 'Zasss' saja, semua kemahuan kita tertunai.
4. Belajar mengerti keagungan Illahi
Membelek-belek luka itu setiap hari, menzahirkan keagungan Illahi di hati. Doktor hanya boleh memberi ubat luka, ubat cuci, ubat pembunuh kuman dan mendeskripsi saya merawatnya dua kali sehari tetapi bolehkah doktor menumbuhkan kulit di kaki saya itu? Subhanallah Maha Suci Kau Ya Allah, saya menyaksikan sendiri saban hari bagaimana proses penyembuhan luka itu. Insya-Allah, saya akan ceritakan di bawah ini.
5. Belajar daripada mereka yang pakar
Pada hari kaki terkena ekzos itu saya enggan ke klinik atau hospital. Saya teringat pengalaman lalu apabila saya kemalangan motosikal juga. Ketika itu saya segera ke klinik kerana luka yang banyak di kaki. Ya, apabila terjatuh ke jalan dan tanah, luka kita kotor dan perlu dibersihkan dulu.
Di klinik berkenaan, yang membersihkan luka adalah pembantu bukan doktor. Tanpa belas kasihan, mana-mana bahagian kotor misalnya luka bercampur tanah dicucinya betul-betul...mengerang saya dibuatnya. Yang paling mengerikan saya, mana-mana kulit yang menggelembung atau tersiat, ditarik dan diguntingnya. Apa lagi, menjeritlah saya...tetapi kerana malu...dalam hatilah saja!
Pada kes terbaru ini saya berbelah bagi sama ada mahu ke klinik atau tidak. Akhirnya saya ke klinik juga sebab ditakutkan dengan satu kes seorang saudara yang menghidap kencing manis, mati selepas air panas tertumpah ke kakinya. Ya, saya yang juga penghidap diabetes ini sebenarnya takut mati...diri ini belum 'ready' lagi. Hakikatnya, 'ready' atau tidak, kita ini semuanya adalah bakal jenazah.
Akhirnya saya ke sebuah klinik...doktor di sini baik pula...dia bagi saya pilih sama ada mahu cuci sendiri luka saya atau pembantunya melakukannya. Cepat-cepat saya jawab saya mahu melakukannya sendiri.
Doktor tersenyum...dan sempat memberi penerangan kepada saya. Katanya, luka ini akan cepat baik jika kulit yang terbakar itu tanggal...selepas itu barulah luka itu akan baik dan kulit baru akan tumbuh...
Selama lebih sebulan membelek-belek luka saya, saya akui kata-kata doktor itu. Kulit yang menggelembung, bersisa dan berdarah sedikit demi sedikit akan tertanggal dan selepas itu barulah bahagian luka itu menuju penyembuhan dan tumbuh kulit baru. Ya, sungguh hebat kuasa Allah Taala...tiada makhluk yang boleh melakukan hal ini.
Bagi doktor pula, sebagai pakar mereka tahu proses penyembuhan luka. Itulah sebabnya mereka 'berkeras' mahu 'menggunting' dan membuang mana-mana kulit yang menggelembung dan tersisa sebab jika tak dibuat begitu, kulit itu akhirnya akan tertanggal juga sebelum luka baik. Kaedah pertama luka akan cepat baik, yang kedua 'awak tanggunglah sendiri'. Demikianlah, yang tak tahu dan bodoh sombong adalah saya...oh Tuhan, ampunkan hamba-Mu ini...
Berkenaan perkara 'pakar' ini di dalam al-Quran (2:189) ada dinyatakan tanyalah kepada mereka yang ahli seperti ulama, pakar, ibu bapa, kawan yang jujur dan seumpamanya...ya sebenarnya orang seperti saya ini banyak perkara yang tak tahu, tetapi tak nak bertanya (belajar) pula! Alangkah sombongnya diri ini...Namun Ramadan 1439 ini telah memberi pengajaran yang betul-betul dapat tersemat di hati ini...parut di betis kaki ini adalah saksinya...ia akan dikenang sampai bila-bila, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment