Monday, July 9, 2018

'Songlap' harta; kembalikan dan minta maaf...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

SEKARANG ini negara gempar dengan rampasan harta bekas pemimpin yang didakwa mencecah satu bilion ringgit.  Di sini kita tidak akan mengulas isu ini tetapi menarik perhatian pembaca sejenak mengenai hal sampingan seperti bagaimana menulis angka satu bilion ringgit; ya ada berapa kosong agaknya? Jawapannya sembilan kosong (9), jadi satu bilion ringgit ditulis RM1,000,000,000.

Jika kita ada wang RM1,000,000,000 dalam bentuk tunai atau dalam akaun bank, dari segi pembayaran zakat pula jika wang itu sudah cukup haul dan nisab, dengan kadar zakat 2.5 peratus, jumlah yang perlu dikeluarkan adalah RM25,000,000 (RM25 juta). Banyaknya...ia pula perlu dikeluarkan setiap tahun bukan sekali beri.

Itu jumlah wang yang perlu dikeluarkan zakat...sudah semestinya wang yang hendak dizakatkan itu adalah daripada 'wang halal'...persoalannya jika wang daripada sumber haram apatah lagi mendapatkannya daripada perbuatan menzalimi orang dan pihak lain, bagaimana 'situasi'nya?

Sebagai manusia, biasalah kita membuat kasalahan, sama ada terhadap Yang Maha Kuasa atau terhadap makhluk-Nya terutama sesama manusia. Allah SWT sangat suka kepada orang yang telah membuat kesalahan tetapi bertaubat iaitu memohon keampunan kepada-Nya.

Jadi bagaimana untuk bertaubat termasuk bagi mereka yang telah 'mengsonglap' atau 'membalun' harta atau hak orang lain? Cukupkah dengan pergi ke Makkah, melakukan umrah atau haji dan memohon ampun kepada Allah SWT seperti 'dipamerkan' sesetengah orang terutama para pemimpin?

Seorang ustaz ketika memuzakarahkan hal ehwal berkaitan taubat, berkata, ada tiga syarat bertaubat iaitu segera berhenti melakukan perkara dosa (maksiat), menyesal perbuatan lalu dan berazam tidak mengulanginya. Ini bagi kesalahan dengan Allah SWT tetapi jika kita bersalah dengan manusia ada satu lagi syarat iaitu berjumpa orang atau pihak terbabit, meminta maaf dan menyelesaikan apa-apa yang kita terhutang atau 'tercuri'.

Kata ustaz, berdosa kepada Allah SWT mudah kita memohon ampun, Allah SWT sangat suka kepada orang bertaubat tetapi kesalahan sesama manusia amat berat; jika kita ada terambil hak orang kita wajibkan pulangkannya.

Misalnya, sesiapa yang menyeleweng, pecah amanah atau menyonglap harta termasuk wang rakyat tidak kiralah RM1 atau berbilion-bilion ringgit, di samping meminta maaf dia perlu kembalikan wang itu. Dan jika orang atau pihak terbabit sudah meninggal dunia, wang itu perlu dipulangkan kepada waris dan jika waris pun susah dicari, dermakan wang itu dengan doa agar ganjaran pahala diberikan kepada orang terbabit. Tetapi jika dia tiba-tiba ‘muncul’ wangnya tetap perlu dikembalikan sekalipun kita sudah menderma kesemua wang berkenaan.

Jika kita bersalah mengambil wang individu dalam jumlah tak banyak, mungkin kita boleh pulangkan tetapi bagaimana kita songlap wang rakyat yang bukan sedikit tetapi berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit, bagaimana kita mahu mencari jalan keluar? 

Demikianlah, kata seorang lagi ustaz dalam tazkirahnya yang penulis hadiri, kesalahan manusia sesama manusia amat berat. Apatah lagi pemimpin terhadap rakyatnya. Pemimpin perlu adil dan amanah kerana antara tujuh golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah SWT adalah imam (pemimpin) yang adil. 

Abu Hurairah r.a. meriyawatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:  “Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan Arasy-Nya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripada-Nya.  Mereka adalah imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT, seseorang yang hatinya terpaut pada masjid, dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu serta berpisah kerana Allah SWT, lelaki yang digoda perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan dia takutkan Allah, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kirinya, dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” – Riwayat Imam Muslim

Ya, jika pemimpin yang sudah menzalimi rakyat termasuk mencuri wang mereka; kemudian mahu bertaubat penuhilah syarat taubat termasuk meminta maaf kepada setiap rakyat dan kembalikanlah hak mereka!

Seorang sahabat penulis mendedahkan dalam dunia politik dan bisnes berlaku banyak penyewelengan termasuk rasuah. Bagi menghadapinya, kata beliau, seseorang itu ada beberapa pilihan - pertama lakukan 'kejahatan sejahat-jahat' tetapi jangan sampai 'tertangkap' dan yang kedua, tinggalkan terus bidang berkenaan. 

Katanya, bagi rakan-rakan bisnes dan politik yang memilih untuk berbuat 'sejahat-jahatnya' termasuk tidak menunaikan ibadat seperti solat sama sekali (ada yang melakukan solat secara berpura-pura demi kepentingan politik dan bisnes) dan zakat, beliau menyaksikan mereka dilimpahi nikmat demi nikmat seperti kekayaan melimpah luah, kemasyhuran, pangkat, gelaran dan pelbagai kelebihan duniawi. Yalah, dia macam Firaun yang dikatakan tidak pernah sakit; menyebabkan dia mengaku dirinya tuhan. 

Namun bagi mereka yang hatinya berbelah-bahagi (50-50) seperti takut-takut mengamalkan rasuah dan maksiat tetapi ada kala melakukannya kerana 'terliur' dan 'lalai' dengan kenikmatan dunia tetapi tidak meninggalkan solat secara terus; mereka akan diuji dengan kemewahan yang diperolehi. 

Bagi golongan kedua; ada saja yang tidak kena - kuasa dan pangkat hilang, harta dirampas, ahli keluarga kemalangan dan matilah, isteri sakit teruklah, anak berperangai jahatlah, rumah dimasuki pencurilah, diri sendiri kena rompaklah; pendeknya banyak masa dan duit dalam poket dihabiskan untuk menyelesaian masalah. 

Sahabat saya itu berpendapat; golongan pertama sudah dilupakan oleh Yang Maha Berkuasa - apa saja mereka kehendaki diberi; mereka mendapat bahagian mereka di dunia ini tetapi tidak di akhirat nanti. Mereka bolehlah 'beraya sakan' di dunia, tetapi ingatlah kesenangan hidup di dunia hanya sebentar cuma! Mereka macam Firaun, Hamman dan Qarun. 

Kepada mereka yang masih solat yang di dalamnya ada diucapkan "Ya Allah, tunjukki kami jalan yang lurus", Yang Maha Berkuasa menguji mereka dengan mendatangkan pelbagai masalah agar mereka dapat berfikir - "Ya Allah tak betul jalan yang aku ikuti selama ini, aku mahu kembali ke jalan-Mu yang lurus!" 



Ya, kepada mereka yang hilang kuasa, pangkat dan harta dirampas, itu tandanya Allah Yang Maha Kuasa masih sayang...jadi bertaubatlah dan bagi kesalahan sesama makhluk seperti terambil harta orang lain termasuk rakyat, minta maaflah dan KEMBALIKAN harta itu kepada yang BERHAK! Pintu taubat masih terbuka sehinggalah nyawa berada di kerongkongan (sakaratul maut) atau matahari terbit dari sebelah barat...

No comments: