Thursday, July 19, 2018

Titipan Seorang Pesara (39): Berbasikal di kota Melaka; usah menang sorak kampung tergadai...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PULUHAN tahun lalu, ketika remaja, saya adalah 'raja berbasikal' di kota Melaka. 'Raja' di sini bukan bermaksud saya juara pertandingan menunggang basikal tetapi 'hebat' meronda jalan dan lorong di bandar ini dengan basikal buruk saya.

Baru-baru ini saya mengimbau kenangan lalu (step back on the memory lane)  apabila dapat berbasikal menyelusuri jalan dan lorong di Kota Melaka. Penat memanglah penat sebab saya sekarang ini 'tidak terlalu muda' (jangan pakai perkataan tua kerana ia sensitif) disebabkan kudrat dan tenaga sudah tidak berapa 'power'.

'Keindahan dan keseronokan'  berbasikal tidak sama dengan menaiki kereta atau motosikal. Antaranya dengan bergerak perlahan, kita dapat saksikan pelbagai pemandangan sisi serta aksi manusia. Dari segi politik, Kota Melaka sentiasa 'berahlikan' anggota Parlimen daripada DAP; seingat saya adalah sekali dua MCA menang di sini. MCA selalunya tewas di sini malah 'Raja' Bola Sepak, Soh Chin Aun yang pernah menjadi calon, juga kecundang.

Banyak kawasan di kota Melaka berciri 'kecinaan' melebihi bandar-bandar lain di tanah air kita. Ini tidak menghairankan malah di satu sisi kota ini tersergam Bukit Cina yang ada pihak menyatakan sebagai tanah perkuburan orang Cina terbesar di Malaysia, malah Asia! Ini sebagai manifestasi hubungan baik orang Melayu-Cina sejak sekian lama.

Malaysia sebuah negara pelbagai kaum yang menjanjikan keharmonian untuk semua, jadi hormatilah kecenderungan orang Cina untuk kekal dengan budaya dan cara hidup mereka seperti dilakukan pemerintah silam seperti Sultan Mansor Shah pada era Kesultanan Melaka Melaka (!400-1511) menghadiahkan Bukit Cina kepada Puteri Hang Li Po dan rombongannya yang memilih menetap di Melaka.

Namun amat-amatilah bahawa orang Cina dan keturunan mereka selepas era Melaka atau pada zaman negeri-negeri Selat (ketika Pulau Pinang, Melaka dan Singapura di bawah Inggeris), dapat menyerap budaya dan cara hidup orang Melayu. 

Mereka dikenali sebagai Cina Peranakan (Baba dan Nyonya) yang bahasa dan cara hidup mereka selari dengan orang pribumi iaitu Melayu. Cina Baba dan Nyonya ini kekal sehingga hari ini...ramai yang tidak tahu bercakap bahasa Cina tetapi menggunakan bahasa Melayu! Sekalipun begitu, mereka kekal dalam agama lama mereka, tidak ada paksaan untuk mereka menjadi Islam!

Tanggal 9/10 Mei 2018, tercatat sejarah apabila buat pertama kali Umno-BN disingkirkan daripada puncak kuasa oleh rakyat, perkara ini turut disaksikan di bumi Hang Tuah apabila Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti - Bersatu, PKR, DAP dan Amanah - meraih 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Umno-BN mendapat 13 kerusi, semuanya disumbangkan Umno - parti perikatannya MCA dan MIC kecundang sama sekali.

Pakatan Harapan menobatkan Pengerusi Negerinya yang juga Pengerusi Amanah Negeri, Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11. Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan memang selayaknya Adly menjadi Ketua Menteri...namun jika dihalusi daripada 15 kerusi dimenangi Pakatan Harapan, sumbangan terbesar adalah daripada DAP, kemudian baru PKR, Bersatu dan Amanah. Sembilan Adun adalah bukan Islam/Melayu..ertinya hanya ada enam Adun Melayu/Islam dalam kerajaan baru ini.

Kerusi Pakatan Harapan itu adalah bagi Dun Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil (dimenangi Adly), Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, Telok Mas dan Bemban manakala Parlimen Masjid Tanah dan Dun dalamnya serta sekitarnya (kawasan majoriti tinggi Melayu) dimenangi Umno. Namun, mutakhir ini MP Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin (bekas Ketua Puteri Umno) pun sudah 'cabut'; meninggalkan Umno.

Sekalipun Adly adalah Ketua Menteri, sekilas pandang DAP 'menguasai keadaan', jadi tidak hairan baru-baru ini kerajaan baru negeri ini menjadi yang pertama di tanah air memberi pengiktirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diperjuangkan oleh parti, NGO, cendekiawan dan orang awam Cina sejak sekian lama.

Beberapa hari lalu, PAS Melaka mengadakan demonstrasi aman di pekarangan Masjid Al-Azim bagi membantah pengiktirafan UEC oleh kerajaan Pakatan Harapan Negeri Melaka.

Dilaporkan, di hadapan pintu masjid tersebut, kira-kira 200 orang yang terdiri daripada ahli pelbagai NGO Melayu seperti Perkasa, ISMA dan Persatuan Silat Gayong hadir bagi menyatakan bantahan.
Perhimpunan berjalan dengan aman dikawal anggota FRU dengan dua trak. Bantahan berlangsung setengah jam diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sedik.
Selepas itu penyerahan memorandum ke pejabat Ketua Menteri diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya 3 Melaka, Ustaz Abdul Halim Maidin.
"PAS Melaka mendesak agar kerajaan negeri menarik balik pengiktirafan UEC daripada sekolah Cina persendirian kerana ia berlawanan dengan Akta Pelajaran 1996," kata Ustaz Kamarudin semasa berucap di himpunan itu.
Beliau mendakwa UEC menggunakan silibus dari Taiwan dan diajar dalam bahasa Mandarin. Malah ujarnya, UEC juga akan menggagalkan pembinaan negara bangsa serta mencarik perpaduan rakyat Malaysia.
Tambah beliau, sesetengah penganalisis pendidikan mengatakan pengiktirafan UEC adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun. 
Di peringkat nasional, PAS melalui Ketua Penerangannya, Ustaz Nasrudin Hassan juga membantah pengiktirafan UEC itu yang dikeluarkan oleh Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS) kerana ia telah mensabotaj strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
Kata Ustaz Nasrudin, dua strategi utama untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di institusi pendidikan negara.
Selain itu, kurikulum yang diwujudkan mestilah selaras dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah. Bahasa Kebangsaan yang dirujuk dalam Akta Pendidikan 1996 ditafsirkan sebagai Bahasa Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Begitu juga Seksyen 74 Akta Pendidikan 1996 dengan jelas mengarahkan semua institusi pendidikan swasta mematuhi kehendak Kurikulum Kebangsaan dan menyediakan murid-murid bagi peperiksaan yang telah diselaraskan di peringkat negara.
Pengikitirafan UEC seolah-olah memberi satu autonomi yang sangat luas dalam bidang pendidikan untuk tidak patuh kepada dasar dan akta sedia ada sebaliknya berorientasikan negara Taiwan dan China, katanya.
Selama ini, Dong Zong yang agresif menuntut pengiktirafan UEC enggan untuk berkompromi dengan syarat-syarat pematuhan yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan.
Namun sekarang, DAP melalui Timbalan Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Teo Nie Ching sewenang-wenangnya mahu pengiktirafan UEC hanya dilakukan di peringkat Kabinet (bukan Parlimen) sehingga mengabaikan suara rakyat dalam kalangan ahli akademik, profesional, NGO dan parti politik yang membantah pengiktirafan ini.
PAS mendesak agar pihak kerajaan menghentikan polemik ini. Tindakan mengiktiraf UEC akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia, kata Ustaz Nasarudin.
Selepas tindakan pantas kerajaan negeri Pakatan Harapan Melaka mengiktiraf UEC, kini Teo Nie Ching mahu 'secepat kilat' UEC diiktiraf di peringkat Persekutuan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Jika kerajaan Pakatan Harapan Melaka pimpinan KM Adly tetapi 'dimonopoli' Adun DAP tidak sabar (tergesa-gesa) dalam mengiktiraf UEC, Teo juga dari DAP lagi tidak sabar.
Beliau dipetik sebagai berkata: "Saya berharap akan menyiapkan kerja ini sebelum tahun ini berakhir, itu matlamat saya. Ia mungkin mengambil masa untuk membina sebuah sekolah, tetapi hal ini (pengiktirafan kepada UEC) boleh dilakukan secepat mungkin. Saya tak suka menjalankan kerja secara lembab."
Benar, pakatan pembangkang (Pakatan Harapan) akhirnya berjaya 'menamatkan riwayat' kerajaan Umno-BN di Melaka, rakyat Melaka (majoritinya Melayu) boleh bersorak, namun jika diperhalusi mereka sebenarnya menang sorak tetapi kampung halaman sudah tergadai.
Cuba fikir-fikirkan apa sebenarnya sudah terjadi kepada negeri Hang Tuah ini...parti yang mempunyai kerusi terbanyak adalah Umno, parti saingannya PAS kosong kerusi, Pakatan Harapan (ada empat parti dalamnya) yang berkuasa sekarang ini didominasikan oleh DAP walaupun KM-nya seorang Melayu daripada parti Amanah...
Akhirnya, kerajaan Pakatan Harapan Melaka muncul negeri pertama mengiktiraf UEC, mendahului kerajaan Persekutuan; tidakkah itu bermakna orang Melaka 'daripada keturunan Hang Tuah' menepati kata-kata bijak pandai - menang sorak, kampung tergadai...
Menyelusuri jalan demi jalan, lorong demi lorong di bandar Melaka, tersedarlah saya kini bumi ini (kota Melaka) adalah pusaka bangsa daripada nenek moyang Tun Perak, Hang Tuah, tetapi sayang seribu kali sayang kebanyakan hartanah di sini sudah menjadi milik orang...saya pun sama - 'hanya mampu berbasikal', tak mampu 'ber-Mercedes'...


No comments: