Monday, July 16, 2018

Surat terbuka buat menteri muda seperti Syed Saddiq

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

ASSALAMUALAIKUM wbt 'Bro' (Saudara) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atau lebih tepat lagi anakanda Saddiq...ya kenapa anakanda? Ini kerana usia anakanda Saddiq hampir sama dengan seorang anak pakcik (penulis) yang baru lulus di UIAM.

Tahniah kerana dilantik menteri; sebelum pergi lebih jauh, eloklah kita tengok profil anakanda Syed Saddiq seperti dipaparkan oleh Wikipedia - Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman merupakan ahli politik Malaysia. Beliau merupakan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Beliau adalah bekas Juara Debat Asia.
Sebelum menulis surat ini, pakcik tertarik dengan sepucuk surat terbuka kepada anakanda ditulis oleh wartawan dan kolumnis veteran R Nadeswaran dalam Malaysiakini...beliau menggunakan panggilan 'Young Man' (Orang Muda) kepada anakanda dan tidak 'Bro' (Brother) seperti yang anakanda pinta kepada orang ramai.

'Pakcik' Nadeswaran antara lain mengingatkan anakanda 'Orang Muda' supaya berhati-hati - amat berhati-hati - apabila anakanda membabitkan diri dalam jabatan dan agensi berkaitan sukan. Beliau mengingatkan bahawa anda mungkin sudah menjebakkan kaki ke dalam lubuk buaya dan ular, 'disarangi' pelbagai racun kehidupan.

Kata 'pakcik' ini, jika anakanda terselamat daripada mereka, di sepanjang laluan, anakanda akan ketemui banyak 'buaya' yang akan membaham anakanda hidup-hidup sebagai sarapan dan memuntahkan tulangnya.

Beliau turut mengingatkan politik dalaman kementerian dan agensinya adalah lebih berapi-api (berwaspadalah akan tikam belakang, surat beracun dan sebagainya) dan kritikal daripada apa yang pernah anakanda alami.

Jika Pakcik Nadeswaran mengingatkan anakanda akan 'bahaya' dalam jabatan, agensi dan kementerian yang 'penjawat biasa' akan menghadapi 'politik pejabat', pakcik (penulis) pula inginkan anakanda fikirkan sejenak perjalanan hidup yang jauh dan panjang anakanda dari usia sekarang (25 tahun) menuju 30, 40, 50, 60 dan 70 tahun serta seterusnya (hayat anakanda).

Pakcik kalau boleh tak nak anakanda melalui hidup seperti dijalani bekas pemimpin tertinggi negara sekarang ini - menjadi menteri besar dalam usia 20-an, kemudian menjadi timbalan menteri, menteri dan seterusnya ke tahap tertinggi tetapi dalam wawancara akhir-akhir ini asyik bercakap "tak tahu saja." Ya, apa sudah jadi pada si dia?

Berdasarkan cakap-cakap rakyat, mereka berkata pemimpin ini dilahirkan dalam keluarga senang lenang, sejak kecil belajar di luar negara, kemudian balik selepas kematian ayahandanya untuk menjadi orang besar - jadi dia kurang faham akan penghidupan rakyat apatah lagi menyelami derita orang miskin.

Mereka mendakwa kerana tak dapat menjiwai sengsara rakyat, beliau ingatkan rakyat kebanyakannya senang lenang sepertinya dan kalau yang miskin boleh 'diubati penyakit' mereka dengan memberi bantuan wang sekali beri. Tangisan derita rakyat mungkin tidak sampai ke pengetahuannya kerana ramainya pengampu yang berkata "semua ok!"

Sekarang pakcik sudah berada di usia pertengahan 50-an; asam garam kehidupan sedikit sebanyak telah 'menyerap' ke dalam tubuh pakcik, jadi pakcik sudah rasakan aneka suka duka kehidupan dan orang.

Bijak pandai ada berkata, manusia itu ada tiga masa saja - semalam, hari ini dan esok. Mereka mengingatkan kita hanya ada masa sekarang kerana semalam sudah berlalu sedang besok belum pasti. Jadi anakanda Syed Saddiq, gunakan masa sekarang sepenuh-penuhnya dalam membuat kebaikan.

Harapan ayahanda, anakanda Syed Saddiq yang menginjak ke usia 26 tahun sudah matang sekarang ini sekalipun realitinya, 'kebanyakan' orang matang ketika mula berusia 40 tahun. Orang putih kata 'life begins at 40'...itu dia orang punya hal-lah, tetapi bagi orang Islam, diingatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dilantik oleh Allah SWT menjadi rasul pada usia 40 tahun.

Anakanda Syed Saddiq, sukacita diingatkan bahawa ilmu termasuk pengalaman adalah kunci kejayaan.  Sedarlah ilmu manusia hanyalah setitis air daripada semua air lautan, jadi tuntutlah ilmu sekalipun anakanda sudah bergelar menteri.


Akhir kata, jika anakanda Syed Saddiq sudah faham bahawa ilmu adalah penyuluh kehidupan, anakanda Saddiq akan sedar kita (manusia) hanya dikehendaki tunduk kepada-Nya; setiap perbuatan ada implikasi ada dosa dan pahala. Insya-Allah jika ini sentiasa tersemat di hati anakanda Syed Saddiq, anakanda akan selamat dunia dan akhirat...jadi tugas anakanda sebagai menteri akan lebih mudah; taklah mengikut pantun diubah suai ini - siakap senohong, ikan gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri (perdana menteri)...

No comments: