Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
ARAHAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub supaya kakitangan kementerian beliau tidak ikut serta dalam program politiknya serta tidak menggunakan aset milik kerajaan perlu membuka mata semua bahawa selama ini terlalu banyak berlaku penyelewengan kuasa.
Ramai pemimpin dan penyokong terutama daripada parti dan perikatan parti 'tua' yang tewas dalam PRU-14 lalu tidak mempedulikan akan pemisahan kuasa dan identiti antara kerajaan yang memerintah (government of the day) dengan parti politik.
Malah kedudukan Perdana Menteri (PM), menteri besar, ketua menteri dan menteri pun kadang kala digunakan dalam konteks yang salah...seolah-olah mereka 'wujud' bagi menjaga kepentingan parti atau gabungan parti dan ahli parti sedangkan dia sebenarnya adalah pemimpin bagi semua rakyat Malaysia.
Hal ini perlu direnung sejenak; pada pandangan penulis, kegagalan parti 'tua' untuk mengamalkan pemisahan kuasa antara pemerintah dan parti politik apatah lagi menzahirkannya adalah antara faktor menyebabkan ia ditolak hatta dibenci rakyat pada PRU-14 lalu. Sesetengah pemimpin parti 'tua' menyalahgunakan harta dan wang awam untuk kepentingan diri dan parti malah ramai juga bercakap tak serupa bikin seperti mengingatkan jangan guna premis kerajaan untuk berpolitik tetapi merekalah yang melakukannya.
Berhubung perkara ini, banyak isyarat (signal) sudah 'wujud' tetapi pemimpin parti gagal membacanya atau buat-buat tidak tahu dan peduli. Malah ada yang apabila ditegur, berani bercakap besar sehingga mengungkapkan 'kepala babak kau'.
Penulis teringat iltizam Menteri Belia dan Sukan rejim lama, Khairy Jamaluddin untuk menjadi Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan bukan Menteri Belia Barisan Nasional (BN).
Permintaan Khairy untuk menjadi seorang menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mengukuhkan dakwaan bahawa PM dan anggota Kabinetnya berkhidmat untuk kepentingan BN.
Kerana situasi inilah, wujudlah pelbagai masalah dan pihak paling teruk menerima akibatnya adalah rakyat. Ini kerana bukan semua rakyat mendapat perkhimatan sama rata - banyak pihak termasuk kerajaan negeri tersisih semata-mata kerana mereka tidak sealiran politik.
Jika dulu PM dan anggota Kabinetnya seolah-olah cenderung berkhidmat untuk kepentingan BN, kita tidak mengharapkan politik balas dendam sebaliknya mengesyorkan pemimpin Malaysia Baru sekarang ini bermuhasabah diri seperti dilakukan Salahuddin Ayub.
Timbalan Presiden Amanah itu sudah 'menunjukkan jalan' oleh itu wahai pemimpin semuanya, berkhidmatlah sebagai PM, menteri besar, ketua menteri dan menteri untuk semua rakyat.
Sebagai pemimpin semua rakyat, adalah wajar untuk mereka menghentikan segala amalan kurang sihat seperti menafikan hak kerajaan negeri dalam Persekutuan, hak ahli Parlimen dan Adun pembangkang mendapat peruntukan pembangunan dan mengamalkan politik peras ugut yang berleluasa ke atas agensi dan kakitangan kerajaan.
Sewajarnya pemimpin tertinggi bertindak sebagai seorang negarawan dan bukan pemimpin parti politiknya. PM dan barisan kepimpinannya perlu dapat membezakan antara 'negara', 'kerajaan' dan 'parti politik'.
Sesebuah masyarakat bakal mengundang krisis sekiranya gagal membezakan ketiga-tiga identiti ini. Misalnya PKR sebagai sebuah parti politik dan kini selepas ia dan rakan Pakatan Harapannya diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi sebuah kerajaan, maka kerajaan ini perlulah berkhidmat untuk semua rakyat termasuklah mereka yang menyokong dan menentangnya.
Sebarang kemudahan termasuk peruntukan disediakan adalah untuk semua rakyat; ini kerana dana awam diperolehi adalah sumber negara yang dimiliki semua rakyat.
Pembangkang tetap membayar cukai sekalipun parti yang disokong tidak memerintah. Sesiapa sahaja boleh menegur dan menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui pilihan raya bebas dan adil, tetapi menentang kerajaan tidak bermaksud antinegara.
Rakyat menegur dan mengkritik kerajaan demi kebaikan negara. Namun apa yang berlaku sebelum, rakyat dikelirukan untuk mempercayai bahawa parti politik yang menang pilihan raya adalah kerajaan dan negara; justeru itu siapa saja penentang dianggap sebagai pengkianat kepada kedua-dua identiti ini.
Akhbar arus perdana dulunya, mempromosi seolah-olah parti 'tua' itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah parti 'tua' itu. Sebarang percubaan mengkritik atau langkah untuk menggantikan parti 'tua' itu sekalipun melalui pilihan raya dilabelkan sebagai tindakan pengkhianat sedangkan pihak yang bertindak sedemikian melakukannya dalam kerangka demokrasi berperlembagaan yang menjadi teras sistem pemerintahan negara ini.
Ya, apabila pemimpin gagal memisahkan kuasa kerajaan dan parti politik, 'politiking' akan berterusan sepanjang masa dan ini amat merugikan negara sedangkan di negara maju selepas pilihan raya, semua pihak berusaha keras memantapkan rakyat dan negara termasuk di persada antarabangsa tanpa bercakap lagi mengenai politik sempit parti masing-masing.