Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
PASAR Besar Melaka Sentral di Peringgit boleh runtuh pada bila-bila masa disebabkan bangunan itu tidak mampu bertahan lama berikutan keadaan struktur asasnya yang semakin mendap...demikian lapor sebuah akhbar harian nasional baru-baru ini yang memetik laporan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).
Bangunan pasar hampir runtuh ini bukan 'cerita pembangkang' tetapi diakui sendiri pemimpin pemerintah yang cepat-cepat memindahkan gerai 342 peniaga ke tapak sementara di depan (parkir) pasar tersebut. Kini, khabarnya mereka akan dipindahkan ke lokasi lain di sekitar bandar raya Melaka.
Nasib peniaga dan pengguna (orang ramai) satu hal tetapi ada perkara perlu diketengahkan dan diketahui awam adalah berjuta-juta ringgit wang rakyat telah dileburkan untuk membina kompleks Melaka Sentral (termasuk pasar) yang selepas beberapa tahun digunakan, mengalami pelbagai kerosakan teruk dan akhirnya diakui pihak berkuasa boleh runtuh pada bila-bila masa!
Sebagai pengguna tetap Melaka Sentral sejak ia dirasmikan Perdana Menteri (kini bekas) Abdullah Ahmad Badawi pada 14 Mei 2004, saya menyimpan sedikit sebanyak maklumat mengenai kompleks ini yang merangkumi stesen bas, bazar dan pasar besar. Ia terletak di tanah tebus guna seluas 46.6 ekar dan dibangunkan dengan kos RM53 juta. Ada pihak mendakwa ia dibina dengan kos RM61 juta.
Kerosakan di kompleks berusia kira-kira 11 tahun ini bukan perkara baru. Dulu bangunan pasarnya pun didapati tidak selamat tetapi diperbaiki dan digunakan kembali. Demikian juga lantai stesen bas yang mendap, sudah diperbaiki.
Timbul persoalan mengapa wang rakyat bernilai berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk membina kompleks kegunaan awam yang cepat benar menjadi rosak dan kemungkinan besar tidak dapat digunakan seperti bangunan pasar itu. Apa, adakah wang rakyat boleh dibelanjakan sebegitu rupa tetapi hasil pulangan diterima adalah seperti apa disaksikan hari ini...bangunan retak dan boleh runtuh bila-bila masa?
Tidak terfikirkah pemimpin dan pemaju bahawa tapak Melaka Sentral itu sebenarnya tanah paya yang belum 'cukup matang' untuk dibangunkan kompleks yang gah itu.
Dulu (pada 2010), platform bas yang mendap dan rosak teruk terpaksa diperbaiki secara besar-besaran selepas lantainya merekah teruk dengan jubinnya sudah tersembul dan pecah di sesetengah tempat.
Demikianlah banyak wang, mungkin berjuta-juta ringgit 'dileburkan' untuk membaiki stesen bas dan bangunan pasar yang rosak teruk di Melaka Sentral. Bagi saya yang kerap berurusan di Melaka Sentral, ia bagaikan 'rumah kedua' saya.
Jika bangunan itu diibaratkan rumah saya, tentulah saya naik darah kerana selepas habis puluhan dan ratusan ribu ringgit, rumah saya sudah rosak sedemikian rupa sedangkan ia baru saja digunakan. Tentu saja saya akan marahkan pemaju dan kontraktornya tidak akan memanggil mereka untuk menjayakan lagi projek-projek saya.
Ya, Melaka Sentral adalah bagai ‘rumah’ saya. Saya ‘sayangkannya’, tak teringin saya harta rakyat bernilai jutaan ringgit ini diperbuat sedemikian rupa. Seluruh rakyat, terutama orang Melaka perlu sayangkan Melaka Sentral kerana ia dibina atas duit jerih rakyat.
Mereka perlu marah kerana bangunan kesayangan mereka sudah jadi sedemikian rupa. Tidak marahkah anda jika rumah anda sudah rosak selepas baru saja anda duduki sedangkan duit pinjaman bank dan sebagainya masih banyak lagi berbaki untuk dibayar saban bulan? Penat anda belum habis, rehat anda belum terasa puas tetapi tempat kediaman hampir menyembah bumi!
No comments:
Post a Comment