Wednesday, September 28, 2016

'Kerajaan lalu gagal beri tumpuan pengangkutan awam'...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
TAJUK ruangan ini adalah pengakuan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak sendiri...beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika perasmian majlis pecah tanah MRT aliran Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya di Putrajaya Sentral 15 September lalu.
Najib dipetik sebagai berkata: "Sejak berdekad lalu kita (kerajaan) tidak memberi tumpuan kepada pembangunan pengangkutan awam," lantas mengumumkan dia sendiri akan membetulkan keadaan itu.
Syabas PM Najib tetapi siapakah kerajaan lalu itu? Bukankah ia Umno BN. Ertinya kerajaan Umno BN gagal dalam menyediakan pengangkutan awam dan istimewanya kali ini ketuanya sendiri mengakui kelemahan itu.
Bagi Najib, beliau bukan baru memegang tampuk kerajaan 'untuk membetulkan keadaan'. Beliau menjadi PM sejak 2009...sudah tujuh tahun di singgahsana kuasa, sungguh pelik baru sekarang beliau mengakui pengangkutan awam negara agak teruk.
Pada awal pemerintahannya, Najib gemar melaungkan slogan "BN memerintah, semua masalah selesai" tetapi terbukti sekarang dalam perkara berkaitan pengangkutan awam pun ia gagal apatah lagi dalam bidang lain. Mungkin PM Najib baru sedar keadaan ini selepas dikejutkan dengan laporan penumpang terpaksa berjalan di atas rel LRT baru-baru ini akibat 'ketidak-efisyenan' perkhidmatan pengangkutan awam.
Baru-baru ini saya berpeluang menaiki tren komuter KTM dari Bandar Tasik Selatan ke Tampin (Pulau Sebang); sehubungan itu dapatlah saya memberi sedikit input mengenai situasi pengangkutan awam negara kita. Alhamdulillah di Bandar Tasik Selatan saya tak perlu menunggu lama, saya menaiki tren jam 6.50 pagi dan sejam kemudian sudah sampai di Seremban, Cepat dan efisyen perkhidmatan itu!
Namun di stesen Seremban saya terpaksa menunggu satu jam untuk meneruskan perjalanan ke selatan. Tren yang bertolak hampir jam 9.00 pagi itu sampai di Tampin kira-kira jam 10 pagi. Dari stesen Tampin tiada bas penghubung (cuma ada sebuah dua kereta sewa yang cepat mendapat penumpang), jadi terpaksalah penulis 'menapak' sejauh lebih sekilometer ke stesen bas Tampin bagi mendapatkan bas ke Melaka.
Di stesen berkenaan, bas ke Melaka belum sampai. Hampir sejam menunggu barulah bas Panorama (di Melaka, semua perkhidmatan bas domestik dimonopoli oleh anak syarikat kerajaan negeri) muncul. Pemandu memakir bas di lorong pertama stesen itu tetapi kemudian 'ghaib', mungkin dia pergi minum. Sejam kemudian baru dia kembali, penumpang yang resah gelisah termasuk sudah basah baju mereka, masih bersopan beratur mengikut giliran menaiki bas.
Antara pengajaran daripada pengalaman saya menaiki pengangkutan awam itu adalah masa yang terbuang begitu banyak manakala kosnya juga tidak kurang tinggi. Bayangkan daripada memulakan perjalanan pada jam 6.30 pagi (menaiki komuter jam 6.50 pagi) saya hanya tiba di bandar Melaka jam 12.30 tengah hari sedangkan jika saya memandu sendiri masa diambil mungkin satu setengah jam saja! Kos pengangkutan awam juga tinggi; tambang tren Bandar Tasik Selatan ke Tampin lebih RM12 manakala tambang bas ke Tampin-Melaka RM4. Rasanya 'tak berbaloi' untuk menaiki pengangkutan awam untuk perjalanan seperti ini!
Sebenarnya, sudah puluhan tahun saya tidak menaiki bas berhenti-henti di Melaka yang kini dikuasai Panorama. Namun sebagai seorang bekas pengguna bas henti-henti yang memahami suka duka penumpang bas awam, sekarang ini hati saya bagaikan 'luruh' melihatkan datuk, nenek, makcik, pakcik dan anak-anak muda dan kecil menunggu berjam-jam dalam keadaan panas terik atau hujan di tepi jalan; bas yang ditunggu bagai tak kunjung tiba.
Benar, sebahagian besar pengguna bas awam di Melaka sekarang ini mengalami masalah berat. Sekalipun saya bukan penggunanya; jiran, saudara, rakan sebagai penumpang selalu merungut menyatakan; "memang susah nak dapatkan bas sekarang ini." Menunggu satu dua jam di tepi jalan adalah perkara biasa kerana kekerapan perjalanan bas dikurangkan. Seorang pemandu bas berkata, hal itu terpaksa dilakukan kerana jika tidak pengusaha bas akan mengalami kerugian besar.

Pengguna bas henti-henti semakin kurang kerana semakin ramai orang berkenderaan sendiri. Disebabkan kekurangan penumpang inilah pengusaha terpaksa mengurangkan perjalanan bas di samping mengelak laluan tidak menguntungkan. Namun bukan semua orang ada kenderaan sendiri; mereka terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas. Di seluruh Melaka, dilaporkan ada 30,000 pengguna tetap bas awam. Merekalah golongan teraniaya apabila perkhidmatan bas lembap atau tiada langsung.

Pengguna bas berhenti-henti Melaka dan di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar akan 'terus setia' menunggu di tepi jalan raya; menunggu bas yang seolah-olah tak kunjung tiba, jadi di manakah kebenaran cakap berapi-rapi PM Najib Razak kononnya apabila "BN memerintah, semua masalah selesai."

Sekarang ini saya perhatikan, di Kuala Lumpur misalnya, kerusi pemandu bas semakin ramai diduduki oleh Mat Indon, Bangla, Myanmar dan sebagainya. Ya kini sudah ramai pemandu dan konduktor bas adalah orang seberang. Mereka menjerit: "Destinasinya mana ya Pak" seolah-olah kita berada di Jakarta pulak!

No comments: