Friday, September 2, 2016

Haji, hajah merdekakan diri daripada politik kotor…

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62) 

KINI musim haji. Sudah berbondong-bondong jemaah berangkat ke Tanah Suci. Jika berpandukan kuota satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara, ada 30,000 jemaah haji dari Malaysia. Mungkinkah jumlah ini termasuk lebih 1,000 jemaah tajaan 1MDB oleh kerajaan Persekutuan dan negeri daripada kalangan imam, bilal dan pengerusi JKKK?

Boleh dikatakan semua orang menunaikan Rukun Islam kelima berharap mendapat haji mabrur (kecualilah mereka yang pergi dengan ada niat lain) yang balasannya tiada lain, kecuali syurga. Abu Hurairah menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Dosa yang berlaku di antara dua umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” (Bukhari dan Muslim)

Haji dan hajah jika amalan diterima, keadaan mereka bersih sebersihnya. Macam bayi, suci. Namun haji yang mabrur itu bukan bermakna kepatuhan seseorang kepada semua perintah dan larangan Allah SWT berakhir sebaik saja meninggalkan Tanah Suci, sebaliknya perlu dikekalkan sepanjang hayat.

Kata ulama, jika mahu tahu sama ada seseorang itu mendapat haji mabrur atau tidak, lihat kepada amalannya selepas bergelar haji dan hajah.

Seseorang itu boleh membuat penilaian terhadap insan bergelar haji dan hajah di persekitaran masing-masing; benarlah kebanyakannya dihormati dan disegani sepanjang hayat tetapi biasalah adalah seorang dua diberi gelaran tak elok seperti ‘Haji Bakhil’ dan ‘Hajah Murai’.

Dan biasalah, ada haji dan hajah yang marah jika ada orang tidak memanggil atau menulis pada pangkal namanya dengan gelaran istimewa itu.

Seorang haji atau hajah adalah ibarat utusan kebenaran, dia menegakkan yang hak dan menentang kebatilan. Hak tertinggi adalah mengakui keesaan Allah SWT dan mengharungi kehidupan berdasarkan pengakuannya dalam solat “hidup dan matiku hanya untuk Allah Tuhan seru sekalian alam.” Dia tahu dia menghadapi dosa dan pahala dalam setiap perlakuannya.

Misalnya, menolong orang dengan niat betul, mendapat pahala. Jadi dia akan terus membantu sesama manusia, hatta membantu anjing kehausan pun diganjari syurga Allah SWT seperti mana dinyatakan dalam sebuah hadis. 

Melakukan fitnah, mendatangkan dosa besar, jadi dia menjauhkannya. Bayangkan, alangkah jijiknya seorang haji atau hajah membuat fitnah misalnya mendakwa seseorang itu berbuat perkara keji malah bersumpah pula di masjid sedangkan dia tidak pun menyaksikannya.

Sebagai pejuang kebenaran haji dan hajah wajib menyatakan yang hak dan batil dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam berpolitik. Merdekakanlah diri daripada politik kotor dan kepartian yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jika benar, katakan benar, jika salah katakan salah; jangan berselindung lagi kerana “tidak malukah kita dengan apa yang sudah kita ucapkan (berdoa) kepada Tuhan ketika kita munajat di depan Kaabah, di Arafah, Mina dan Mudzalifah.”

Antara rintihan jemaah haji: “...Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada menzalimi dan dizalimi, menyerang atau diserang atau membuat kesalahan dan dosa yang tidak Engkau ampunkan...Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada keras hati, kelalaian, kehinaan dan kemiskinan. Aku juga berlindung dengan-Mu daripada kekufuran, kefasikan, pepecahan, cinta kepada kemasyhuran dan riyak...”

Jadi selepas bergelar haji dan hajah, masih tergamakkah kita berbuat perkara tidak elok malah menyalahi hukum agama termasuk ketika berpolitik?Tidak payahlah dinyatakan perkara berat-berat; ambil yang mudah saja, misalnya membantu pemimpin dan parti penipu menang dalam pilihan raya. Kalau kita tahu parti dan pemimpin itu penipu mengapa kita mahu terus ‘berjuang’ memenang atau mempertahankannya? Ya, yang betul katakan betul; yang salah katakan salah. Inilah sebahagian maksud merdeka sebenarnya!

No comments: