Wednesday, September 14, 2016

Kematian Karimov dan kenangan di Uzbekistan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 
SELEPAS empayar Soviet Union terlerai membawa kepada pembentukan 15 republik merdeka pada 1991, saya berpeluang menjejakkan kaki di beberapa republik itu; salah satu daripadanya Uzbekistan yang terletak di Asia Tengah.
Ketika itu Uzbekistan 'berpresidenkan' Islam Karimov, saya sungguh bertuah kerana dapat mewancara beliau di ibu kota Tashkent. Karimov yang tertarik dengan pendekatan pemerintah Malaysia membangunkan negara, sudah beberapa kali ke Kuala Lumpur. 
Sekalipun di banyak negara pemimpin tertinggi sudah bertukar tangan, Karimov tetap di singgahsana kuasa sehingga beliau diumumkan meninggal dunia pada Jumaat, 2 September lalu pada usia 78 tahun setelah memerintah selama 27 tahun!
Karimov yang mewarisi kuasa dari era Soviet, terkenal dengan pemerintahan kuku besi (termasuk 'melenyapkan' mereka yang didakwa militan Islam malah PBB sendiri menyifatkan penyeksaan dilakukan Karimov terhadap musuhnya sebagai bersistematik), disemadikan di kawasan pemakaman Shah-i-Zinda, Samarkand (kampung halamannya). Kompleks pemakaman Shah-i-Zinda ini yang bermaksud 'Raja Yang Terus Hidup' mengandungi bangunan lama zaman berzaman kini menjadi antara tarikan utama pelancong ke Samarkand.
Shah-i-Zinda ini dikatakan mempunyai kaitan dengan kisah Khussam ibn Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. yang terkorban di bumi yang kini dikenali negara Uzbekistan dalam usaha beliau mengembangkan Islam. Sekalipun Khussam sudah syahid dan dipercayai dikebumikan di pemakaman Shah-i-Zinda, bagi sesetengah penduduk, dia tetap hidup di hati mereka. Dialah 'Raja Yang Terus Hidup'!
Jika Khussam ibn Abbas terus hidup di hati penduduk Uzbekistan, apakah Islam Karimov sebagai presiden pertama pasca merdeka juga demikian? Wallahu A'lam Bishawab...hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Dengan kematian Islam Karimov yang menyebabkan nama Uzbekistan disebut-sebut di persada dunia, saya teringat tulisan lama saya mengenai kunjungan ke negara yang kini sudah menjadi salah satu destinasi kunjungan popular pelancong Malaysia.
Antara lain saya menulis: "Ketika menziarahi makam Khussam ibn Abbas di Samarkand, terbayanglah di kotak fikiran saya mengenai pengorbanan sepupu Rasulullah s.a.w. ini. Dari Tanah Arab, Khussam menggembara beribu-ribu kilometer meninggalkan tanah air untuk menyampaikan seruan Islam di Khurasan (kini Uzbekistan).

"Beliau bukan menaiki kapal terbang seperti kebiasaan kita hari ini, tetapi menggunakan kudrat binatang seperti kuda dan unta. Jika kita yang menaiki pesawat pun kadang-kadang tidak tahan dengan cabaran menggembara, bayangkanlah dugaan yang dihadapi oleh Khussam. Sepupu Rasulullah s.a.w. akhirnya syahid dan dimakamkan di bumi Khurasan.

"Bukhara dan Samarkand adalah gambaran kebesaran Islam zaman silam. Nama-nama masyhur dalam dunia Islam seperti Ibnu Sina, Abu Nawas, Imam Bukhari dan Muslim adalah sinonim dengan rantau ini. Penakluk agung seperti Timurlane yang mempunyai empayar yang terbentang luas dari pinggir Eropah ke China juga memusatkan pemerintahannya di Samarkand.

"Menyelami pengorbanan Khussam dan Saad ibn Waqqas (seorang sahabat Rasulullah s.a.w.) yang pergi lebih jauh lagi (negara China) untuk menyampaikan seruan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., membuatkan saya insaf. Bagaimana Khussam dan Saad melakukannya?

"Di sini saya lihat buminya berpadang pasir manakala gunung-ganangnya diselimuti salji. Apabila angin bertiup, ia begitu kencang menyebabkan tubuh dicengkam kesejukan sehingga tulang. Bagaimana mereka merentasi halangan ini?"

Subhanallah, nama Khussam ibn Abbas abadi di bumi Khurasan (Uzbekistan); dia menjadi 'Raja Yang Terus Hidup' sekalipun sudah meninggal dunia lebih 1,000 tahun lalu. Sekalipun bumi Khurasan 'dijarah' pemerintah zalim silih berganti termasuk komunis, 'yang baik tetap terpelihara kebaikan dan namanya'! Khussam ibn Abbas sudah membuktikannya, kita pula bagaimana?

No comments: