***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
DARIPADA 12 negara yang bakal menandatangani Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA), hanya dua negara majoriti umat Islam iaitu Brunei Darussalam dan Malaysia. Kenapa negara teramai umat Islam di dunia yang juga jiran kita Indonesia, tidak berminat? Dengan lebih 220 juta penduduk, bukankah Indonesia antara negara pasaran terbesar di dunia?
Sebagai Muslim, kita sering diingatkan supaya mengutamakan muamalat sesama orang Islam. Ini termasuklah urusan perbankan agar semua urus niaga kita bertepatan dengan syariat Islam - tidak terjebak dengan perkara haram seperti riba.
Pemimpin kita yang beriya-iya mahu menandatangani TPPA juga sering mengingatkan 'ikutlah Islam sepenuhnya'...waduh, tersangatlah 'indah dan manis' cakap-cakap mereka, tetapi apakah yang dapat dikatakan kepada mereka yang 'bikin tidak seperti cakap' atau 'cakap tak serupa bikin ini'?
Hari ini ekonomi orang Islam bukan berada pada tahap membanggakan. Perdagangan sesama negara Islam juga jauh daripada kedudukan menggembirakan sekalipun kebanyakan negara Islam dilimpahi pelbagai sumber kekayaan semula jadi, peratusan perdagangan sesama negara Islam kecil saja.
Tidak lama dulu, dilaporkan hanya enam dan tujuh peratus saja perdagangan negara Islam dilaksanakan sesama sendiri daripada sejumlah besar urusan perdagangan mereka. Kini angka itu dipercayai tidak lebih 15 peratus. Pusat Islam Bagi Kemajuan Dagangan (ICDT) melaporkan perdagangan sesama negara Islam tidak melebihi RM500 bilion. ICDT ini terletak di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memayungi 47 negara Islam.
Dalam menempuh cabaran di dunia tanpa sempadan dengan adanya konsep langit terbuka, sewajarnya negara Islam memperkukuhkan perdagangan sesama mereka yang akan membuka jalan bagi membangunkan ummah secara keseluruhan.
Adalah penting untuk negara Islam yang kaya dan berpengaruh berkerjasama mengumpul sumber kekayaan bagi menyumbang modal untuk membiayai projek pembangunan negara Islam yang miskin. Diharapkan negara Islam memberi tumpuan terhadap usaha mewujudkan kekayaan dan menggalakkan pembangunan ekonomi di kalangan negara Islam yang mundur dan dibelenggu masalah kelaparan, serangan penyakit dan kemiskinan.
Pemimpin kita sering mendabik dada Malaysia adalah negara contoh dan terbaik di kalangan negara-negara utama Islam. Berdasarkan dakwaan mereka ini, sewajarnya Malaysia mengorak langkah untuk mengetuai usaha memajukan ekonomi negara umat Islam. Sekali gus mereka dapat mengubah dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negara-negara terbabit.
Usaha untuk memajukan dan meningkatkan taraf hidup umat Islam (bukan di Malaysia saja malah seluruh dunia) adalah 'jihad' seperti yang sering dilaungkan-laungkan oleh pemimpin kita. Mereka kerap mengelak daripada memperkatakan 'jihad di medan perang' tetapi menekankan 'jihad ekonomi'.
Subhanallah, dengan keadaan umat Islam global (dari Syria ke Indonesia) terumbang ambing, sekarang ini adalah masa terbaik untuk Malaysia 'menjadi juara' meningkatkan ekonomi umat dan negara umat Islam. Walaupun dari segi 'pulangan dunia' tidak seberapa, inilah pengertian jihad yang mesti dibuktikan semua pihak - daripada individu hingga negara umat Islam.
Namun, sayang seribu kali sayang...pemimpin kita yang mendabik dada 'wira dunia Islam', mengambil pendekatan untuk meraih apa yang dakwa keuntungan daripada menandatangani TPPA yang 'dikuasai' Amerika Syarikat. Mereka bertindak bagaikan menepati bidalan, mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.
Jika kita menghayati kisah negara dan bangsa besar dunia, jiwa dan pemimpin rakyatnya tersangat kental. Kita ambil contoh Iran dan bangsa Parsi (ketepikan Syiah yang menjadi pegangan mereka), tidak sekali-sekali tunduk kepada kuasa asing; mereka tetap utuh sekalipun dikenakan pelbagai tekanan antarabangsa.
Demikian juga negara China atau Indonesia, semangat kebangsaan pemimpin dan rakyatnya tersangat hebat...jarang kita mendengar mereka akur kepada tekanan pihak lain.
Jika sebelum ditandatangani TPPA, kita dapat saksikan betapa dominannya syarikat gergasi Amerika seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald's di seluruh dunia termasuk di negara umat Islam seperti Malaysia, tidak tahulah apa akan berlaku selepas perjanjian itu.
Malah, KFC 'sudah hadir' berhampiran pintu Masjidilharam. Ya, jika KFC dapat menembusi Tanah Suci orang Islam dan menjadi sebutan di kalangan jemaah haji, bolehkah syarikat-syarikat orang Islam mendapat pengiktirafan global dengan produknya aktif di pasarkan di negara maju dan kaya seperti Kumpulan G-7 termasuk Amerika Syarikat?
Kita harap boleh...kerana 'Malaysia boleh' dan melalui TPPA, Malaysia 'lagi boleh'...jadi selepas ditandatangani TPPA, akan wujudlah premis produk tempatan seperti 'Keropok Losong' bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di Amerika!
No comments:
Post a Comment