Wednesday, February 3, 2016

Derita warga emas era GST

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
WARGA emas termasuklah pesara kerajaan mengharapkan hidup mereka tenang pada akhir-akhir usia, tetapi akibat tekanan hidup seperti kenaikan harga barangan keperluan asas dan perkhidmatan sekarang ini, ramai yang mengeluh.

Biasanya mereka yang kembali 'hidup berdua-duan' suami isteri kerana anak-anak meneroka hidup sendiri selepas bekerja dan mempunyai anak isteri, dapat hidup dengan selesa kerana sudah tiada tanggungan berat manakala untuk keperluan sendiri mereka tidak perlu berbelanja besar. 

Ya, 'orang tua' tidak banyak yang mereka makan, tidak lagi kerap bertukar pakaian cuma kos perubatan termasuk ubat-ubatan mungkin tinggi terutama bagi yang berpenyakit.

Namun kini, dengan pelbagai tekanan termasuklah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik, 'orang veteran' menjadi semakin risau. Mereka mula berfikir apakah duit pencen mereka cukup dan bagi yang tiada sumber pendapatan tetap, mereka menjadi cemas.

Seorang bekas pesara guru yang menulis surat kepada saya menyatakan dulu bil bekalan airnya setiap bulan hanyalah belasan ringgit tetapi kini sudah berpuluh-puluh malah beratus-ratus ringgit. Malah cukai tanah dan pintu sudah meningkat lebih sekali ganda.

Warga emas ini juga merintih, menyatakan anak-anaknya semakin kurang kerap balik kampung - mungkin kehidupan mereka di bandar semakin terdesak kerana serba-serbinya perlukan wang. Beliau sempat menukilkan sebuah sajak bertajuk 'Keluhan Si Anak Perantau' untuk sama-sama kita fikir-fikirkankan.

Bukan anakanda tak mahu balik,
Ayahanda, bonda,
Wang negara terapung seperti buih sabun,
Indah khabar dari rupa,
Seperti buah kuini,
Licin luar bau harum,
Ulat bersarang di dalam,
Benar, 
Pendapatan ribu-ribu,
Macam lumayan,
Perbelanjaan melebihi pendapatan,
Selepas bayar itu ini,
Nak balik kampung fikir dua tiga kali,
Cukai demi cukai,
Tol demi tol,
Alahai tol,
Petrol,
Aduhai petrol,
Naik selalu,
Sara hidup menajak bak kaduk naik junjung,
Kalau duit minyak duit tol,
Beri mak bapak di kampung,
Lepas sebulan belanja dapur,
Oh, inilah tanah airku Malaysia...

Apabila anak-anak kesempitan hidup, salah satu natijahnya mereka jarang balik kampung. Mungkin anak-anak sekarang ini semakin kurang kerap 'menghulur' (wang) kepada emak ayah. Jika 'menghulur' pun, mungkin jumlahnya dikurangkan - maklumlah untuk menampung kos tol dan harga barangan yang mencanak naik.

Jika seorang pesara guru berpencen meluahkan keresahannya, tidak dapatlah dibayangkan keadaan golongan veteran yang dulunya adalah penoreh getah, petani dan nelayan. Jika dulu mereka menepati peribahawa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', bagaimana agaknya kehidupan mereka sekarang?

Bagi penoreh getah dan petani tua yang mempunyai kebun dan bendang bolehlah mereka 'membanting tulang tua' mereka bagi mendapatkan sesuap dua nasi, tetapi bagaimana pula nasib mereka di kawasan yang dilanda musibah seperti banjir tidak lama dulu?

Misalnya di sejumlah daerah di Kelantan seperti Gua Musang dan Kuala Krai, pokok getah mati manakala di kawasan tidak dilanda banjir dilanda kemarau pula. Dilaporkan daun getah gugur dan susu getah amat sedikit sekali. kerana daun muda. Hasil pekebun kecil kira-kira RM250-350 sebulan dengan harga getah serendah RM1.80-2.50/kg.

Itu kisah di luar bandar; bagaimana keadaan di bandar pula? Nampaknya tiada istilah pencen untuk orang yang telah pencen. Ramai yang masih bekerja, seorang rakan saya sudah lebih 70 tahun masih 'setia' dengan 'kerja keduanya' sekarang (selepas pencen pada usia 55 tahun) sekalipun kudratnya seperti sudah 'dipulas' habis. Ya, apa nak buat, kehidupan di kota segala-galanya memerlukan wang, hatta untuk ke tandas sekarang ini pun bayarannya sudah naik 50 sen!

Selain 'kerja biasa' sebagai 'guard' (pengawal), semakin ramai 'warga pencen' saya perhatikan cuba-cuba berniaga - ada yang buka bisnes nasi lemak, pisang goreng dan air minuman (mereka letak meja di tepi-tepi jalan)...tetapi kalau penjual sudah macam cendawan tumbuh selepas hujan, beratlah persaingan yang akan mereka hadapi bagi mencari sesuap dua nasi. Demikianlah warga emas pun terpaksa bersusah payah menyambung kehidupan dalam 'era GST' ini!

No comments: