***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
CUTI sekolah selama seminggu sempena Tahun Baharu Cina, saya dan keluarga memanfaatkannya untuk menziarahi seorang anak dan isterinya di Kertih, Terengganu dan mengadakan hari keluarga di Melaka. Di Kertih, suatu pagi saya membeli tujuh bungkusan nasi dagang dan sedikit kuih untuk sarapan sekeluarga.
Apabila membuka bungkusan nasi dagang yang berharga RM2 sebungkus, terjumpa saya secubit ikan tongkol. "Aiii,"kata saya kepada isteri, "sekarang ini pada zaman harga barang serba naik ini, depa 'taruh' secubit ikan saja. Dulu sepotong, sekarang dah secubit pula!"
Di Melaka pula, selepas menikmati santapan tengah hari pada hari keluarga, orang rumah saya mengomel: "Siapa masak sambal udang tu? Udangnya dipotong dua, tiga..." Demikianlah pada zaman harga barang serba mahal sekarang ini, nak makan udang pun, udangnya perlu dikerat sebelum dimasak. Yalah, tak boleh salahkan tuan rumah atau tukang masak kerana harga udang sekarang sudah mendadak naik lebih RM30 sekilogram! Selain mahal, nak dapat beli udang pun payah!
Sekalipun tekanan kehidupan semakin berat dari sehari ke sehari, kehidupan perlu diteruskan. Dunia dikatakan mengalami kemerosotan ekonomi yang parah. Harga minyak global merudum, dilaporkan pada paras AS$30 setong. Di negara kita perolehan Petronas merosot teruk, kerajaan dilaporkan gagal mengutip sehingga RM50 bilion daripada 'lubuk emasnya'.
Namun pemimpin negara dengan bangga mengumumkan "nasib baik kita dapat duit melalui GST" (cukai barangan dan perkhidmatan) yang dianggarkan RM30 bilion setahun. Ya, pemimpin berpandangan jauh, 'pandai membuat duit' pada zaman yang serba susah sekarang ini.
Namun wahai pemimpin, tidakkah kamu sedar bahawa wang berbilion-bilion ringgit yang kamu kutip itu sebenarnya adalah wang rakyat. Mungkin kerana adanya GST-lah, harga ikan tongkol dan udang naik mencanak sehinggakan rakyat seperti penulis terpaksa makan nasi dagang yang lauknya hanya secebis ikan manakala sambal mengandungi udang yang dikerat dua atau tiga!
Bagi penulis, syukurlah kerana masih dapat makan walaupun berlaukkan secebis ikan tongkol atau sekerat dua udang; rakyat di luar sana bagaimana keadaan mereka?
Bercakap mengenai keadaan rakyat marhaen menghadapi kesukaran kehidupan, teringat penulis akan pesanan seorang pemimpin tidak lama dulu bahawa "kita perlu mengubah gaya hidup..." Hakikatnya, hari ini dia, isteri dan keluarganya begitu boros berbelanja.
Wahai pemimpin, jangan pandai bercakap muluk-muluk saja; bikinlah seperti apa awak cakap. Tunai apa awak janjikan seperti slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Kalau kamu utamakan rakyat, takkan rakyat sudah jadi begitu derita sekarang ini.
Dulu sebelum pilihan raya kamu mengaku untuk menjadi hamba rakyat. Pilihlah saya, jika saya terpilih saya akan bekerja untuk rakyat; atau bekerjalah bersama saya bukan bekerja untuk saya. Tetapi sesudah berkuasa lain pula dibuatnya.
Pemimpin beraya sakan dengan kuasa yang ada. Mereka ‘shopping’ sana sini termasuk kota London, Dubai dan New York; meninggalkan rakyat terhegeh-hegeh mencari duit tambahan (ada dua kerja) bagi menampung kos perbelanjaan yang semakin tinggi termasuk kenaikan tambang pengangkutan awam baru-baru ini.
Ada kata hikmat Melayu berbunyi 'raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah', jadi jika pemimpin berterusan boros dan melakukan pelbagai kemungkaran, apakah rakyat mahu berterusan menjadi tunggul...apakah rakyat sanggup menyaksikan sesama rakyat yang kehidupan mereka semakin susah hari demi hari.
Pemerintah hari ini yang menyanjung slogan 'rakyat didahulukan' sewajarnya diberitahu mengenai kisah seorang raja yang mendapat kejayaan gemilang di medan perang kerana mengambil berat penderitaan rakyat. Baginda adalah pemerintah Mesir, Raja Malikul Muzafar Quthaz yang dapat menewaskan seterusnya menghalang kemaraan tentera Tartar (Mongol) daripada membinasakan dunia Islam pada abad ke-13 Masihi.
Selepas menghancurkan kota Baghdad, sekali gus mengakhiri pemerintahan Khalifah Abasiyah pada tahun 1258, tentera Mongol pimpinan Hulago Khan menghala ke Barat dan berjaya menawan satu demi kerajaan Islam. Antara faktor kejatuhan kerajaan-kerajaan ini ialah sikap talam dua muka pemerintah dan rakyat, sama seperti dihadapi negara umat Islam hari ini. Pemerintah bertindak zalim, memaksa rakyat bersatu padu tetapi pada masa yang sama mengerah rakyat supaya memenuhi perbendaharaan negara (membayar cukai tinggi) bagi menghadapi musuh.
Bagaimanapul hal ini tidak dilakukan Quthaz, seorang raja yang pernah menjadi hamba tetapi akhirnya berjaya memerintah Mesir. Dalam menghadapi kemaraan tentera Tartar baginda memanggil alim ulama, amir-amir, menteri, hakim dan pembesar negara untuk berbincang. Dalam majlis ini Sultan meminta padangan mereka apakah dibolehkan mengutip wang dan mengambil harta rakyat untuk membiayai kelengkapan perang.
Dalam majlis ini, tidak seorang pun berani mengeluarkan fatwa kecuali Syeikh Abdus Salam yang berkata, tindakan tersebut wajib dimulakan ke atas amir-amir dan pembesar negara. Permintaan ini adalah sesuatu yang berat kerana sebelum ini tiada amir dan pembesar negara yang berbuat demikian. Bagi Sultan pula, fatwa Syeikh Abdus Salam amat berat - bagaimana baginda mahu memaksa pembesar baginda menyerahkan sebahagian harta mereka?
Di dalam buku 'Wahai Islamku' tulisan Ali Muhammad Baktsir (terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura-1986) ada diceritakan bagaimana Sultan Quthaz menunjukkan teladan bagi dicontohi raja-raja dan pemerintah selepasnya, termasuk pada hari ini.
"Sekarang akulah yang pertama turun tangan, menyetor emas dan perak yang aku miliki kepada Baitulmal. Inilah perhiasan Sultanmu," kata Malikul Muzafar menunjukkan pada peti yang terletak di hadapannya itu. "Sekarang aku serahkan harta ini kepada Baitulmal. Di hadapanmu sekarang aku bersumpah kepada Allah. Aku tidak mengambil hasil negeri ini selain daripada kebutuhan diriku. Sekali-kali aku tidak akan melebihi bahagianku daripada bahagianmu, katakanlah aku ini menyimpan harta dan kekuatan. Bagaimanalah caranya seseorang Sultan hidup tanpa ada barang simpanan dan kekuatan."
Selain menyerahkan hartanya, Sultan Quthaz juga ke medan perang bagi menghadapi musuh. Bukan saja baginda yang berada di barisan depan tetapi juga pemaisurinya, Jalinar (Jihad). Dalam pertempuran itu, Jalinar tewas dan apabila hampir menutup matanya buat selama-lamanya, di dalam pangkuan suaminya, permaisuri itu berkata: "Wahai Islamku, wahai Islamku."
Jalinar tidak mengatakan wahai kekasihku (suaminya) tetapi wahai Islamku, menunjukkan betapa cintanya pada Islam sehingga sanggup menyerahkan nyawanya untuk Islam. Demikianlah betapa sikap dan peribadi Quthaz dan permaisurinya dalam menghadapi musuh Islam. Ciri-ciri yang dimilikinya itulah membolehkan umat Islam menewaskan musuh-musuh Allah termasuk tentera Mongol yang terkenal ganasnya pada masa itu. Itulah pemimpin yang mendahulukan rakyat; biar dirinya susah hatta mati asal rakyat senang tidaklah seperti sekarang, pemimpin mendahulukan rakyat untuk 'mati', asalkan dia senang...
No comments:
Post a Comment