Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
KETIKA saya sampai di sebuah masjid untuk solat asar, azan berkumandang di udara. Di sebelah masjid ada sebuah sekolah agama rakyat; murid-murid saya lihat sedang bermain kejar-kejar - ya anak-anak itu sedang menikmati waktu rehat.
Terfikir di benak saya kenapa murid-murid sekolah agama tidak disertakan sekali untuk bersama-sama solat berjemaah di masjid. Alangkah bagusnya jika anak-anak dilatih sejak kecil untuk bersama-sama ke masjid untuk solat berjemaah.
Menyaksikan wajah bersih anak-anak itu, saya membayangkan alangkah moleknya jika pengurusan sekolah agama dapat mengatur jadual agar anak-anak dapat menyertai solat berjemaah asar di masjid. Perkara ini dapat dilakukan jika sekolah agama di sebelah masjid, jika sekolah jauh dari masjid mereka boleh bersolat bersama-sama guru di surau atau dewan.
Membiasakan (mempraktikkan) anak-anak untuk bersolat berjemaah tersangat besar faeadahnya. Jika guru, murid dan sesiapa saja di kalangan Muslim dilatih bersiap sedia untuk solat waktu berjemaah, alangkah indahnya. Tetapi ini jarang berlaku, jadi di mana silapnya?
Saya amat-amati di sekolah agama rakyat itu, ketika azan berkumandang, aktiviti sekolah berjalan seperti 'biasa'. Jika bertepatan dengan waktu rehat (waktu solat berubah-rubah), murid-murid dilihat melompat, jika waktu lain, guru masih mengajar dan murid-murid menjerit mengikut apa yang guru suruh sebut. Subhanallah, tidakkah guru mahu mengajar anak muridnya 'melakukan apa yang patut' apabila mendengar seruan azan?
Jika guru-guru dan murid-murid menyertai solat asar berjemaah, insya-Allah akan beres banyak perkara seperti soal solat. Misalnya murid-murid balik jam 6.15-6.30 petang; bolehkah kita jamin mereka solat asar di rumah? Alangkah ruginya jika kita tidak membimbing anak-anak untuk solat berjemaah semata-mata untuk mengikuti jadual berdasarkan sukatan mata pelajaran yang ditetapkan.
Ya, sekarang ini, anak-anak diajar untuk menimba ilmu sebanyak mungkin tetapi kurang dari segi pengamalannya. Budak-budak sekarang pandai menghafaz itu dan ini, dalam peperiksaan mereka mendapat berderet A, tetapi satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus murid-murid yang cukup solat waktunya. Akhlak mereka juga perlu dipertingkatkan, sebagai contoh di laman masjid ramai ketika menanti untuk pulang, ada sesuka hati membuang sampah merata-rata tempat.
Berdasarkan apa yang saya saksikan ini, saya rayulah pihak berkuasa agama (di Malaysia hal berkaitan agama adalah di bawah kerajaan negeri), bermuhasabahlah; lakukan penambah-baikan kaedah pembelajaran anak-anak kita, biar mereka mempraktikkan apa yang diajar. Jika kita mengajar solat berjemaah itu sangat penting, marilah kita bimbing anak-anak murid kita untuk menyertai solat berjemaah di masjid dengan meninggalkan sebentar apa saja aktiviti di sekolah. Bukankah panggilan Allah itu lebih besar daripada segala-galanya!
Jika kita sudah mengajar dan mempraktikkan generasi muda untuk segera menyahut seruan Allah, insya-Allah mereka akan berterusan berbuat demikian sepanjang hayat mereka. Tetapi jika guru tidak terasa apa-apa pun ketika seruan kepada Allah dilaungkan (azan), kerana mereka masih mengajar dan tidak berasa perlu ke masjid, kita bimbang anak-anak murid akan ditanamkan ke dalam jiwa mereka untuk 'buat dek saja' (pekakkan telinga) apabila mendengar azan.
Bagi saya, sekolah agama adalah tempat terbaik untuk mempraktikkan apa yang diajar. Jika diajar bab solat, pastikan guru dan anak murid sendiri solat berjemaah di masjid apabila keadaan mengizinkan. Jika pengurusan sekolah agama pun tidak dapat melakukan perkara ini, bagaimanakah situasi di sekolah lain seperti sekolah kebangsaan.
Saya difahamkan kehadiran di sekolah agama (petang) bukanlah 'perkara mesti' di negara kita. Dilaporkan lebih kurang 50 peratus saja anak-anak di sekolah kebangsaan (sebelah pagi) belajar di sekolah agama.
Ibu bapa mempunyai banyak alasan tidak menghantar anak mereka ke sekolah agama. Kena bayar yuranlah, lebih banyak belanjalah kerana anak dihantar ke sekolah dua kali dalam sehari dan ada yang memberitahu tak ada orang hendak menguruskan anak-anak. Ada yang mendakwa anak-anak mereka sibuk bersedia untuk menduduki UPSR dengan pelbagai tuisyen dan program bimbingan, jadi tiada masa untuk anak-anak ke sekolah agama.
Anak-anak yang tidak dihantar ke sekolah agama akan menghadapi banyak masalah. Mereka akan lemah pengetahuan agama, lemah Jawi dan terlepas peluang amalan praktikal seperti sembahyang berjemaah. Memang betul di sekolah kebangsaan ada subjek pengetahuan Islam termasuk bab solat tetapi itu tidak memadai.
Seorang ustaz berkata janganlah hendaknya agama hanya berguna pada tiga keadaan saja iaitu semasa kelahiran, perkahwinan dan kematian.Semasa lahir, anak diazankan kemudian semasa perkahwinan dinikahkan secara Islam dan akhirnya mati dimandi, kafan, solat dan dikebumikan; selain daripada hidupnya jauh daripada agama, solat dan masjid tersangat jauh daripada dirinya walaupun dia mungkin berjiran dengan masjid. Ya, didiklah anak-anak (murid) kita untuk sentiasa menunaikan solat waktu berjemaah di masjid!
No comments:
Post a Comment