Friday, October 2, 2015

Tanda-tanda kejatuhan 'sebuah empayar'...

*************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***************
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)
****************

MENYOKONG kepada sesuatu yang zalim adalah maksiat besar; Imam Al-Ghazali dalam kitabnya 'Bidayatul Hidayah' dalam bab 'Cara Meninggalkan Maksiat' yang menyentuh mengenai kepentingan menjaga dua kaki, mengingatkan bahawa hendaklah kita memelihara kaki daripada berjalan ke tempat diharamkan atau berjalan kepada sultan (pemerintah) yang zalim.

Ya, sekarang ini pelbagai pihak mengadakan perhimpunan namun sebagai orang mengaku beriman kita perlu berilmu dan terpandu sama ada 'penggunaan kaki' kita itu (dalam perhimpunan dan protes orang berarak di jalan raya) digunakan pada jalan yang diredai atau dimurkai-Nya.

Kata Imam Ghazali berjalan menuju kepada sultan (pemerintah) yang zalim itu tanpa ada darurat dan paksaan adalah maksiat yang besar kerana yang demikian itu dianggap 'tawadhu' atau merendahkan diri bagi mereka dan menghormati atas kezaliman mereka, sedangkan Allah menyuruh kita supaya berpaling daripada orang yang zalim, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah engkau cenderung hati kepada orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka." (Surah Hud, ayat 113)

Kecenderungan menyokong kepada penguasa zalim adalah salah satu petanda bahawa sesebuah pemerintah (dulunya dirujuk sebagai empayar misalnya dalam sejarah Islam, dinasti Umaiyah, Abasiyah, Fatimiah, Uthmaniyah (Ottomon), Moghul dan di rantau kita, Melaka) sudah berada di peringkat nazak atau sesetengah bijak pandai menggelarnya zaman gerhana.

Jika kita rujuk kejatuhan empayar-empayar ini, satu daripada faktornya adalah penguasa-penguasa terakhirnya (termasuklah orang besar seperti menteri) tersungkur di kaki perempuan, korupsi berleluasa dalam negara manakala rakyat dizalimi dengan pelbagai tekanan termasuk dikenakan cukai melampau. Ada yang membiarkan permaisuri 'menguasai keadaan' - mereka bagikan tunggul atau 'yes man' saja kepada segala kehendak bini.

Selain itu terlalu ramai pemimpin menjadi 'kaki bodek' (mengiyakan apa saja kelakuan pemerintah iaitu tidak berani menegur mereka manakala sebahagian lagi menjadi pengkhianat - mereka menjadi gunting dalam lipatan, memberi bantuan kepada musuh pada saat-saat genting).

Bagi membicarakan isu ini, penulis hanya merujuk kepada zaman gerhana Kesultanan Melaka untuk dijadikan teladan - yang baik dijadikan ikutan yang tidak baik dijadikan sempadan.

Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.

Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.

Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.

Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.

Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...

Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan)  yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528. 

Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana...ya fikir-fikirkanlah sejenak sama ada kita kini di zaman gerhana atau tidak!

No comments: