Monday, October 19, 2015

Pemimpin tiru Zionis, rakyat pun ikut sama...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

PERTEMUAN pemimpin tertinggi Malaysia-Israel (rejim Zionis) di New York baru-baru ini mungkin memeranjatkan sesetengah pihak tetapi tidak bagi pihak tertentu. Ini kerana mereka sedar dan dapat melihat kian ramai pemimpin tempatan meniru pendekatan Zionis dalam pelbagai bidang termasuklah politik agar mereka dapat terus 'menongkat langit' (berkuasa).

Rejim Zionis (Israel atau Tel Aviv) terkenal dengan kezalimannya termasuk meletupkan kediaman serta orang awam Palestin; segelintir pemimpin kita pun sama - mereka meletupkan pesaing atau orang boleh mengancam kedudukan mereka; kini rakyat pun 'pandai' meletupkan 'musuh' termasuklah kes terbaru sepasang suami isteri di Gua Musang yang 'mati berkecai' selepas motosikal mereka yang disyaki dipasang bom, meletup!

Sebelum melanjutkan persoalan mengenai Zionis adalah penting untuk kita 'merenung sejenak' perbezaan rejim ganas ini dengan orang Yahudi. Secara amnya, orang Yahudi terkenal di seluruh dunia sebagai bangsa yang sombong. Allahyarham Zubir Ali pernah merakamkan perkara ini (bangsa sombong dan hina) dalam salah sebuah lagunya, ‘Balada Seorang Gadis Kecil’.

Bagi orang Islam, sepanjang penelitian kita terdapat sejumlah hadis yang menunjukkan bahawa Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. pernah berhubungan dengan orang Yahudi. Antaranya sebuah hadis yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi s.a.w. menggadaikan baju besi kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya." - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Sebuah lagi hadis bermaksud: “Daripada Aisyah r.a. berkata Nabi s.a.w pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w. menyerahkan baju besinya." - Riwayat Al-Bukhari

Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?” - Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961)

Berdasarkan ini, adalah tidak benar untuk menyatakan tidak boleh berhubungan (termasuk bermuamalat) dengan orang Yahudi; tetapi yang tidak bolehnya meniru perangai dan sikap sesetengah orang Yahudi yang kini terkenal dengan rejim Zionisnya yang membelasah penduduk Palestin semahu-mahunya. Zionisme diwujudkan pada 1897 oleh Theodor Herzl dan daripadanya terdirinya 'negara' (rejim) haram Israel di atas tanah Palestin pada 1948.

Kita pun jangan tersilap faham. Ada orang Yahudi beragama Islam atau sudah memeluk Islam dan amat baik sekali perangai mereka. Dua gadis Muslim di Perancis (Leila dan Alma) yang menentang larangan pihak berkuasa mengharamkan hijab tidak lama dulu adalah orang Yahudi. Bapa mereka adalah Laurent Levy, seorang Yahudi tidak beragama (ateis). Namun dia tidak membantah apabila anak-anaknya memilih Islam.

Cakaplah apa saja mengenai Zionis (rejim Tel Aviv, kini dipimpin PM Benyamin Netanyahu) seperti sombong, jahat, zalim, pembunuh dan sebagainya, mereka buat ‘dek aje’ (tak tahu). Mereka tidak ambil peduli jika seluruh dunia mengutuk mereka, yang mereka tahu kepentingan mereka didahulukan, diutamakan.

Kini sikap dan perangai Zionis inilah yang semakin menular dalam masyarakat kita terutama pemimpin dan ia ditiru rakyat. Katakan dan tuduh apa saja kepada mereka; pembunuhkah, meletupkan orangkah, berjoli katak dengan wang rakyatkah, penzinakah, perasuahkah, mereka buat pekak saja. Mereka tidak ambil peduli atas tuduhan itu, apa yang mereka tahu cita-cita mereka untuk ke puncak kemasyhuran dunia tercapai. Bagi pemimpin mereka berperangai Zionis -  rakyat yang perjuangkan hak dikenakan pelbagai tindakan termasuk di bawah Akta Hasutan.

Sama seperti orang Yahudi-Zionis, orang Malaysia juga mula tidak ambil peduli apabila dilempar pelbagai tuduhan seperti meletupkan orang, mencuri laki orang, berzina dan merasuah berbilion-bilion ringgit. Mereka tidak pun berusaha untuk membersihkan nama mereka melalui langkah menyaman si penuduh. Orang Yahudi-Zionis, biarlah apa dikatakan terhadap mereka, perangai mereka tetap sama sejak dulu, kini dan mungkin selamanya. Orang Malaysia pun mulai sama macam mereka, keras hati dan keras kepala, dulu, kini dan selamanya.

Sepanjang sejarahnya, Yahudi adalah bangsa yang melawan Rasul. Nabi Musa a.s. dilawan mereka, ada Nabi diusir mereka dan sesetengah Nabi seperti Nabi Yahya a.s. digergaji sampai mati oleh mereka. Orang Malaysia sekarang ini pun apa kurangnya, orang yang perjuangkan hak rakyat mereka kenakan pelbagai tindakan. 

Kenapa orang Malaysia kini berperangai macam Yahudi-Zionis? Orang Yahudi tidak menjajah dunia seperti British, Sepanyol, Belanda, Portugis dan sebagainya. Tetapi mereka menjajah pemikiran penduduk seluruh dunia.

Shakespeare melalui karyanya ‘The Merchant of Venice’ atau juga dikenali sebagai ‘The Jew of Venice’ mengingatkan betapa liciknya orang Yahudi melalui watak Shylock yang mahukan mengerat daging Antonio selepas dia gagal membayar balik pinjaman yang diberikan si Yahudi.

Jadi Yahudi-Zionis hari ini telah berjaya menerbos mereka yang tubuhnya bersifat bangsa Malaysia (Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya) dengan ‘meyahudikan’ dan 'menzioniskan' pemikiran dan perangai mereka. Mungkinkah mereka melakukan ini melalui suntikan beracun yang kini semakin diheboh-hebohkan melalui pembabitan Apco Worldwide?

Benar batang tubuh orang Malaysia dilihat sebagai bersifat kebangsaan. Mereka bangga memperkenalkan persembahan ala-Malaysia di New York, tetapi pemikiran dan perangai mereka menyerupai orang Yahudi-Zionis.

Sebagai contoh pemimpin buat pekak badak sahaja, suara rakyat yang mempersoalkan penyelewengan kuasa, pembaziran dan kezaliman mereka tidak dipedulikan langsung, yang penting mereka perlu dilihat terhebat di seantero dunia.

Apabila perangai Zionis diamalkan pemimpin, dikhuatiri penyakit amat bahaya ini menjangkiti rakyat. Tengoklah perangai rakyat sekarang ini sudah macam Zionis. Bunuh orang, ledak (letup) orang, tetak orang, simbah asid, buang bayi malah bakar bayi, semakin menjadi-jadi. Siapa ajar semua ini?

Kebanyakan orang yang melakukan jenayah ini sudah buta dan keras hati. Mereka buat pekak badak sama seperti pemimpin yang didakwa melakukan pelbagai jenayah termasuk meletupkan orang. Semuanya buat-buat pekak, buta dan bisu samalah seperti sikap orang Yahudi-Zionis.

Pemimpin yang telah buta hati ini, cakaplah apa saja pada mereka, mereka tidak peduli lagi. Cakaplah rasuah berbilion ringgit, skandal itu skandal ini, mereka tidak ambil peduli pun. Cakaplah pemimpin itu dan ini ada skandal seks, bunuh orang atau singkir pembantu, mereka tidak peduli. Amat menakutkan, sesetengah rakyat pun sudah sama macam mereka. Ya, kita bukan Yahudi-Zionis tetapi lagak kita sudah sama macam mereka, atau mengalahkan mereka. Tidakkah ini 'amat menggerunkan'?

No comments: