Tuesday, October 13, 2015

Haji, hajah bersamalah perjuang keadilan...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

ALHAMDULILLAH jemaah haji mulai kembali ke negara dan kampung halaman masing-masing. Dilaporkan ada lebih tiga juta jemaah tahun ini; mereka termasuklah kira-kira 25,000 orang dari Malaysia. Jika setahun 25,000 orang 'menjadi haji dan hajah', jumlah haji dan hajah dalam tempoh 10 tahun lalu di negara kita adalah kira-kira 250,000 orang manakala dalam tempoh 20 tahun lalu ada 500,000 (setengah juta) orang.

Sudah pasti angka ini tidak tepat kerana pelbagai faktor misalnya ada haji dan hajah sudah meninggal dunia dan ada yang mengerjakan haji lebih daripada sekali. Namun angka ini membayangkan ada 'ramai' haji dan hajah di negara kita. Mereka yang sudah mengerjakan haji (melengkapkan Rukun Islam) mendapat penghormatan tertinggi masyarakat (dipandang sebagai orang baik-baik) dan dari sudut pandangan agama jika mereka ikhlas dalam ibadat ini lantas mendapat haji mabrur, balasan yang dijanjikan Allah tiada lain melainkan syurga.

Persoalan yang ingin kita fikirkan sejenak di ruangan ini adalah mengapa haji dan hajah ramai di kalangan kita tetapi aneka penyelewengan (termasuk kerakusan kuasa, gejala rasuah, ampu-mengampu malah membunuh) dan maksiat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita? Apakah haji dan hajah tidak mengorak usaha atau membantu pihak lain dalam membanteras penyelewengan dalam negara kita? Atau adakah mereka membuat 'pekak badak' saja terhadap pelbagai ketidak-adilan yang berleluasa dalam masyarakat?

Cendekiawan ada mengungkapkan bahawa tragedi (seperti berleluasanya penyelewengan dan maksiat) bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi sikap membisu, memekakkan telinga dan membutakan mata oleh orang baik-baik. 

Mereka membenarkan kejahatan merajalela; ya setiap tahun berjuta-juta orang ketika mengerjakan haji berikrar untuk tunduk dan patuh serta berkhidmat kepada Allah Yang Kuasa, tetapi selepas balik dan bergelar haji dan hajah di manakah mereka sudah pergi? Kenapa dibiarkan aneka ketidak-adilan termasuk penyelewengan oleh pemimpin berleluasa?

Cendekiawan prihatin amat berharap haji dan hajah tidak terlupakan tugas suci mereka untuk memerangi ketidak-adilan, kesombongan serta kejahilan dengan lidah, tangan, hati dan segala segala sumber yang ada pada mereka.

Sesiapa yang sudah menunaikan haji, mereka diharap dapat mempamerkan 'kebaikan tertinggi' dalam apa saja mereka kerjakan selaras dengan ajaran Rasul, Nabi Muhammad SAW.

Ya, ada ratusan ribu insan bergelar haji dan hajah di negara kita, persoalannya di manakah mereka pada ketika negara digegarkan dengan pelbagai kejahatan seperti berleluasanya rasuah, penyelewengan kuasa, penyelewengan sumber termasuk kewangan. Mengapa membisu seribu bahasa...atau lebih buruk lagi mereka ada bersama-sama 'geng kejahatan' ini?

Jumlah haji dan hajah yang ribuan orang itu sudah pasti kuat suara mereka dalam menentang penyelewengan, kezaliman serta maksiat yang 'subur' di sekeliling mereka. Ya, haji dan hajah 'ada di mana-mana' tetapi di manakah suara mereka itu? Mengapa mereka membisu?

Umat Islam, apatah lagi mereka yang sudah bergelar haji dan hajah diminta menyeru kebaikan dan melarang kejahatan sebagai firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Quran 3:104)

Kemudian dalam ayat lain (Quran, 3:110) Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar imam).

Haji dan hajah, insya-Allah adalah orang baik-baik. Malah mereka memang baik sekali. Dalam kesempatan yang ada, marilah kita haji dan hajah meluangkan masa sejenak dua untuk merenung kata-kata bijak pandai bahawa tragedi kejahatan yang berlaku seperti rasuah wang berbilion-bilion ringgit, penyelewengan dalam pelbagai urusan kehidupan dan aneka maksiat bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi kerana sikap membisu dan memekakkan telinga oleh orang baik-baik.

Mungkin haji dan hajah tidak dapat bayangkan kejahatan rasuah atau penyelewengan wang berbilion-bilion ringgit itu tetapi tentunya haji dan hajah di ceruk-ceruk kampung berhadapan dengan harga barangan keperluan yang naik mencanak disebabkan cukai melampau manakala bil elektrik serta air meningkat; jadi adakah haji dan hajah masih dapat mendiamkan diri di atas ketidak-adilan ini?

Dalam Islam, keadilan sosial adalah bahagian penting ajarannya; adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berkuasa untuk memenuhi keperluan rakyat dan bukan menambah beban mereka. Ingatlah dalam harta orang kaya termasuk pemerintah ada hak orang (miskin) iaitu zakat yang perlu diuruskan sebaik mungkin. Ya rakyat adalah untuk dibantu bukan ditindas, oleh itu wahai haji dan hajah bangunlah, bangunlah untuk memperjuangkan keadilan yang dituntut dalam Islam!

No comments: