Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***
SEORANG ustaz dalam tazkirahnya berhubung kekeluargaan sering mengingatkan bahawa dalam masyarakat pasti ada spesies suami isteri terutama si suami yang 'jenis tak makan saman'.
Suami atau bekas suami jenis ini cenderung melanggar peraturan kehidupan kekeluargaan (suami isteri) dan tidak dapat dinasihati, mungkin mereka dapat diajar dengan 'undang-undang dan penjara' saja.
Ambil saja soal nafkah, kata ustaz. "Ada suami sangat baik, secara konsisten menafkahi anak isteri, ada suami mengelat tetapi selepas dinasihati dia bagi nafkah, kemudian ada pula suami yang tak bagi nafkah tetapi selepas dinasihati dia naik angin pula termasuk menghilangkan diri.
Suami atau bekas suami golongan ketiga ini adalah daripada 'spesies tak makan saman', yang boleh mengajar mereka adalah hanya undang-undang dan penjara saja, kata sang ustaz. Kadang-kadang perintah mahkamah agar mereka menafkahi anak-anak selepas berlaku perceraian tidak pun dihiraukan mereka, jadi jelaslah mereka daripada 'jenis tak makan saman';
Ada di kalangan pengguna jalan raya pun daripada jenis yang tak makan saman. Ya, bukan kita tidak tahu ada daripada rakan-rakan kita yang menerima begitu banyak samam, namun mereka buat tak peduli saja. Malah ada yang lebih hebat lagi, mereka koyakkan saja surat saman yang diterima. Jadi apa yang dapat mengajar mereka yang tak makan saman ini, mungkin penjara saja!
Kalau ada suami isteri dan pengguna jalan raya yang 'jenis tak makan saman' di kalangan orang politik terutama pemimpin pun ada yang tak makan saman. Mereka jenis pekak badak; mereka buat sesuatu berdasarkan naluri nafsu mereka saja, mereka tidak peduli atau sensitif atas pandangan orang atau pihak lain termasuklah pembantu sendiri. Jika ada orang melawan, mereka singkir atau hancurkan orang itu. Ya inilah pemimpin jenis tak makan saman dan tak berhati perut.
Pemimpin jenis ini tidak peduli nasib rakyat marhain. Jika dulu cukai tinggi telah dikenakan ke atas rakyat, kini digandakan lagi dengan pelbagai kos perkhidmatan kehidupan. Susah rakyat tidak difahami dan dirasai; namun pada masa yang sama mereka melaungkan lagu-lagu indah kononnya merekalah pembela rakyat miskin...mereka 'tabur' sana sikit, 'tabur' sini sikit bagi rakyat diam. Mereka berlagak bagaikan 'Robin Hood' - merompak orang kaya kononnya untuk diberikan kepada orang miskin. Malah mereka menerima derma, sepatutnya derma itu untuk orang miskin dan tidak mampu bukan orang kaya dan berkuasa.
Pemimpin-pemimpin jenis ini juga 'pandai' dalam bab agama. Dalami dan ikutlah ajaran agama sepenuhnya, kata mereka. Malah mereka menasihatkan alim ulama supaya menerangkan ajaran agama sebenarnya kepada rakyat. Kalau pemimpin sudah menasihatkan alim ulama, bermakna pengetahuan agama pemimpin sudah lebih tinggi daripada alim ulama, tetapi hairan ya, mengapa kehidupan mereka termasuk isteri tidak menunjukkan mereka faham mengenai agama. Mana ada agama suruh pemimpin hidup bermewah-mewah dan mengenakan cukai yang tinggi-tinggi kepada rakyat?
Bagi rakyat yang tak sedar, pemimpin jenis ini tetap 'mewangi' di hati mereka. Setiap kali pilihan raya undi diberi, mereka tidak tahu pemimpin jenis ini adalah daripada spesies yang tak makan saman. Kalau suami atau pesalah jalan raya daripada jenis yang tak makan saman, mungkin penjara dapat mengajar mereka tetapi apa yang dapat mengajar pemimpin jenis ini?
Jelas sekali rakyat tidak boleh menyaman pemimpin spesies ini. Ya, mereka bukan saja sudah pekak budak tetapi tak makan saman, jadi buat apa mengemukakan saman. Awal-awal lagi rakyat sudah tahu bahawa sekalipun mereka mengemukakan saman, mereka tidak akan menang.
Banyak contoh kes dan pengemuka saman 'sudah terpelanting' dalam usaha mereka itu. Belum sempat mereka membuat laporan apatah lagi di luar negara, mereka sudah disumbatkan dalam lokap polis.
Namun pemimpin-pemimpin kena ingat, dunia yang singkat ini adalah tempat menyemai benih, akhirat nanti kamu terimalah pembalasannya! Namun sebelum kamu dihukum di akhirat sana, rakyat tetap akan memperjuangkan keadilan di dunia fana ini; bukankah hidup ini satu perjuangan? Mereka tidak peduli sama ada kamu tak makan samankah atau makan samankah, mereka mahukan keadilan.
Rumusannya, penjara mungkin dapat mengajar sesetengah pesalah seperti bekas suami yang tak membayar nafkah atau pesalah jalan raya; namun setakat ini 'buntulah' hamba (penulis) dalam mengemukakan pandangan apa yang dapat mengajar pemimpin-pemimpin yang tak makan saman ini. Mungkin pembaca yang arif dapat membantu hamba yang daif ini...
No comments:
Post a Comment