Wednesday, July 8, 2015

Tidak guna pemimpin berubah jika rakyat terus susah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)

'PAKATAN harapan rakyat' - demikian sebegitu banyak ucapan dan tulisan di mana-mana termasuk dalam dunia siber tetapi akhir-akhir ini harapan rakyat bagi 'membenamkan' Umno-BN yang terlalu rakus berkuasa sedikit sebanyak terjejas berikutan perkembangan terbaru dalam Pakatan Rakyat.

Dalam kesinambungan tamadun manusia malah kehidupan manusia sendiri dua komponen pihak iaitu pemimpin dan orang dipimpin (rakyat) perlu wujud (ada). Jika tiada rakyat, tiadalah pemimpin, jika ada rakyat pasti ada pemimpinnya. Peri pentingnya hubungan pemimpin dan rakyat dapat dilihat daripada kata-kata mutiara seperti 'raja dan rakyat tiada terpisah jua', 'baik pemimpin baiklah rakyat' dan 'raja adil raja 'disembah'; raja zalim raja disanggah'.

Demokrasi juga memelihara hubungan pemimpin-rakyat. Rakyat memilih pemimpin, maka timbullah slogan seperti 'daripada rakyat untuk rakyat' dan 'daripada rakyat kepada rakyat'. Di sini jelas sekali kepentingan rakyat...dan berhubung perkara ini saya sangat tertarik dengan kata-kata bernas yang kerap diungkapkan oleh seorang pemimpin Pakatan Rakyat (usahlah namanya dinyatakan)..."tidak guna pemimpin (pemerintah) berubah jika rakyat terus susah."

Antara lain beliau mengungkap bahawa; "kita bukan bermatlamat menukar pemimpin...ya buat apa tukar pemimpin jika pemimpin baru itu sama seperti pemimpin lama yang terus menyusahkan rakyat." 

Ya, dalam konteks rakyat, apa yang menjadi keutamaan mereka? Tentunya kehendak kebanyakannya menepati pandangan ahli ekonomi (malah kehidupan) bahawa mereka mahu memenuhi keperluan asas manusia itu soal makan-minum, pakaian dan tempat tinggal. Namun ada yang meletakkan 'persoalan ketuhanan' di kedudukan tertinggi kerana makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu diperolehi secara 'telus' (halal). Selepas itu barulah manusia bergerak ke depan dengan memikirkan mengenai soal kekeluargaan, hubungan sesama manusia (berkerajaan dan bermuamalat), pendidikan, keadilan dan sebagainya.

Demikianlah, wahai pemimpin buat permulaan jagalah persoalan makan minum, pakaian dan tempat tinggal (rumah) rakyat. Dan bagi pemerintah yang gagal 'berlaku adil' dalam hal ini seperti menekan rakyat dengan mengenakan cukai tinggi sebaliknya mereka melakukan pemborosan dan aneka penyelewengan, maka sewajar mereka diganti. Namun amat malang jika pemerintah baru 'berperangai sama' yang mengakibatkan kehidupan rakyat semakin susah - jadi apa ertinya jika pemimpin sudah bertukar tetapi rakyat tetap susah. 

Hal yang sama juga boleh dikatakan mengenai keadilan; apa guna pemimpin sudah bertukar tetapi rakyat dizalimi dan tidak mendapat keadilan seperti ada 'set undang-undang berbeza untuk golongan atasan dan rakyat marhain'. Perkara inilah yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang dalam salah satu hadisnya ada menyatakan, "jika Fatimah (anak baginda sendiri) yang mencuri akan kupotong tangannya..."

Membicarakan soal pemimpin berubah rakyat tetap susah ini, kita cukup tertarik dengan kritikan tajam pelbagai pihak di Indonesia termasuk media massanya apabila Joko Widowo (Jokowi)- Jusuf Kalla (JK) mengambil alih kuasa daripada pasangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) - Boediono tahun lalu.

Selepas Jokowi-JK berada di puncak kuasa, media massa dengan keras mengingatkan pemimpin bahawa tidak guna pemerintah saja berubah tetapi nasib rakyat tetap sama - tidak berubah, miskin di dalam sebuah negara yang mewah sumber alamnya.  Mereka berkata, kebanyakan pemimpin tetap sama, belum dapat kuasa banyaklah janji dan pameran kebaikannya tetapi selepas itu janji tinggal janji..."

Akhbar 'Pikiran Rakyat' tanggal 23 Oktober 2014, misalnya, dalam sebuah artikel utamanya mengingatkan: "Para pemimpin yang baru terpilih...jangan hanya 'bisa' membuat program kerja baru, tapi 'bisa' melaksanakannya." Rakyat sudah muak dengan janji-janji, mereka mahu menikmati hasil daripada program dan projek kerajaan tetapi hal itu tidak berlaku - kehidupan mereka masih sama seperti dulu sekalipun pemimpin sudah acap kali berubah.

Kini selepas hampir setahun Jokowi-JK berkuasa - apa rakyat kebanyakan sudah dapat daripada pertukaran pemimpin ini? Ya, kebanyakannya terus susah dengan harga minyak terus naik begitu juga dengan tarif listrik (elektrik).

Ada satu lawak di Indonesia, bahawa harga minyak, barangan dan tarif tidak dinaikkan; perkataan yang mereka gunakan adalah 'harganya berubah'. Ini mungkin menyamai tindakan pihak berkuasa Malaysia yang menggunakan istilah 'rasionalisasi subsidi' bagi mengabui mata rakyat. 

Ya kebanyakan pemimpin sama saja (kecuali segelintir), tidak kira di Indonesia atau Malaysia malah di serata dunia, belum dapat kuasa banyak saja janjinya, sudah berkuasa habuk pun tak ada!

No comments: