Monday, July 27, 2015

Dari UKM ke Harakah (24): Dendang perantau bujang di Aidilfitri...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 


SYUKURLAH selama lebih 12 tahun (1999-2012) bekerja di Harakah tidak pernah saya 'menyambut' hari raya (sama ada Aidilfitri atau Aidiladha) di Kuala Lumpur atau lebih tepat lagi perlu bekerja di pejabat pada hari raya pertama.

Namun ketika bekerja di akhbar arus perdana juga selama 12 tahun (1986-1998), beberapa kali terkena giliran saya untuk bekerja pada hari pertama Aidilfitri. Ya, celoteh kali ini adalah kisah dendang perantau di Aidilfitri...yang sudah bekeluarga lain ceritanya berbanding dengan si bujang yang bagi saya 'lebih teruk terkesan' terutama dari segi makan dan minumnya.

Seorang sahabat dalam satu perbualan telefon menjelang Aidilfitri ini memberitahu betapa dia tidak betah untuk menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur. Suatu malam raya, katanya, ketika dia dan keluarganya sedang sibuk memasang langsir...tiba-tiba sayup-sayup kedengaran takbir raya diikuti lagu-lagu raya yang mempunyai rangkap seperti 'di hari raya terkenang daku pada si dia...', dia dan anggota keluarganya bingkas bangun untuk berkemas dan malam itu juga berlepas pulang ke kampung!

Puluhan tahun lalu, di pagi-pagi hari raya 'si bujang' (sayalah tu), bersiap-siap memakai baju Melayu...ya nak pergi mana tu? Pergi masjid ke atau ziarah kaum keluarga ke? Ohh tidak...saya bersiap untuk ke pejabat...ya kena kerja di hari raya. Itulah siapa suruh jadi wartawan...bukankah dulu semasa interbiu untuk bekerja dulu sudah mengaku sanggup bekerja di mana saja dan pada sebarang ketika termasuk hari raya!

Pengalaman saya, berhari raya di rantau orang 'sebagai seorang bujang' adalah lebih merana daripada orang yang mempunyai keluarga. Perkara pokok yang dihadapi orang bujang adalah soal makan...ya amat sukar untuk mendapatkan makanan (yang sesuailah) apabila kebanyakan gerai sudah ditutup manakala 'kita tak pernah memasak sepanjang hidup kita'. Lagipun bagaimana nak masak, dapur pun tak pernah ada!

Maka di hari raya, ada ketikanya selepas balik kerja 'aku telan maggi' sedangkan 'orang di sana' sedang seronok makan sedap-sedap seperti ketupat dan lemang berlaukan rendang dan pelbagai juadah lain. Suatu hari...saya lihat kawan serumah saya sedang 'membaham' ayam KFC...ya mungkin itu satu-satunya 'makanan tersedap' boleh dinikmati pada hari pertama Aidilfitri dan hari-hari berikutnya sebab kebanyakan gerai milik makcik, pakcik serta abang Kelantan, Patani, Kedah, 'Penang' dan sebagainya tutup saja, mungkin seminggu atau sebulan lamanya!

Hari-hari selepas 1 Syawal, perantau di kota terus 'merana'. Orang tak ada kenderaan sendiri lebih teruk keadaannya. Berat masalahnya kerana di sekeliling rumah (atau bilik) sewaan kita bukan saja gerai makanan tidak dibuka malah kedai runcit bagi kita mendapatkan biskut atau maggi pun tak ada. 

Teksi pun sukar ditemui kerana abang-abang teksi pun mahu bersama keluarga tercinta pada hari dan bulan mulia itu. Bagi bujang yang ada motosikal, bolehlah mereka 'meredah jauh' bagi mencari makanan...bagi yang tak ada (makanan ringkas seperti biskut pun tak ada), 'perbanyaklak telan air liur atau minum air paip saja'. Bagi yang kerja lewat, tak payah bangun pagi kerana mahu 'jamak sarapan dan makan tengah hari malah dengan makan malam sekali'.

Bujang kota akan senang jika ada 'open house' (rumah terbuka). Tapi dulu jarang diadakan; tidak seperti sekarang. Di rumah terbuka inilah mereka 'bedal' cukup-cukup, yalah kerana selepas itu mereka perlu 'menyambung puasa'. Jika sepanjang Ramadan, bujang kota 'senang menghadirkan diri' di masjid kerana hampir pasti ada makanan bagi berbuka puasa dan moreh selepas tarawih, pada hari-hari bulan Syawal usah haraplah...makanan tiada malah jemaah solat waktu pun tersangat kurang kerana ramai orang masih di kampung!

Ya, demikianlah nasib perantau bujang ketika Aidilfitri. Mengingat-ingatkan 'derita di Aidilfitri', terlintas di hati "ohh emak, cepatlah kahwinkan aku" kerana jika sudah kahwin dan ada keluarga di kota misalnya di Kuala Lumpur, tidaklah 'derita sangat' sebab di rumah insya-Allah ada jaudah yang dimasak isteri, apatah lagi jika si isteri pandai memasak. Selain isteri, jika ada anak-anak, tidaklah terasa sepi berhari raya di kota.

Namun, bagi yang teringatkan nostalgia berhari raya di kampung, pada malam raya (kalau tinggal di flet,nampak rumah lain gelap gelita saja) pun mereka akan bergegas pulang seperti dilakukan sahabat saya itu...ohh tiada yang lebih indah daripada balik kampung lebaran ini! Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

No comments: