Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
AKHIR bulan Jun lalu, saya membayar bil utiliti (elektrik, telefon dan air) kediaman saya. Tertera dalam bil, sejumlah wang perlu dibayar 'bagi memenuhi tembolok GST' - semuanya berjumlah hampir RM25. Ini membebankan (bertentangan dengan cakap-cakap menteri bahawa kenaikan ini tidak membebankan) dan kemudian ditambah kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 10 sen dan RON97 sebanyak 20 sen, menjadikan hidup ini semakin tidak ceria apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Jika saya susah, saya rasa rakyat kebanyakan pun susah. Tahun ini bagi menyambut 1 Syawal, 'terasa betapa tidak meriahnya' kerana pusat membeli belah dan bazar Ramadan tidak sesak seperti tahun-tahun sebelum ini. Ramai rakyat 'mengambil langkah berjaga-jaga (berjimat-cermat)' kerana mereka sedar batas kemampuan mereka tidak seperti sebelum ini. Ringkasnya, rakyat begitu tertekan...persoalannya siapa yang boleh membela mereka?
Itulah nak harapkan Pakatan Rakyat (ingat slogan Pakatan Harapan Rakyat), Pakatan Rakyat sudah berpecah. Dulu ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang berjiwa rakyat bersama-sama rakyat turun di jalan-jalan raya bagi menyatakan bantahan, tetapi sekarang siapa nak diharapkan? Apabila nampak 'rakyat tenang saja' dalam menghadapi kenaikan harga minyak (juga kenaikan harga barangan keperluan), pemerintah Umno-BN pun 'naik takoklah' - kerana mereka tidak langsung nampak tentangan rakyat secara besar-besaran.
Pepecahan Pakatan Rakyat tidak membawa keuntungan kepada rakyat. Pemimpin-pemimpin ini nampaknya tidak lagi bersatu hati bagi menentang 'kezaliman' yang kenakan oleh pemerintah Umno-BN. Rakyat semakin gusar, harga barangan semakin naik - dari segi fizikal kehidupan mereka semakin sukar, dan dari segi mentalnya mereka susah hati.
Antara golongan yang susah hati itu adalah gabungan anak muda; mereka yang 'berdarah panas' ini, mengutuk PAS, DAP dan KEADILAN kerana dakwa mereka terlalu ego sehingga menyebabkan kehancuran kepada Pakatan Rakyat.
Jurucakap kumpulan itu, Adam Adli mendakwa, polemik politik Pakatan Rakyat telah membunuh harapan rakyat yang mahu melihat perubahan kepada pentadbiran negara. Namun, katanya, harapan itu musnah kerana sikap terlalu ego tiga parti itu sekali gus memberi talian hayat kepada BN.
“Polemik demi polemik melanda Pakatan Rakyat telah membunuh harapan rakyat. Anak muda berasa mual melihat parti-parti yang kononnya berpakat, tetapi gagal mengurus egosentrik lantas memberi talian hayat kepada kerajaan BN,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur 2 Julai lalu.
Sehubungan itu, Adam berkata, gabungan anak muda mendesak supaya gabungan pakatan pembangkang baru dan inklusif dibentuk bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.
“Pakatan baru diperlukan untuk membela nasib rakyat yang kian terseksa dan menjadi mangsa kezaliman Umno-BN,” katanya. Sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat didakwa mengecewakan 52 peratus pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada mereka pada pilihan Raya umum ke-13 (PRU13).
Nampaknya kelemahan sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat yang memilih jalan sendiri, membeli peluang besar kepada pemimpin Umno-BN yang gemar menggunakan ungkapan 'kenaikan ini tidak membebankan' apabila berlaku peningkatan harga barangan, perkhidmatan, tarif dan yuran, semakin naik belang mereka.
Ungkapan yang sudah terlalu kerap diucapkan ini hanya menyakitkan hati pihak yang 'terkena', khasnya rakyat kebanyakan. Kepada pemimpin Umno-BN, hentikankan daripada beretorik dengan ungkapan dungu ini. Semacam sudah satu kemestian apabila harga minyak naik, tarif elektrik dinaikkan atau barangan keperluan seperti gula dinaikkan, menteri akan berkokok 'kenaikan ini tidak membebankan'. Sehinggakan apabila GST dilaksanakan mereka berkata "ini baik untuk masa depan rakyat."
Kepada pemimpin Pakatan Rakyat, sedarlah bahawa rakyat kini seakan anak ayam kehilangan ibu Jadi siapa dapat diharapkan? Jika dulu, media massa termasuk akhbar arus perdana dapat diharapkan untuk membela nasib rakyat termasuk apabila berlaku kenaikan harga minyak dan barangan keperluan tetapi hari nampaknya pihak ini tidak boleh dijadikan tempat bergantung.
Malah kebanyakan media massa hari ini sudah seiring dengan segala tindak-tanduk pihak pemerintah. Malah sesetengahnya 'bodek' mereka lebih kuat lagi. Mereka sudah menjadi 'yes man' kepada pemerintah jadi sama taraflah mereka dengan menteri yang kerap mengungkapkan 'kenaikan ini tidak membebankan'.
Benar ada media massa membuat tinjauan ke atas rakyat, namun yang disiarkan hanyalah pandangan mereka memuji-muji langkah kerajaan tetapi yang membuat kritikan dan menyatakan ketidakpuasan mereka tidak disiarkan langsung. Atau petugas-petugas di TV, radio dan akhbar membuat 'editing' dengan memotong dan membuang adegan (termasuk pandangan) yang tidak sesuai dengan kehendak mereka.
Namun syukurlah hari ini kita ada media sosial baru yang dapat menyamaikan maklumat tanpa sempadan. Perkara inilah yang ditakuti oleh pihak yang melakukan kezaliman. Kebobrokan mereka akan diketahui dengan segera, jadi mari kita beramai-ramai mensyukuri dan memanfaat kemudahan ini semaksimum mungkin untuk menghancurkan pihak penyusah rakyat seperti Umno-BN.
Media dan pakatan baru adalah harapan baru rakyat, terutama di kalangan generasi muda termasuklah gabungan anak muda yang diketuai Adam Adli. Jadi harapan rakyat untuk hidup penuh bermaruah dan berdaulat masih terbuka luas, ya percayalah kuasa rakyat akan menjatuhkan Umno-BN pada PRU akan datang!
No comments:
Post a Comment