Sunday, July 19, 2015

'Dulu, kini dan selamanya' akan berkubur...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)

MENJELANG Aidilfitri, pandangan seorang tokoh agar rakyat jangan balik kampung pada raya ini menjadi viral di internet. Yalah, ini bagi menyelamatkan orang ramai daripada 'menghabiskan wang' untuk mengisi minyak kenderaan, membayar tol dan sebagainya! 

Bagi saya ini satu pandangan 'di luar kotak' yang 'ada logiknya' dan 'bersifat kreatif kerana melawan arus' tetapi maaflah orang Malaysia terutama Melayu masih keras dengan jati diri dan nostalgia 'balik kampungnya' apatah lagi pada Aidilfitri. 

Jadi tidak hairanlah pandangan tokoh berkenaan dicemuh tetapi alangkah bagusnya jika 'pandangan di luar kotak' beliau disemarakkan (untuk menerima atau tidak tidak padangannya terpulanglah kepada kita) dalam masyarakat agar kita tidak menerima sesuatu itu dengan sikap 'batang kayu saja'. 

Misalnya, slogan sebuah parti politik...'dulu, kini dan selamanya' adalah 'tidak logik' kerana kehidupan adalah sesuatu yang dinamik dan sebagai 'makhluk baru' (diciptakan Allah SWT) pasti akan berakhir...tiada orang yang tidak mati! Jadi parti ini tetap akan mati...hanya persoalannya bila?

Berdasarkan perkembangan semasa dipalit krisis demi krisis seperti 1MDB dan MARA yang menimpa pemimpinnya, rasanya masa itu sudah terlalu dekat. Parti itu tetap akan mati kerana tiada makhluk yang kekal buat selama-lamanya. Bagi 'orang yang otaknya masih boleh berfikir'...jelas sekali slogan parti berkenaan adalah sesuatu yang mengarut, ya tak masuk akal.

Cendekiawan kerap menyarankan orang ramai berfikir di luar kotak. Berfikir di luar kotak antara lain bermakna bertindak di luar kebiasaan. Orang yang berfikir di luar kotak, tidak dapat menerima sesuatu secara bulat-bulat tanpa bertanya mengapa, seterusnya melakukan penyiasatan dalam usahanya mendapatkan maklumat dan menambah pengetahuan.

Misalnya, orang yang berfikir di luar kotak akan tertanya-tanya mengapa 1.5 juta 'Bangla' lagi mahu didatangkan ke negara ini 'untuk mengisi pelbagai jawatan kosong' (bekerjalah misalnya dalam sektor industri dan perladangan) sedangkan negara itu sudah pun 'dikerumuni' oleh jutaan pendatang asing.

Berhubung hal politik misalnya pilihan raya kecil, orang kreatif akan bertanya mengapa begitu banyak wang dilambakkan di kawasan itu tetapi terabai pada masa-masa lalu. Hati mereka akan tertanya-tanya daripada wang itu berasal dan ke mana hendak dibelanjakan.

Mereka yang berfikir di luar kotak, tidak mudah diperkotak-katikkan. Mereka mempersoalkan kewajaran BR1M; mereka tidak mudah menjual diri dengan hanya janji jalan baru, jambatan baru, longkang baru atau hadiah sehelai kain batik dan wang tunai RM50. Dan mereka pun tidak 'kelam mata' apabila melihat menteri sanggup 'menoreh getah' dan ;menggoreng mi' dalam kempen pilihan raya mereka...

Orang yang berfikir di luar kotak adalah insan yang kreatif, berusaha memaksimumkan segala aset dimiliki untuk kepentingan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara, agama seterusnya dunia dan alam maya.

Antara aset terpenting adalah nyawa, iman, tubuh, akal, masa dan maruah (harga diri). Jadi tidak boleh disia-siakan aset yang tidak ternilai ini. Selagi nyawa dikandung badan, masa yang ada tidak boleh disia-siakan.

Bagi orang beriman akan ditanya lima perkara sebelum datang lima perkara: masa mudamu bagaimana dihabiskan, masa sihatmu sebelum sakit, masa beradamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum kamu mati.

Akal fikiran (otak) juga akan ditanya. Oleh itu berfikirlah di dalam dan di luar kotak. Jika selama ini asyik berfikir di dalam kotak dan tidak mengembangkannya di luar kotak, cuba-cubalah keluar daripada 'termakan' dengan slogan dan indoktrinasi seperti 'dulu, kini dan selamanya' dan 'hanya parti ini saja mampu perintah negara'...ya kalau difikir-fikirkan secara mendalam, semua itu tidak masuk akal! Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

No comments: