DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SEPULUH hari terakhir Ramadan akan ada insan-insan yang taat, beriktikaf di masjid. Saya sanjungi mereka, dan bagi diri ini yang cuba-cuba 'merasai kenikmatan' bermalam di masjid dan surau, mendapati sukar benar melelapkan mata dan kalaupun terlelap selalunya mengalami mimpi ngeri.
Berceloteh mengenai pengalaman bermalam di masjid dan surau ini, tentunya sebagai insan kerap berkelana kerana bekerja dan belajar jauh dari kediaman sendiri, ada kalanya saya 'menumpang tidur' di rumah Allah itu. Dan melalui pengalaman inilah saya ingin kongsikan bersama pembaca; yang baik dijadikan teladan manakala yang buruk dijadikan sempadan.
Pada Ramadan-Ramadan lalu, Masjid Al-Azim di bandar raya Melaka dibuka 24 jam. Seronok berbuka puasa di masjid ini; makanan disediakan amat memuaskan hati walaupun hidangannya agak sederhana. Berdasarkan pengalaman lalu, majoriti yang berbuka puasa di situ adalah pekerja Bangladesh yang memberi khidmat di Hospital Melaka yang terletak bersebelahan.
Sambil menunggu detik berbuka puasa, kadang-kadang saya bersembang dengan pekerja itu. Ada yang menceritakan kesedihan berpuasa di rantau orang; ramai daripada mereka meninggalkan anak isteri demi mencari sesuap nasi di rantau orang. Hari Raya juga mereka tak balik, apa yang menjadi amalan, mereka hanya balik apabila kontrak sudah habis - kalau tiga tahun tiga tahunlah, kalau lima tahun lima tahunlah. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rasanya meninggalkan orang tercinta buat masa sebegitu lama!
Selesai melakukan ibadat awal malam seperti mengerjakan solat tarawih dan membaca Quran, 'mata bagai ditarik-tarik' untuk tidur. Dulu masa awal-awal 'landing' (beriktikaf) di masjid ini saya cuba tidur di bawah tangga di hujung kiri bahagian belakang dewan solat. Ohh, 'tidak boleh tidur' di tempat ini (bagi sayalah, orang lain saya tidak tahu); apabila terlelap saja mata, badan saya 'bagaikan kena hempap saja'. Ringkasnya 'kena tindih'.
Kali pertama 'kena tindih' membuatkan saya tersedar, lantas saya membaca sepatah dua ayat al-Quran, kemudian sambung tidur. Baru nak lelapkan mata, 'kena tindih' lagi. Selepas banyak kali kena begitu, saya pun 'give up'. 'Blahlah', pergi cari 'port' lain. Sejak peristiwa itu, saya insaf bahawa tempat itu bukan 'lokasi 'landing' saya yang sesuai!
Ketika berada di Kuala Lumpur dan tak sempat untuk balik ke Melaka, kadang-kadang saya 'landing' di Surau Editorial Harakah. Tempat yang 'sedap' bagi saya adalah di bawah pendingin udara. Subhanallah, ini satu lagi lokasi yang mendatangkan ujian bagi saya.
Bagaimana saya cuba pejamkan mata, saya tidak dapat tidur. Macam-macam bunyi aneh saya dengar seperti ada orang mengambil air sembahyang tetapi apabila ditinjau tiada seorang pun di situ dan apabila terlelap saja, terasa 'macam kena tindih'.
Ketika Muktamar PAS ke-61 yang diadakan di Kuala Selangor awal Jun lalu, sebuah masjid (tidak payah disebut namanya) menjadi 'port' untuk saya bermalam selama dua hari. Ramai juga 'budak-budak muda PAS' tumpang bermalam. Saya datang awal (jam 10 atau 11 malam) sebab menjadi kebiasaan saya tidur awal tetapi 'budak-budak itu' singgah lewat malam (pukul 12 ke atas) jadi saya tidur keseorangan dulu.
Apabila keseorangan itu, saya tidak dapat melelapkan mata. Terkebil-kebil biji mata dalam kegelapan malam (kebanyakan lampu masjid sudah dipadamkan). Saya menjenguk ke luar, uhhh, ada tanah perkuburan berdekatan rupanya...saya 'menguatkan hati' - apa nak ditakutkan...suatu hari nanti kau sendiri akan masuk kubur...kau sendiri akan jadi 'geng' orang-orang dalam kubur tu!
Satu lagi hal yang menyebabkan saya tidak dapat tidur kerana terlalu banyak 'drakula' di masjid itu. Tetapi apa nak buat, bersabarlah...bukankah itu 'ciri-ciri orang beriman'. Saya fikir kedatangan 'budak-budak muda PAS' selepas jam 12.00 tengah malam, tentunya 'menambah gembira drakula-drakula itu'. Ini kerana sebahagian besar budak-budak itu gemuk-gemuk berlaka sedangkan saya ini kecil saja lagipun darah saya tidak sedap untuk mereka hisap kerana berpenyakit kencing manis.
Benar, 'drakula-drakula' itu berpesta sepanjang malam. Buktinya, menjelang subuh apabila lampu masjid dibuka saya melihat lantai jubin masjid yang putih bertompok-tompok dengan darah. Sana sini darah. Selepas 'berpesta membaham' budak-budak muda PAS (dan saya), 'drakula-drakula' itu sudah terlalu kenyang untuk melarikan diri, jadi mereka pun mati 'tertindih' oleh badan budak-budak itu sendiri.
Melihatkan darah bertompok-tompok yang banyak itu, saya teringatkan perjuangan PAS. Ya, anak-anak muda itu (berdasarkan perbualan saya dengan mereka) ada yang datang dari Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan (ada yang bermotosikal dalam kumpulan) sanggup mengorbankan masa dan tenaga (dan darah untuk diserahkan kepada nyamuk) semata-mata untuk menyaksikan parti yang mereka cintai dan yakini terus memayungi umat Islam...ya itulah sebahagian pengorbanan orang awam,,,jadi kepada pemimpin (tidak kira yang menang atau kalah dalam pemilihan muktamar), renung-renungkanlah perkara ini sebelum membuat sesuatu keputusan...
No comments:
Post a Comment