Friday, April 10, 2015

Rakyat terbeban teruk di ambang GST

************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)

************
KETIKA artikel ini ditulis, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) belum berkuat kuasa. Namun pada hari-hari menjelang GST, rakyat marhain seperti saya sudah terasa beban teruk menanggung kos kehidupan yang amat mencabar.

Pada hujung bulan ini (Mac) pelbagai bil utiliti sampai. Paling 'dahsyat' sekali bil air syarikat air negeri saya. Terkejut saya pada bil kali ini disertakan 'deposit tambahan' sebanyak RM31. Penggunaan air bulanan kediaman saya adalah sebanyak 43 meter padu dan dikenakan bayaran RM40.75. Dicampur dengan deposit tambahan itu, saya perlu membayar RM71.75!

Bayaran bil air RM30 - RM50 sebulan adalah biasa bagi keluarga saya tetapi bayaran kali ini (RM71.75) pada ketika 'rakyat merana' adalah amat tidak wajar. Kenapa perlu dikenakan 'deposit tambahan' di ambang pelaksanaan GST?

Seorang jiran saya juga menggeleng-geleng kepala tatkala menerima bil airnya. Biasanya bil airnya antara RM20 - RM30. Tetapi kali ini RM97.15! Kenapa ia boleh jadi begitu? Pada bilnya dinyatakan penggunaan air rumahnya adalah 37 meter padu dan dikenakan bayaran RM29.15. Tetapi 'amat menakutkan' apabila 'deposit tambahan' dikenakan sebanyak RM68 menjadikan jumlah yang perlu dibayarnya RM97.15!

Ketika saya ke kedai, pemiliknya memaklumkan kepada saya bahawa syarikat roti sudah memaklumkan harga roti akan naik antara 30 - 40 sen sebuku sebaik saja GST terlaksana pada 1 April. Saya berkira-kira, bagi keluarga saya sebuku roti boleh habis dalam masa dua tiga hari. Kalau dalam sebulan saya membeli roti sebanyak 10 kali, peningkatan kos bagi roti saja sudah RM4 sebulan. Ohh, resah saya memikirkannya kerana keluarga saya bukan makan roti saja!

Tauke kedai fotostat yang biasa saya kunjungi, juga sudah menguar-uarkan harga baru perkhidmatannya sebaik saja GST dilaksanakan. Disebabkan saya membuat salinan bahan yang banyak (500-1,000 keping); bagi satu salinan fotostat kertas A4 dia caj saya 4 sen. Tetapi menjelang pelaksanaan GST, dia sudah menaikkannya kepada 6 sen sekeping. Dan katanya, mulai 1 April, "bagi setiap RM10 awak fotostat, awak kena bayar 60 sen lagi."

"Ehh, kenapa pulak?" soal saya. Katanya; "Eh bos, harga kertas sudah naik, banyak mahal. Servis mesin pun mahal. GST pun kena." Kurang berpuas hati dengan harga baru ini, saya 'berpindah' ke kedai lain. Alhamdulillah, kedai ini masih mengenakan caj 4 sen sekeping tetapi tak tahulah selepas pelaksanaan GST pada 1 April.

Ya, rakyat kebanyakan terlalu 'tension' sekarang ini. Terlalu sukar dirasakan menjalani kehidupan. Sukar mendapatkan ketenangan. Dalam menjalani hidup penuh 'tension' ini, pegangan agama banyak membantu kita. Kalau tak, dah lama kita mengamuk, kita jadi 'Hang Jebat'...kita hilang pertimbangan dan bertindak di luar kewarasan fikiran.

Kepada rakyat tertentu, usah menyesali diri. Buat perubahan. Dulu kita juga yang beri BN kuasa; ternyatalah temberang mereka kononnya 'rakyat didahulukan' - hakikatnya 'rakyat didahulukan untuk menanggung beban' termasuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melampau. Mana tak melampau, bil air bagi keluarga sederhana pun sudah mencecah RM100 sebulan!

Pemimpin BN kerap berkata wang penjimatan seperti penghapusan atau pengurangan subsidi yang menyebabkan harga barangan termasuk minyak naik digunakan untuk kebajikan rakyat sendiri, hakikatnya mereka hamburkan wang secara boros yang menyebabkan negara kini berhutang kira-kira RM700 bilion.

Antara sebab pemimpin tak sedar diri (mereka telah menganiya rakyat) kerana ada ramai pengampu dan di kalangan kita termasuk golongan agamawan. Lantas sesetengahnya membenarkan GST malah ada yang menyatakan ia 'amat sesuai dan baik' sedangkan ulama besar seperti Imam Nawawi tidak membenarkan rakyat dicukai dengan keadaan pemerintah, pembesar dan orang kaya terlalu banyak harta mereka dan hidup bermewah-mewah.

'Pembodek', ingat-ingatlah pesanan  Abullaits Assamarqandi dalam kitab 'Tanbihul Ghafilin'; salah satunya beliau menyebut: "Jangan jadi ulama pengampu. Fudhail bin Iyadh berkata: “Andaikan ada orang yang tidak mendekati raja (pemerintah/kerajaan) dan dia tidak melebihi daripada mengerjakan sembahyang fardu (yakni tidak mengerjakan ibadat-ibadat sunat) maka dianya lebih afdal daripada ulama-ulama yang mendekat kepada raja/kerajaan walaupun ulama itu berpuasa setiap hari dan bertahajud dan berjihad dan menunaikan haji.

Beliau juga berkata: "Jangan mengagung-agungkan orang jahat dan zalim. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Selalu pertolongan Allah menaungi umat Muhammad ini, selama orang-orang yang taat tidak mengagung-agungkan orang-orang yang jahat, dan selama orang-orang baik-baik tidak merasa lunak/mesra kepada orang-orang yang jahat, dan selama ahli-ahli Quran tidak menjilat-jilat kepada amir (raja/pemerintah). Maka apabila mereka berbuat yang demikian, Allah SWT akan mencabut dari mereka ‘barakah’ dan mengangkat di atas mereka pemerintah yang kejam, dan ditanamkan di dalam hati mereka rasa takut, dan menjadikan mereka orang miskin."

Hari ini kita dapat saksikan betapa ramai orang termasuk cendekiawan agama merapat dan menyembahkan diri kepada pemerintah dengan maksud untuk mendapatkan segala kemegahan dunia yang terdiri daripada pangkat, kuasa, harta benda dan kemasyhuran.

Mereka melakukannya tanpa mempedulikan harga diri lagi. Persetankan semua itu asalkan pangkat dan kuasa berada dalam genggaman. Mereka tidak pedulikan langsung pesanan Shakespeare lewat sebuah karyanya apabila seorang cendekiawan memberitahu Rajanya, 'Tuanku, jika Tuanku hilang kerajaan, Tuanku masih ada diri Tuanku, jika Tuanku hilang kesihatan, tuanku sudah hilang separuh daripada diri Tuanku, tetapi jika Tuanku hilang harga diri, Tuanku sudah hilang segala-galanya."  

No comments: