Monday, April 6, 2015

Dari UKM ke Harakah (9): Masih 'terkial-kial' tunai 'solat musafir'...


************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)

************

HAMPIR setiap hari saya bermusafir; salah satu anugerah Allah SWT kepada orang musafir lebih dua marhala adalah dia boleh menqasar dan menjamakkan solatnya - zuhur dengan asar dan maghrib dan isyak.

Tentunya 'pengalaman di lapangan' adalah lebih 'real' (benar-benar berlaku) berbanding daripada apa yang ditulis dalam buku malah mendengar tazkirah berhubung perkara itu oleh sang ustaz.

Sebagai wartawan, kadang-kadang tugasan membawa saya 'terbang jauh'; kali pertama saya dihantar ke luar negara adalah ke Moscow pada Mei 1992 di mana saya tidak kenal siapa-siapa pun dalam penerbangan pesawat Aeroflot (USSR dan kemudian Rusia) itu.

'Teori' solat qasar dan jamak sudah dipelajari, tetapi bagaimana melaksanakannya dalam kapal terbang...nampaknya pengalamanlah dapat membantu seseorang dapat membereskan kewajipannya dengan selesa dan juga 'tidak menyusahkan orang lain'.

Penerbangan ke arah barat tidak 'terlalu menekan' dalam kita menunaikan solat kerana kita 'keuntungan masa' - misalnya jika kita ke Jeddah, Arab Saudi menaiki pesawat jam 7 petang di KLIA (menghampiri waktu maghrib) kita tidak perlu gusar untuk solat dalam kapal terbang kerana insya-Allah kita akan sampai di destinasi kira-kira jam 10 malam waktu Arab Saudi di mana kita boleh solat maghrib/isyak secara jamak akhir.

Namun penerbangan dari barat ke timur memerlukan kita 'sensitif' dengan masa; jika kita menaiki pesawat jam 7 petang di Jeddah, kita dijadualkan tiba di KLIA kira-kira 8 pagi (waktu Malaysia) keesokan harinya. Jadi solat maghrib/isyak dan subuh perlulah dilakukan dalam kapal terbang; tiada pilihan lain!

Berdasarkan pengalaman, jika kita 'satu atau dua penumpang' yang mahu solat, rasanya tidak mengganggu jika kita mengambil wuduk dengan sempurna secara senyap-senyap dan kemudian mencari ruang kosong terutama di bahagian belakang pesawat untuk solat. Panduan kiblat, cukup mudah - jika pesawat itu menghala barat (misalnya ke Jeddah), kiblatnya menghadap depan dan jika pesawat menghala timur, kita menghadap ke belakang pesawat.

Namun jika pesawat membawa jemaah haji atau umrah (di mana ramai penumpang mahu solat) rasanya tidak wajar kita mengambil wuduk dan bergerak untuk solat berjemaah. Penggunaan air berlebihan dan basahan air akan membahayakan penerbangan; jadi 'pandai-pandailah' kita untuk solat di tempat duduk, jika tiada wuduk, solatlah untuk menghormati waktu. Malah ada ustaz yang mengesyorkan kita menepuk dinding pesawat sebagai syarat bertayammun.

Berceloteh mengenai solat apatah lagi solat qasar dan jamak ini, pengalaman menginsafkan saya bahawa ada sesetengah daripada kita termasuk diri ini (penulis sendiri) masih terkial-kial, kadang kala tertanya-tanya "apa yang aku buat ini betul ke?"

Suatu hari ketika dalam musafir dan mahu menunaikan solat jamak maghrib/isyak di surau sebuah stesen bas, saya mempersilakan seorang pelajar Arab yang saya kenali dalam bas supaya menjadi imam. Ya, dia bersetuju menjadi imam tetapi menyuruh saya yang berdiri sedikit di belakangnya supaya sebaris dengannya. Subhanallah, betul ke tindakan lelaki Arab itu? Orang Melayu memang 'respect' orang Arab tetapi setahu saya mana boleh imam dan makmum sebaris! Saya tetap berdiri belakang sikit daripada lelaki Arab itu dengan keyakinan saya betul lelaki Arab itu salah. Namun ada juga sedikit keraguan, 'almaklumlah' kita amat segan dengan orang Arab.

Dalam kejadian lain di sebuah masjid ketika mahu menunaikan solat isyak qasar jamak awal selepas menunaikan solat maghrib berjemaah mengikut imam masjid, seorang jemaah datang memberitahu "jangan membuka jemaah baru - ikutlah satu jemaah yang sedang solat." Saya pun menyertainya dengan niat solat isyak jamak secara tamam. Rupa-rupanya imam melakukan solat maghrib dan selepas dia memberi salam, saya menambah satu rakaat lagi untuk melengkapkan solat isyak saya. Betul ke perbuatan saya itu? Beberapa hari kemudian, saya bertanyakan hal itu kepada seorang ustaz yang disegani. Katanya solat saya itu tak sah sebab telah menambah rukun; jadi saya telah mengqada'kan solat itu.

Suatu ketika pada solat isyak berjemaah, si imam duduk tahiyat akhir pada rakaat ketiga. Saya ragu-ragu sama ada itu rakaat ketiga atau keempat jadi saya menunggu jemaah lain menegur imam. Rupa-rupanya tiada siapa menegur. Selepas memberi salam, si imam bertanya makmum dalam bahasa Melayu: "Kita solat tiga atau empat rakaat?"

Sesetengah makmum menjawab "tiga." Lantas imam bangun, menambah satu lagi rakaat lantas memberi salam. Subhanallah, boleh 'bercakap-cakap pula dalam solat'. Namun selepas menekuni bab solat, saya dapati memang 'bercakap-cakap itu dibolehkan' cuma perkataan dituturkan ada hadnya...demikianlah saya masih banyak perlu dipelajari dalam bab solat ini apatah lagi mengenai solat ketika bermusafir!

No comments: