Tuesday, April 14, 2015

Profil ASB bukti bumiputera kurang wang?

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

SEKARANG ini ramai pelabur Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) menerima melalui pos penyata pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Keluarga besar saya tidak terkecuali, di rumah kami posmen menghantar sejumlah surat yang mengandungi penyata itu beserta buku Laporan Tahunan PNB dan ASNB.

Seorang anak saya baki pelaburan ASB-nya dicatatkan RM62.97, manakala pelabur-pelabur lain bakinya tidak melebihi RM500. Kali ini penyata ASB saya tidak sampai pula, mungkin ia terkandas dalam perjalanan namun tidak keberatan untuk saya menyatakan bakinya tidak sampai RM100.

Membelek-belek buku laporan yang dihantar kepada anak saya, saya tertarik kepada Perkara Satu iaitu mengenai Maklumat Tabung yang menyatakan kategori dan jenis tabung, objektif pelaburan tabung, penanda aras tabung, polisi pengagihan pendapatan tabung dan pegangan unit. 

Pada bahagian pegangan unit dinyatakan: "Pada 31 Disember 2014, seramai 8,619,092 individu telah menyertai ASB."

Ada disertakan sebuah carta di bahagian ini; apa yang ingin difokuskan di sini daripada lebih 8.6 juta pelabur ASB itu, 71.47 peratus atau 6,160,398 daripada mereka mempunyai pegangan unit 5,000 (1 unit bersamaan RM1) ke bawah. Bilangan unit yang dilanggan adalah 3,303,670,736 ataupun bersamaan hanya 2.41 peratus daripada keseluruhan jumlah unit sebanyak 137,286,810,119.

Bagi mereka yang mempunyai pegangan unit antara 5,000 hingga 10,000 adalah sebanyak 518,864 individu atau 6.02 peratus jumlah pelabur dengan bilangan unit dilanggan sebanyak 2,855,759,508 atau 2.08 peratus daripada keseluruhan jumlah unit.

Kumpulan berikutnya adalah yang mempunyai pegangan unit antara 10,001 hingga 50,000 unit iaitu sebanyak 1,137,325 orang (13.20 peratus) dengan bilangan unit dilanggan sebanyak 24,412,415,978 atau 17.78 peratus daripada keseluruhan jumlah unit.

Kemudian bagi golongan memiliki 50,001 hingga 500,000 unit adalah seramai 786,207 orang (9.12 peratus) dengan bilangan unit dilanggan sebanyak 94,572,330,627 atau 68.89 peratus daripada keseluruhan jumlah unit.

Mereka yang mempunyai pegangan unit paling tinggi (500,000 ke atas) hanya sebanyak 16,298 orang (0.19 peratus) dengan bilangan unit dilanggan sebanyak 12,142,633,276 atau 8.84 peratus daripada keseluruhan jumlah unit.

Carta ini menunjukkan bahawa pelabur ASB sebahagian besarnya (71.47 peratus) adalah secara 'kecil-kecilan' saja. Mereka mempunyai kurang daripada RM5,000. Mungkinkah ramai daripada mereka memiliki baki yang sedikit saja (kurang daripada RM500) seperti hampir semua anggota keluarga saya.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan anggota keluarga lain, ramai daripada pelabur yang mempunyai pegangan unit sedikit dan mungkin kurang aktif ini adalah daripada kumpulan sasaran awal yang melabur sejak pelancaran sekim ASN pada 1981 iaitu pada zaman Tun Hussein Onn sebagai perdana menteri.

Cuba bayangkan bagaimanakah prestasi usaha menggalakkan Bumiputera melabur dalam skim amanah dan meningkatkan status mereka dalam bidang ekonomi termasuk perniagaan apabila lebih 70 peratus daripada pelabur ASB mempunyai kurang RM5,000 dalam akaun mereka.

Berdasarkan perangkaan daripada laporan tahunan ASN dan ASB kepada pelabur setiap tahun, bolehkah kita andaikan sebahagian besar Bumiputera khasnya orang Melayu tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh? Ya, berdasarkan laporan itu, dapat kita ketahui bahawa ramai Bumiputera memberi sambutan hangat kepada skim itu, malangnya mereka yang pelabur kecil-kecilan saja.

Saya percaya pelabur yang mempunyai baki kurang RM5,000 (atau 5,000 unit) adalah mereka yang melakukan pelaburan tersebut bagaikan buku simpanan bank - jika ada sedikit duit lebihan mereka membuat pelaburan dan jika kesesakan wang, mereka membuat pengeluaran. Demikianlah pada musim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan pada sesi pembukaan sekolah (awal tahun) ramai pelabur kelihatan berpusu-pusu di pejabat ASN dan pejabat pos bagi mengeluarkan wang pelaburan mereka.

Ramai pelabur juga membuat pinjaman, ini menunjukkan kedudukan kewangan mereka kurang kukuh; jadi apakah yang dapat dikatakan mengenai ASN dan ASB yang matlamat utama kewujudannya adalah untuk meningkatkan status ekonomi rakyat terutama Bumiputera khasnya orang Melayu?

Mungkin ASN yang dilancarkan oleh PM Hussein Onn pada 20 April 1981 dan ASB kira-kira 10 tahun  kemudiannya, sudah 'membantu' orang Melayu, persoalannya 'Melayu yang mana satu'? 

No comments: