Monday, April 13, 2015

Dari UKM ke Harakah (10): Puduraya yang kukenali

***********
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')

************
PUDURAYA sinonim dengan golongan perantau mulai 1976 selepas perasmian hentian pengangkutan awam itu oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato' (Tun) Hussein Onn sehinggalah namanya ditukar kepada Pudu Sentral oleh PM Dato' Seri Najib Razak pada 27 Ogos 2011.

Sebagai 'anak perantau'  sejak memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada tahun 1970-an, Hentian Puduraya 'menyaksikan' diri ini sebagai pengunjung tetapnya selama puluhan tahun termasuklah ketika belajar di UKM dan bekerja di Harakah sehinggalah terminal pengangkutan awam arah selatan dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang terletak di Bandar Tasik Selatan pada awal tahun 2011.

Hentian Puduraya yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Bandar (Uda) dan agensi gabungan kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya KL mempunyai 24 ruang tempat letak bas di bahagian bawah yang lebarnya 3.8 meter dan boleh memuatkan sebanyak 40 buah bas pada satu-satu masa. Di tingkat satu menempatkan ruang menunggu dengan gerai dan kedai yang meninggalkan nostalgia di hati penulis seperti kedai buku Sarjana Media di mana penulis banyak meluangkan masa ketika menunggu bas. Di tingkat dua pula ada perhentian teksi manakala tingkat-tingkat atas adalah Hotel Puduraya.

Berdasarkan 'pengalaman puluhan tahun' di Puduraya, banyaklah kisah gembira, meruntun jiwa, lucu dan sebagainya dialami sendiri atau didengari namun yang paling banyak saya catat dan laporkan sebagai wartawan dulunya adalah berkaitan sisi sosial masyarakat, kesulitan pengguna, pekedai dan pembangunan terminal pengangkutan awam itu secara keseluruhannya. 

Di Puduraya dan kawasan sekitarnya seperti laluan pejalan kaki ke Plaza Rakyat, Kota Raya, Petaling Street membawa ke Bus Stand Klang (sudah dirobohkan) dan Jalan Pudu, saya temui dan kenali aneka ragam manusia - daripada pengemis jalanan, pencopet, peniaga, si putar alam, mualaf dan sebagainya.

Setiap orang dan lokasi mempunyai kisah tersendiri, pada kesempatan ini izinkan saya mencelotehkan satu kisah saja - perkenalan dan persahabatan saya dengan seorang pengemis Cina bernama Ricky yang dalam lingkungan usia 50-an.

Hampir setiap hari selama bertahun-tahun lamanya saya berinteraksi dengan Ricky di laluan pejalan kaki (susur gajah) di antara Hentian Puduraya dan Plaza Rakyat yang hanya stesen LRT-nya boleh digunakan manakala struktur lain terbengkalai puluhan tahun lamanya. 

Ricky pengemis unik - pada peringkat awal ketika berjalan 'melepasinya' saya amat-amati satu 'kelakuan buruknya' - setiap kali orang memasukkan wang syiling 10 sen atau 5 sen ke dalam bekas jualan tisunya dia akan mencampakkan duit itu. Ehh, dah le buta, kenal pulak duit kecik, dicampakkannya saja - 'sombongnya' pengemis ini, gerutu hati saya.

Selama berhari-hari setiap kali melalui lokasi Ricky saya akan berdiri lama sedikit - memerhatikan kelakuan Ricky. Dia tetap dengan perangai 'teruknya', mencampakkan duit syiling bernilai kecil. Kemudian saya 'cuba mengujinya' dengan memasukkan wang syiling 10 sen; hah dia tetap mencampakkannya. 

Saya mengujinya beberapa kali sehingga suatu hari saya ada sedikit 'keberanian' untuk menyapanya seterusnya bertanya mengapa dia membuang duit syiling itu. Alhamdulillah, Ricky mahu berinteraksi dengan saya, katanya duit syiling bernilai kecil membawa 'suey'.

Saya memberitahu Ricky dalam Islam tiada 'suey' - semua perkara sekecil manapun ada manfaatnya di mana ada hadis Nabi s.a.w. menyebut mendermalah walaupun separuh butir kurma bagi menyelamatkan diri kita daripada neraka.

Ricky menunjukkan minat - demikianlah 'persahabatan' kami bertukar daripada hari ke minggu, kemudian kepada bulan seterusnya tahun - saya mengajar Ricky mengucap dua kalimah syahadah, membaca surah al-Fatihah namun sukar sekali dia mengikutinya menyebabkan saya mengesyorkan dia pergi ke pejabat agama atau Perkim tetapi saya tahu Ricky tidak pernah pergi pun.

Banyak juga kisah Ricky yang dapat saya cungkil namun tidak dapat dicelotehkan secara panjang lebar di ruang yang sempit ini. Antaranya jumlah pendapatan bulanan beliau yang 'agak baik', 'kerinduannya' kepada perempuan dan kisahnya tinggal di sebuah hotel di Singapura semasa mengemis di sana.

'Mengenai perempuan', Ricky berkata saya bertuah kerana ada mata boleh melihat perempuan cantik dan seksi tetapi dia bernasib malang tidak dapat menyaksikannya. Saya membalas balik dengan berkata, "awak bernasib baik kerana tiada dosa mata" tetapi Ricky tetap tidak dapat menerimanya.

Namun satu hal yang menggembirakan saya adalah Ricky tidak lagi membuang wang syiling bernilai kecil. Namun 'persahabatan' saya dengan Ricky 'berakhir jua' apabila saya tidak lagi ke Hentian Puduraya secara kerap mulai awal tahun 2010 kerana penutupan terminal itu untuk kerja-kerja penaikan taraf dan seterusnya perpindahan hab pengangkutan awam arah selatan ke TBS pada awal tahun 2011.

Ya, Ricky, aku teringat 'detik-detik mesra kita bersama' tetapi aku tidak tahu bila kita dapat berjumpa semula. Sekarang ini Puduraya (Pudu Sentral) 'sudah sirna' daripada hidup ini kerana saya pun terlalu jarang ke KL.

No comments: