Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
SAYA tidak membela kucing secara khusus tetapi memberi makan kepada sejumlah kucing yang 'bermastautin' di sekitar rumah saya. Kucing itu tidur di kawasan teduhan di luar rumah termasuklah di tempat parkir kenderaan.
Setiap pagi sebaik saja membuka pintu untuk ke masjid untuk solat subuh, kucing-kucing itu sudah menunggu di depan pintu – ada yang cuba masuk tetapi dihalang oleh saya – bagi mendapatkan makanan. Untuk memudahkan kerja, keluarga saya menyediakan makanan kucing berbentuk palet yang harganya RM7 sekilogram.
Selalunya kami membeli sebanyak tiga kilogram makanan kucing yang boleh bertahan selama seminggu. Kosnya RM21 didharab dengan empat minggu menjadikannya RM84 sebulan. Selain makanan palet itu, kami juga menyediakan nasi yang digaul dengan lebihan ikan, ayam dan daging.
Apabila bermula 1 April, apabila membeli palet kucing itu, saya dapati harganya sudah naik RM8 sekilogram. “Kenapa?” saya tanya tauke kedai runcit yang sederhana besar namun ramai pelanggannya.
“GST punya pasal,” katanya. Dia pun menunjukkan mesin komputer yang baru dipasangnya – di skrin tertera nama barang yang saya beli dan harganya sekali. Bagi pembelian tiga kilogram palet kucing harganya RM24 dengan bayaran GST sebanyak RM1 lebih. Itu baru pembelian makanan kucing (binatang), belum lagi barangan keperluan keluarga (manusia).
Tanpa dipinta, si tauke bercerita kepada saya: “Mesin ni baru dibeli. Harganya ribu-ribu ringgit. Haiya, banyak mahal. Ramai pekedai kecil tak mampu beli mesin ini. Tak tahulah macam mana dia orang mahu kira GST.”
Saya pun tanya dia: “Macam mana kau bayar GST ni? Adakah duit yang kau orang kumpul ini akan diambil oleh pegawai yang datang ke kedai setiap bulan?” Dia menjawab: “Apalah lu ni?” sambil menunjukkan nombor GST kedainya di dinding. “Dengan nombor ini kita boleh terus masukkan wang kutipan GST kepada akuan kerajaan. Kita kena masukkan wang GST setiap tiga bulan sekali.”
“Ooo, itu macamkah?” tanya saya. “Pembeli (rakyat) bagi duit, pekedai tukang kumpul duit dan duit itu dihantar kepada 'orang yang duduk-duduk' saja. Oiii mudahnya dapat duit...duduk-duduk saja sudah dapat duit.”
Segera teringat di otak saya, satu adegan dalam sebuah filem P Ramlee yang menunjukkan samseng-samseng di sebuah jeti penambang perahu dengan bengis 'mengutip cukai' daripada setiap penumpang. Mereka yang tak bayar ditolak ke laut...yalah itu sesuailah dengan zamannya; sekarang ini 'mengutip cukai' sudah di'update' namanya dengan GST...cukai barangan dengan perkhidmatan.
Sekarang ini 'tak payah tolak orang ke laut' kerana semua orang kena bayar GST. Kalau tak nak bayar GST 'tak makanlah jawabnya' sebab harga barangan termasuk makanan sudah siap termasuk GST!
GST punya pasal, kasihan kucing-kucing yang berkeliaran dekat rumah saya. Mungkin selepas ini keluarga saya 'tak berapa nak mampu' membeli palet makanan kucing dengan banyak...jadi harap-haraplah kucing-kucing berkenaan 'dapat bersabar'...kalau boleh 'berpuasalah' demi untuk menjayakan GST.
Namun, manalah kucing-kucing itu tahu yang GST itu dapat menjadi penyelamat negara yang kini mempunyai hutang mencapai angka RM800 bilion sebagaimana yang cuba 'dikisahkan' oleh sesetengah politikus licik yang mahu berkuasa ', kini dan selama-lamanya'.
Kucing-kucing itu juga tidak tahu sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu sehingga 12 April telah menyumbangkan hasil RM298 juta yang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebagaimana diberitahu dengan bangganya oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek.
Kucing-kucing itu juga tidak peduli dengan ngomelan menteri kononnya kutipan wang itu telah membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan akan dipulangkan semula kepada rakyat (BR1M?) melalui pelan transformasi pembangunan negara seperti pembinaan sekolah dan hospital.
Kucing-kucing itu juga tidak tahu visi Menteri Kewangan yang menyatakan apabila GST diperkenal, pendapatan negara akan meningkat RM27 bilion pada ketika Laporan Audit menunjukkan kebocoran, ketirisan dan rasuah, nilainya lebih RM20 bilion.
Kucing-kucing itu pun tidak tahu yang 'menu' (makanan) orang-orang besar seperti 'lobster' (udang kara) dikecuali daripada GST sedangkan mi maggi (makanan 'terdesak' pelbagai golongan seperti penuntut universiti, si bujang dan dara serta keluarga yang pokai pada hujung bulan) dikenakan GST.
Jika 'lobster' boleh dikecualikan GST, takkan palet makanan kucing tak boleh? Kasihan kucing-kucing seluruh Malaysia!
Apa yang kucing-kucing dekat rumah saya tahu...setiap pagi mereka akan serbu untuk mendapatkan makanan tetapi aneh...kenapa makanan yang dicampakkan sedikit saja...tak puas rasanya. Mereka pun berbunyi NGIAU, NGIAU, NGIAU kerana masih lapar...namun sudah pasti mereka tak tahu semua itu adalah gara-gara GST!
1 comment:
yaaaa aku pun terasa juga
Post a Comment