************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)
***********
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kita dipanjangkan usia, maka dapatlah kita memuzakarahkan perkembangan semasa termasuklah banjir besar yang melanda tanah air.
Setiap yang bermula pasti berakhir; termasuklah tahun 2014 Masihi yang digantikan 2015. Itulah ketentuan Yang Maha Kuasa. Tiada apa dan sesiapa pun yang berupaya menongkat dunia selama-lamanya. Yang kekal abadi hanya Zat Allah SWT Yang Maha Berkuasa, yang lain semuanya akan binasa.
Banjir yang melanda negara kita juga akan berakhir. Semua manusia akan berakhir dengan kematian. Demikian juga pemimpin dan parti yang berkuasa - semuanya akan sirna apabila sampai masanya. Persoalannya apa yang hendak dibuat selepas kita menyedari hakikat bahawa semua yang bermula pasti berakhir. Pastikan sisa umur yang dipinjamkan Yang Maha Kuasa digunakan sepenuhnya untuk menggapai keredaan-Nya.
Bagi mangsa banjir mereka akan memikirkan bagaimana untuk mengembalikan semangat dan memulihkan harta benda yang musnah seperti membina rumah bagi meneruskan kehidupan dan bagi pemimpin yang masih berkuasa, bencana menyediakan ruang dan kesempatan untuk mereka memuhasbah diri - adakah cara hidup dan kepemimpinan kita selaras kehendak Allah dan Rasul atau kita sudah terpesong jauh, mengikut hati dan nafsu melakukan pelbagai kezaliman sama ada yang kita sedari atau tidak.
Bagi negara kita, bencana datang silih berganti - yang terakhir ketika banjir besar melanda, sebuah pesawat Air Asia Indonesia yang negara dan rakyat kita mempunyai kepentingan ke atasnya terhempas di Laut Jawa - mengorbankan semua orang dalamnya. Berfikir dan berfikirlah, adakah kita tidak mengambil iktibar daripada bencana demi bencana ini?
Menyedari semua daripada kita akan mati (semua yang bermula akan berakhir), ketika masih hidup ini tidak kiralah sama ada kita rakyat marhaen, pemimpin rumahtangga, pejabat, institusi pendidikan, kampung, daerah, negeri, negara, hatta dunia sekalipun persoalkanlah sama ada tindakan dan perbuatan kita selama ini selaras dengan kehendak agama atau tidak.
Semasa hidup inilah kita hendak mempersoalkan segala tindak tanduk kita, tidak guna kita mahu muhasabah diri apabila sudah masuk dalam kubur (mati). Hidup kita yang sementara itu hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan keredaan Yang Maha Kuasa.
Bagi mendapatkan keredaan-Nya, kita perlu berada di jalan-Nya yang lurus. Rujuklah al-Quran (Surah Al-Asr) yang menyatakan semua manusia berada dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Orang beriman akan melakukan semua tugas termasuk melakukan ibadat khusus dan bertindak secara ikhlas dan mengikut cara Nabi s.a.w. Jika tiada dua ciri ini, semua pekerjaan kita adalah tertolak, tidak membawa sebarang erti. Dalam kita sibuk menyambut Maulidur Rasul, pastikan kita berada di jalan-Nya yang lurus.
Demikianlah dalam menangani sebarang permasalahan termasuklah bencana banjir dan nahas pesawat; bertindaklah berdasarkan kehendak Allah dan Rasul-Nya bukan melayani nafsu sendiri seperti gilakan publisiti atau mencari 'personal and political millage' (keuntungan peribadi dan politik).
Jadi sentiasalah beringat, setiap yang bermula (baharu) pasti akan berakhir, Yang kekal selama-lamanya adalah Zat-Nya Yang Maha Berkuasa! "Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)
No comments:
Post a Comment