***********
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')
************
KEMASUKAN Islam 'secara rasmi' di Sarawak pada abad ke-15 berkait rapat dengan perkembangan Islam di Brunei Darussalam. Namun terdapat catatan menyatakan ada penduduk Sarawak sudah Islam lebih awal.
Pada zaman kegemilangan Kesultanan Brunei, Sarawak adalah sebahagian tanah jajahannya. Namun ada peristiwa bersejarah pada pertengahan abad ke-19 (1841) menyebabkan sebahagian Sarawak (Kuching dan kawasan sekitarnya) telah diserahkan kepada James Brooke (Rajah Putih). Beliau dan keturunannya telah meluaskan kekuasaan dari Kuala Samarahan (1846) sehinggalah ke Limbang pada 1890.
Selepas Perang Dunia Kedua, keluarga Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Inggeris yang telah mencorakkan pemerintahan di negeri itu yang sebahagian besarnya kekal ke hari ini, namun bumi Kenyalang ini telah melahirkan ramai 'wira rakyat' seperti Rosli Dhoby.
Islam tidak mengalami perkembangan di bawah pemerintahan British sekalipun telah ditubuhkan Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Sarawak pada 1954, dan hari ini selepas 50 tahun merdeka dalam Malaysia, umat Islam di pulau Borneo mengharapkan usaha dakwah dapat dipertingkatkan terutama di kawasan ceruk rantau di pedalaman.
Berceloteh dengan seorang rakan yang baru pulang berdakwah dengan kawan-kawannya selama 40 hari di sebuah kawasan pedalaman di sana, mengharu dan menginsafkan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk 'memahatkan' Islam di bumi bertuah itu.
Mungkin satu kampung sudah diislamkan, tetapi penduduk terus dengan amalan lama dan ada kemungkinan besar untuk kembali kepada kepercayaan sebelumnya jika tidak 'dipahatkan' ilmu dan amalan Islam.
Katanya, 'takazah' (keperluan agama) adalah amat mendesak. Penduduk yang telah diislamkan (saudara kita) hauskan ilmu dan bimbingan manakala yang belum Islam menunjukkan minat sangat mendalam untuk mengetahui tentang Islam.
"Namun kedua-dua hal ini gagal ditangani umat Islam secara baik. Memang betul, ramai yang sudah diislamkan, tetapi kurang sekali usaha 'follow up' (susulan). Penduduk sudah diislamkan, tetapi terbiar tanpa bimbingan (usaha dakwah) supaya mereka terus istiqamah dalam Islam seterusnya mengamalkan perintah dan larangan agama.
"Saya saksikan sendiri bagaimana seorang ustaz dari kota datang untuk mengetuai solat Jumaat termasuk membaca khutbah di sebuah masjid tetapi selepas itu dia tergesa-gesa pulang sedangkan penduduk mahukan ustaz mengajar dan membimbing mereka.
"Selama seminggu penduduk terbiar dari segi agamanya, minggu depan seorang ustaz lagi akan datang untuk mengetuai solat Jumaat, selepas itu dia pun berangkat pergi, jadi siapa yang hendak mengajar agama kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman itu?" tanyanya.
Pendakwah itu bimbang 'saudara kita' akan kembali kepada kepercayaan asal kerana banyak faktor memungkinkannya. "Misalnya dalam sesebuah keluarga ada seorang dua yang memeluk Islam, yang lain masih mengekalkan cara hidup lama; lambat laun dikhuatiri 'saudara kita' akan kembali kepada kepercayaan dan cara hidup lama kerana mereka tidak ada bimbingan dalam beragama," katanya.
Beliau mendakwa sepanjang berdakwah ada ditemui seorang bapa mengahwinikan anak gadisnya yang sudah Islam dengan pemuda bukan Islam. Si bapa tidak tahu itu satu kesalahan, lebih malang lagi tiada ustaz 'hadir' untuk membetulkan keadaan itu.
Mengenai dakwah kepada penduduk bukan Islam, si pendakwah berkata kebanyakan penduduk di rantau ini 'lembut-lembut belaka' - mereka 'banyak tersenyum' dan diam saja 'ketika didakwah'.
"Ramai tertarik kepada Islam, kami pernah menghadiri majlis kenduri berkhatan bagi 'saudara baru'...begitu terharu kami melihatkan selain kanak-kanak ada pemuda berusia 18 'siap sedia untuk dikhatankan' demikian juga orang 'veteran'," katanya.
Berdasarkan kunjungan dakwahnya yang menarik minat penduduk tempatan, beliau mengharapkan lebih ramai kumpulan dakwah dapat ke Sarawak dan Sabah.
Namun beliau mengingatkan bahawa 'kawasan dakwah' adalah begitu luas jadi masa diperlukan lama; tidak mungkin untuk melakukan kerja dakwah dalam tempoh sehari dua kerana perjalanan ke sana saja untuk memakan tempoh berhari-hari.
"Umat Islam mesti melakukan korban untuk menegakkan Islam; kepayahan tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk tidak berdakwah," katanya yang berazam untuk kembali berdakwah kepada penduduk di pulau Borneo.
"Kawasan sasaran dakwah adalah jauh-jauh belaka; banyak kesukaran perlu ditempoh tetapi inilah pengorbanan kita untuk Islam," katanya yang sudah biasa meninggalkan anak isteri dan kampung halaman bagi tempoh yang lama.
No comments:
Post a Comment