Monday, January 12, 2015

'Sayang Sarawak sungainya sempit'...(Bahagian Ketiga)

***********
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')

************

SEBELUM meneruskan catatan mengenai kunjungan saya ke Sarawak baru-baru ini, terlebih dahulu saya ingin mengingatkan diri saya dan pembaca bahawa pengkisahan ini hanyalah berdasarkan apa yang saya lihat dan alami (pengalaman sendiri).

Tafsiran saya mungkin berbeza dengan pihak dan individu lain apatah lagi penduduk tempatan yang lebih arif perkembangan di tempat masing-masing. Apa yang kita lihat dan alami tidak selalunya benar, kadang-kadang ia menipu diri kita sendiri. Sebagai penulis, hal inilah yang saya takuti.

Berhubung perkara ini saya teringat kisah petani dan cerpelai yang telah saya baca di sekolah rendah puluhan tahun lalu. Ada seorang petani yang isterinya baru melahirkan seorang anak. Setiap hari si suami ke kebun sedangkan isteri menguruskan hal rumahtangga termasuk menjaga bayi. 

Suatu hari kedua-dua suami isteri terpaksa ke kebun dan membiarkan si anak dalam jagaan sang cerpelai. Sepeninggalan mereka seekor ular tedung yang besar telah masuk ke rumah mereka, menghampiri bayi di dalam buaian. Sang cerpelai telah membunuh ular. Mulut dan badannya berlumuran darah.

Ketika suami isteri itu bergegas balik, mereka ternampak sang cerpelai yang berlumuran darah 'menyambut' mereka. Menyangka cerpelai sudah membaham anak mereka, sang petani yang tanpa periksa, membunuhnya. Apabila naik ke rumah mereka mendapati bayi mereka masih nyenyak dalam buaian manakala di sisinya bangkai seekor ular besar. Menyesal tak sudahlah si petani kerana bertindak terburu nafsu...apa yang dilihatnya (cerpelai berlumuran darah) ditafsirkannya si cerpelai sudah membunuh anaknya adalah tidak benar!

'Sayang Sarawak sungainya sempit'...dari Kuching saya dan keluarga bertolak ke Sibu dengan kereta menempuh jalan raya Trans Borneo dalam jarak hampir 500 kilometer melalui bandar atau pinggirnya seperti Serian, Lachau, Sri Aman, Engkilili, Betong, Saratok, Sarikei dan Bintangor. Dari Sibu, jalan raya itu menghala ke Bintulu dan Miri yang jaraknya hampir 500 kilometer lagi.

Di beberapa bandar ini, kami singgah termasuk bermalam, alhamdulillah sempatlah saya berkunjung ke masjid-masjidnya. Pada satu malam Ahad (hari Sabtu) saya menunaikan solat maghrib di masjid utama sebuah bandar besar. Sebagai seorang musafir, saya berkira-kira untuk 'blah' selepas solat itu yang dijamakkan dengan solat isyak, tetapi 'satu pemandangan kurang menyenangkan' di masjid menyebabkan saya meluangkan masa 'untuk melihatnya sendiri dengan mata kepala ini'.

Selepas solat maghrib berjemaah yang dihadiri kira-kira 10 orang, di masjid itu diadakan tazkirah, tetapi 'sang ustaz' sahaja yang bersungguh-sungguh menyampaikan kuliah di mejanya tetapi tiada pun 'anak murid' berada di depannya. Saya lihat sekumpulan jemaah seramai empat lima orang kelihatan bersembang-sembang dekat dinding masjid, beberapa orang sedang menunaikan solat manakala beberapa orang lagi sedang membaca Quran dan 'mengira tasbih' berhampiran atau di belakang tiang.

Saya begitu pelik sekali, tidak pernah saya terjumpa 'satu majlis ilmu' di masjid yang tiada pendengarnya. Di Semenanjung ada saya berada dalam kuliah subuh 'yang tiang masjid lebih banyak daripada jemaahnya' tetapi sekurang-kurangnya ada juga beberapa orang di depan ustaz tetapi di masjid di Sarawak ini, kuliah antara maghrib dan isyak tidak dipedulikan langsung oleh jemaahnya!

Masjid ini besar, terletak di bandar utama pula. Ketika itu malam minggu pula, tentunya ramai penduduknya ada kelapangan waktu tetapi mengapa 'dibiarkan ustaz bertazkirah' tanpa seorang pun jemaah menunjukkan minat mengikutinya? Saya menjadi hairan, tetapi tidaklah saya berani 'membuat tafsiran' kerana takut tersalah bertindak seperti yang terjadi dalam kisah petani dan cerpelainya.

Malam itu saya duduk di depan sang ustaz. Sekali-sekala dia memandang saya. Saya fikir tentu dia perasan saya orang luar. Mungkin saya kehairanan 'menyaksikan kelas pengajian tanpa murid' dan dia pula hairan 'kenapa ada orang luar menunjukkan minat kepada tazkirahnya'.

Saya sempat bertanyakan ustaz itu mengapa 'perkembangan sebegitu' (kelas pengajian tanpa jemaah menunjukkan minat) berlaku di bumi Kenyalang, dia memberitahu: "Ramai orang tidak faham agama.  Mereka ikut-ikut saja. Mereka tak tahu kelebihan menuntut ilmu. Jika mereka tahu taklah mereka sibuk-sibuk untuk solat sunat, berzikir, membaca Quran apatah lagi bersembang-sembang ketika pengajian berlangsung.

"Malangnya mereka tak tahu dan tak nak ambil tahu. Saya sudah cakap kepada mereka, tetapi mereka tak peduli. Orang yang ke masjid pun demikian keadaannya apatah lagi orang yang tak ke masjid.

"Tentu kamu tahu ada ribuan orang Islam di bandar ini. Tetapi berapa ramai ke masjid. Adalah 10-15 orang. Yang lain tu, apa dibuat mereka?" 

Subhanallah, pertanyaannya itu membuatkan saya tersentak. Ya, orang Islam di Sarawak bukanlah golongan terbesar. Orang Melayu yang boleh dikatakan 100 peratus Islam hanya 23 peratus saja daripada 2.5 juta penduduk Sarawak. 

Dicampur dengan orang Melanau yang sebahagiannya adalah Islam dan segelintir daripada suku kaum lain, orang Islam tidak dominan di Sarawak. 

Jika mereka tidak kukuh dari segi agamanya (seperti keberatan meningkatkan ilmu agama) apa agaknya masa depan orang Islam di bumi Kenyalang? Ya, mungkinkah ada yang tersirat di sebalik ungkapan sayang Sarawak sungainya sempit...

No comments: