*****
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan bertasbihlah kamu memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelamnya." (Maksud ayat 130 Surah Taha)
*****
KEBANYAKAN sungai di Sarawak panjang, lebar dan luas; Batang Rajang sebagai contoh adalah sungai terpanjang di Malaysia mengalir sejauh lebih 500 kilometer dengan lebarnya di sesetengah kawasan seperti di Sibu melebihi satu atau dua kilometer. Saya perhatikan kebanyakan rumah di kawasan berhampiran sungai dan paya, dibina di atas tiang - bahagian bawah dibiarkan kosong manakala penghuni mendiami kawasan atas.
Batang Lupar yang terkenal ada 'buaya makan manusia' seperti Bujang Senang sekalipun lebih pendek daripada Batang Rajang, adalah lebih lebar lagi. Bandar terbesar dan termasyhur di tebing Batang Lupar adalah Sri Aman yang dulunya dikenali Simanggang. Di sinilah berlaku fenomena 'benak' (air pasang) yang menarik ribuan pengunjung termasuk dari luar negara.
Sungai dan hutan seakan-akan sinonim dengan bumi Sarawak. Ibu negerinya, Kuching dengan penduduk 650,000 orang terletak di tebing Sungai Sarawak yang juga lebar, saya anggarkan lebih 500 meter. Di tebing ini terletak 'Kuching Waterfront' (Tepian Air Kuching) yang masyhur itu di mana pengunjung boleh menikmati permandangan indah Astana, Fort (Kubu) Margherita, bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kampung-kampung Melayu.
Dari salah sebuah jeti di 'Kuching Waterfront' saya menaiki bot penampang ke kampung Melayu, Tambangnya 50 sen. Dulu ketika melihat gambar atau filem menunjukkan pak penambang 'menguak dayungnya' saya ingat betapa susahnya dia berdayung sedangkan apabila melalui pengalaman itu sendiri tahulah saya pak penambang hanya menguak dayung pada peringkat awal selepas itu dia menghidupkan enjin bot; jadi taklah dia mengerah banyak tenaga untuk menyeberang Sungai Sarawak yang luas itu!
Selain sungainya yang luas, jalan-jalan raya terutama di pinggir bandar raya Kuching lebar-lebar belaka manakala banyak 'roundabout' (bulatannya) uhh, 'masya-Allah' besar sekali. Sebuah bangunan besar boleh dibina dalam bulatan itu!
Sayang Sarawak sungainya sempit...ya ketika menyeberangi sungai dari kejauhan kadang-kadang terdengar suara nyanyian lagu-lagu lama mendayu-dayu di udara dari kampung-kampung di tebing Sungai Sarawak. Mungkinkah 'hiburan demi hiburan' penuh nostalgia masih 'melingkari' orang Sarawak...demikianlah ligat otak saya memikirkan...
Sebelum ke Sarawak, seorang sahabat mencadangkan agar saya mencuba 'mi kolok' - sedap katanya. Saya pun carilah kedai atau restoran yang ada jual 'mi kolok'. Terjumpa sebuah kedai makan yang ada tertulis 'Restoran....(nama Islam) dan juga 'masakan orang Islam'. Keyakinan saya untuk mencuba 'juadah' ini bertambah apabila melihat beberapa perempuan 'pelayan' (atau mungkin pemiliknya) bertudung.
Namun selepas duduk di meja, 'bergetar' juga hati apabila melihatkan pelayan lelaki (atau pemungkin pemilik kedai) ketika menghantar air minuman mempunyai tatu yang banyak di lengannya. Ahh sudah; 'penyedia' mi kolok pula mengerbang rambutnya ketika 'merendam' mi kolok dalam periuk air panas...
Di Kuching saya dan keluarga mendiami sebuah hotel di Petanak, hampir setiap malam terdengar 'lolongan' nyanyian karoake dari kejauhan. Suatu malam kira-kira jam 2:00 pagi, saya dikejutkan oleh bunyi bising yang kedengaran begitu dekat, di bahagian bawah bilik hotel saya di tingkat tiga. Terdengar bunyi botol berderai pecah yang dibalingkan ke jalan raya atau dinding.
Saya mengintai dari jendela, dan melihat seorang lelaki mengamuk. Dia cuba menyerang seorang perempuan daripada sekumpulan perempuan yang saya agak lima atau enam orang. Dia menjerit dalam bahasa apa saya tidak tahu. Namun dia turut melolong dalam bahasa Melayu yang saya dengar antara lain berbunyi: "Cilaka punya perempuan, Lu memang tak guna..." Kemudian terdengar lagi bunyi botol berkecai dibalingnya selepas dia dihalang oleh beberapa perempuan daripada mendekati perempuan itu...
Alhamdulillah, 'drama' itu berakhir juga selepas lelaki mengamuk itu memasuki keretanya dan terus 'blah'. Namun saya tidak dapat melelapkan mata lagi. Terkebil-kebil biji mata macam 'cicak kubin'. Terfikir saya apa hikmah saya menyaksikan 'hal-hal yang kurang elok ini' di bumi Kenyalang.
Pagi-pagi lagi selepas solat subuh hari itu, kami sudah 'check out' dari hotel, meninggalkan Kuching...!
No comments:
Post a Comment