****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
*************
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
*************
PAGI-PAGI lagi terminal feri Sibu sudah sesak dengan orang ramai. Ini kerana hari itu (Sabtu, 20 Disember 2014), ramai perantau seperti pelajar institusi pengajian tinggi (ITP) memanfaatkan cuti panjang hujung tahun termasuk Krismas untuk balik ke kampung masing-masing.
Krismas disambut meriah di Sarawak; Dataran Sibu sudah dihias indah, pagi itu seorang pegawai tinggi polis negeri merasmikan kempen keselamatan ketika orang ramai berpusu-pusu di jalan raya dan juga memenuhi feri yang kebanyakannya memudik Batang Rejang menuju destinasi seperti Song, Kapit dan Belaga.
Di tengah-tengah kesesakan orang ramai di terminal feri, saya menyelinap menyampaikan risalah dakwah bertajuk 'It all began with Read - A Jewish computer programmer accepts Islam'. Sekejap saja 20-30 risalah sudah habis, orang ramai menerimanya 'seadanya' tetapi seorang gadis Iban berusia 19 tahun yang memberitahu dia sedang menuntut di sebuah IPT di Kuching menunjukkan minat mendalam.
Rebecca yang dalam perjalanan ke Song untuk 'pulang berhari raya' di sebuah rumah panjang, tertarik untuk mengetahui hal ehwal berkaitan agama Islam. Dia yang mendakwa bertolak dengan bas ekspres dari Kuching jam 10.00 malam sebelumnya dan tiba di terminal feri Sibu jam 5.00 pagi semakin tertarik apabila saya menyatakan ada persamaan antara Islam dan Kristian; kedua-duanya agama langit (Samawi) namun Islam meletakkan Nabi Isa a.s. sebagai nabi dan rasul dan tidak sebagaimana yang dipercayai penganut Kristian.
Islam sebagai agama fitrah terus berkembang di Sarawak hatta di kalangan orang Iban yang majoriti besarnya beragama Kristian. Orang Iban adalah kaum terbesar di Sarawak, merangkumi 29 peratus daripada 2.5 juta penduduknya. Kunjungan saya ke Sarawak menemukan saya dengan seorang 'saudara kita' di kalangan orang Iban, Siti.........Abdullah, (nama penuhnya dirahsiakan demi keselamatan dirinya), yang berasal dari sebuah rumah panjang di Sri Aman.
Bercakap mengenai pengislamannya, Siti hampir menitiskan air mata. Cahaya Islam memasuki hatinya lapan tahun lalu selepas dia meragui kepercayaan dalam agama Kristian yang membawa perceraian dengan suaminya. Hanya dia dan seorang lelaki berusia 12 tahun memeluk Islam, sedangkan semua anggota keluarganya termasuk seorang anak lelaki berusia 17 tahun kekal dalam agama Kristian.
Sebagai seorang 'saudara kita', Siti meluahkan 'rasa hatinya yang lama terbuku' kerana dirinya begitu tertekan selepas memeluk Islam. Beliau mendakwa kesempatan untuk 'mendekatkan diri kepada Islam' tidak begitu terbuka di Sarawak.
"Jika di Semenanjung ada PERKIM, di sini kita ada 'Harakah Islamiah' (HIKMAH), namun ia kurang berkesan dalam usaha mendidik saudara kita," dakwa Siti. "Saya hauskan ilmu agama, tetapi saya tidak tahu mahu rujuk siapa atau pihak mana. Saya dibuang saudara-mara termasuk ibu bapa, jadi kepada siapa dan di mana saya boleh mengadu?"
"Saudara kita terabai dari segi kebajikannya dan lebih malang lagi orang Melayu tidak ramai yang berani menolong saudara kita; ya orang Melayu kurang sekali membantu apatah lagi berdakwah kepada kaum lain termasuk Iban," dakwanya.
Sepanjang berada di Sarawak, sedikit sebanyak dapat saya menyelami rasa hati seorang insan di kalangan saudara kita seperti Siti. Di kebanyakan tempat yang saya kunjungi hanya siaran TV1 dan TV2 saja yang boleh diikuti; kedua-dua rangkaian ini terlalu banyak propaganda dan hiburan yang membuatkan 'hati kita sesak kerana seakan-akan berada dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an.'
Ketika saya bermalam di Sri Aman, tertengok saya rancangan nyanyian yang menampilkan Ramlah Ram...Subhanallah, sudah terlalu jauh dibuainya dengan nostalgia...jadi saya berpendapat warga luar bandar termasuk di Sarawak sudah banyak didendangkan dengan kisah-kisah lama menyebabkan sesetengahnya 'tertidur dibuai mimpi'.
Menatap akhbar-akhbar berbahasa Melayu Sarawak apatah lagi yang berbahasa Inggeris hampir tiada ruangan agama. Apa yang banyak dipaparkan adalah ruangan hiburan dan majlis keraian rakyat seperti sambutan Krismas. Ada juga diperuntukkan muka surat laporan dalam bahasa Iban, persoalannya adakah ruang untuk berdakwah kepada kaum ini?
Menjalankan usaha dakwah di kawasan pedalaman Sarawak adalah satu cabaran besar, tidak ramai di kalangan orang Islam yang sanggup meredah hutan, menyeberangi sungai dan duduk berhari-hari malah berminggu-minggu bersama kumpulan sasaran termasuk di rumah panjang.
Seorang imam sebuah masjid besar di sebuah pekan besar di Sarawak menyimpulkan hal ini dalam ungkapan yang amat pedas: "Ya sebahagian pendakwah (pegawai agama) yang digajikan kerajaan yang datang dari Kuching hanya sanggup mengajar agama jika mereka disediakan bilik hotel yang hebat dan pengangkutan yang baik...jika tidak, mereka pun tidak sudi ke kawasan pedalaman ini!"
Ya, sebahagian besar masjid di Sarawak terutama di Kuching adalah besar-besar belaka, tetapi agak sepi. Di dinding Masjid Negeri ada tertulis ayat al-Quran (ayat 103, Surah 4, An-Nisa') yang membawa maksud: "Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman" tetapi ketika saya solat zuhur pada suatu hari, jemaah yang ada tak sampai sebaris (hanya kira-kira 20 orang) walaupun masjid itu saya anggarkan boleh memuatkan 20,000 jemaah!
No comments:
Post a Comment