Thursday, July 24, 2014

'Perempuan gengster itu adalah aku'...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah) 


KETIKA ini rakaman video seorang wanita bertudung yang didakwa bertindak ganas dan ekstrem selepas kereta Peugeot 208 miliknya dilanggar kereta seorang pesara di Kuantan, menjadi viral dalam internet.

Ramai orang memilih untuk mengutuk wanita ini,namun pada bulan Ramadan yang mulia ini saya memilih untuk mengaku bahawa 'perempuan gengster itu adalah aku'. 

Ya, ramai daripada kita mendakwa kononnya diri kita baik, tidak buruk seperti perempuan itu, tetapi ketahuilah wahai tuan dan puan sekalian bahawa diri kita ini tidak sebaik mana, hanya Allah melindungkan sikap buruk kita, kalau Dia dedahkan habislah kita...

Bukankah salah satu doa yang kerap kita baca adalah: "Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami dalam keaiban kecuali Engkau sembunyikannya..." Demikianlah perlakukan buruk kita tidak didedahkan oleh Allah, ertinya kita nampak baik bukan kerana kita baik tetapi Allah menolong kita dengan tidak mendedahkan keburukan kita kepada umum.

Kalaulah perlakukan buruk kita dirakam dan didedahkan kepada umum...alangkah malunya dirinya. Namun ingatlah, di akhirat nanti segala keburukan kita akan didedahkan kecuali di kalangan orang tertentu seperti orang yang menyembunyikan aib orang, maka Allah akan menyembunyikan aibnya.

Hanya Allah dan kita yang tahu akan hakikat diri sendiri. Sesetengah ulama memberi panduan bagi mengenal diri sendiri, renunglah mata kita sendiri dalam cermin dan lihatlah diri kita sendiri dalam mata itu. Bukalah pintu hati, akan datanglah keinsafan diri bahawa "aku sebenarnya tidak sebaik yang orang sangka."

Akan terbayanglah segala keburukan diri kita selama ini. Kenangkanlah masa lalu, apabila harta benda kita (termasuk kereta) 'diusik' orang adakah kita orang yang sabar ataupun kita pun bertindak sama macam 'wanita gengster' itu? Bukankah kita pernah menjadi 'Hulk'...naik angin semacam apatah lagi menyedari mangsa yang kita maki hamun itu berada dalam kedudukan lemah?

Orang bertukar menjadi 'Hulk' bukanlah perkara asing...kerap benar kita melihatnya di pejabat, di dalam kenderaan awam malah di rumah sekalipun. Sebagai ketua di rumah, saya takut jika menjadi 'Hulk' kerana gagal mengawal emosi akibat tekanan anak isteri. Menjadi 'Hulk' di rumah lagi senang daripada di pejabat dan di jalan raya sebab orang yang kita hadapi (anak isteri) lebih lemah daripada kita.

Namun di pejabat dan jalan raya, kita tengok-tengok juga sebelum menjadi 'Hulk'. Kalau lawan kita bos kita yang bebadan sasa atau pembuli jalan raya tentunya kita tidak menjadi 'Hulk' sebaliknya jadi 'tikus'.

Ulama berkata berdoalah kepada Allah SWT agar Dia tidak menyerahkan 'diri kita kepada diri kita sendiri'. Jika ini berlaku, kita akan bertindak seperti 'wanita gengster' itu kerana dalam situasi begitu iblis dan syaitan akan menguasai diri kita.

Sebaliknya, berdoalah kepada Allah agar Dia-lah yang menguasai dan menjaga diri kita. Apabila kita berada dalam jagaan dan perlindungan-Nya, terselamatlah daripada menjadi 'gengster' atau 'Hulk'. Hanya orang yang akrab dengan Allah (beriman) akan terselamat kerana semua gerak gerinya adalah berpandukan kehendak Allah. Sifat-sifat mulia seperti reda dan sabar akan menghiasai dirinya.

Ya, wahai pembaca, mungkin ada yang tertanya-tanya apa kena mengena antara 'kisah wanita gengster' dengan 'kisah Tanah Suci'. Berdasarkan pengalaman saya, jemaah haji pun ada yang bertukar menjadi 'Hulk'.

Suatu subuh dapat saya saksikan betapa hebatnya pertengkaran antara seorang jemaah haji lelaki yang isterinya dipaksa meninggalkan dataran Kaabah kerana selepas azan kawasan itu akan dijadikan tempat sembahyang jemaah lelaki sedangkan orang perempuan nun jauh di belakang.

Bayangkanlah di depan Kaabah pun mereka bertengkar, lama pula tu. Namun tidaklah saya ketahui butir-butir kerana bahasa mereka asing pada saya.

Selain 'kelam kabut' sejurus sebelum solat wajib (jemaah perlu memberhentikan tawaf untuk solat), ada juga jemaah bertukar menjadi 'Hulk' ketika mahu mengucup Hajar Aswad. 

Mereka tidak pedulikan apa juga halangan, mereka rempuh saja tidak kira perempuan ke atau orang tua. Kadang-kala sehingga tercampak dan terjatuh jemaah dirempuh mereka. Ada yang dapat kucup Hajar Aswad tetapi kemudian mendapati diri mereka 'dicampakkan' ke atas jemaah lain. Ada pula yang membikin rantaian manusia, mereka menginjak-injak ke depan untuk mencium Hajar Aswad, apa yang terjadi kepada jemaah lain bukan urusan mereka.

Demikian kemungkinan untuk menjadi 'Hulk' ada pada setiap manusia dan pada bila-bila masa tanpa disangka. Akan tiba-tiba saja 'satu angin' datang kepada diri kita, langsung kita tidak sedar apa yang kita lakukan. Itulah kita manusia yang tidak sunyi daripada melakukan dosa. Kata orang, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Menyedari diri sendiri bahawa kita banyak salah dan dosa sudah baik, apatah lagi bermuhasabah untuk mengkoreksinya.

Islam mengajarkan kita; sebaik-baik orang adalah mereka yang bertaubat apabila sudah terlanjur.  Nabi Adam a.s. sendiri memohon doa yang bermaksud: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi." (Maksud Surah Al-A'raaf ayat 23)

No comments: