Wednesday, July 23, 2014

Palestin: Perkota segala janjimu wahai OIC!

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

“Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan apa-apa yang kamu usahakan daripada kebaikan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (Maksud Ayat 110, Surah Al-Baqarah)


BERSYUKUR ke hadrat Illahi kita masih dipanjangkan usia memasuki peringkat terakhir Ramadan yang menjanjikan rahmat dan keselamatan-Nya; pada kesempatan ini kita ingin mengulang-balik jaminan keselamatan warga Palestin malah seluruh umat manusia berdasarkan Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Islami yang diadoptasi oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Deklarasi di Mesir itu yang diluluskan OIC iaitu payung kepada lebih 50 negara Islam pada 5 Ogos 1990, adalah manifestasi iltizam pertubuhan ini dan negara umat Islam untuk menyaksikan seluruh manusia hidup penuh keharmonian yang seimbang antara kehidupan di dunia sekarang ini dan kehidupan seterusnya (akhirat). 

Malah deklarasi itu menjanjikan "...untuk membimbing kemanusiaan yang dibingungkan oleh pelbagai tren dan ideologi yang bersaingan serta menyediakan penyelesaian terhadap masalah-masalah kronik tamadun kebendaan ini."

Deklarasi mengukuhkan hasrat menyumbang kepada usaha umat manusia untuk menegakkan hak asasi manusia, melindungi manusia daripada eksploitasi dan penganiayaan, dan mengesahkan kebebasan dan haknya untuk hidup bermaruah berdasarkan Syariah Islam.

Dalam Artikel 3 deklarasi dinyatakan secara jelas: "Dalam hal penggunaan kuasa dan konflik bersenjata, tidak dibenarkan membunuh golongan tidak berperang seperti orang tua, wanita dan kanak-kanak. Mereka yang cedera dan sakit berhak mendapat rawatan perubatan; dan tawanan perang berhak diberi makanan, tempat tinggal dan pakaian, Adalah dilarang merosakkan mayat yang terkorban...dan dilarang menebang pohon, merosakkan tanaman atau ternakan, dan memusnahkan bangunan awam..."

OIC adalah pelindung umat Islam, demikianlah seluruh dunia terutama negara umat Islam cuba diyakinkan. Namun berdasarkan kekejaman musuh Islam seperti rejim ganas Zionis Israel dan junta Myanmar malah oleh pemimpin negara umat Islam sendiri seperti di Mesir dan Syria; apakah OIC hanya bijak mengatur kata tetapi gagal mengotakannya.

Rejim Tel Aviv sudah melampaui batas kemanusiaan - mereka membunuh kanak-kanak dan wanita dan memusnahkan kemudahan awam seperti masjid - namun amat 'mengerikan' OIC begitu lambat atau tidak langsung bertindak atau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi kuasa besar dan pertubuhan dunia seperti PBB untuk melakukan sesuatu; jadi kita tertanya-tanya apakah ini semua ada kaitan dengan pertubuhan ini kini dikuasai oleh Arab Saudi dan negara Arab sekutunya di Teluk.

Dulu kita tertanya-tanya mengapa dalam krisis Mesir apabila ribuan rakyatnya terutama di kalangan anggota Ikhwanul Muslimin dibunuh beramai-ramai, OIC berterusan membisu. Bukankah 'perampas kuasa' yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi berlaku zalim dengan menjatuhkan Presiden Dr Mohammed Morsi yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang sah?

Begitu ironi sekali Deklarasi Hak Asasi Manusia Islami diadoptasi oleh OIC di Mesir, tetapi di negara inilah segala yang tercatat dalamnya diinjak-injakkan oleh tokoh seperti Al-Sisi dengan OIC hanya berpeluk tubuh.

Jika dalam krisis Mesir (sebuah negara umat Islam) pun, OIC gagal mengotakan deklarasinya sendiri, tentunya dalam isu sejagat seperti kezaliman rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin, OIC hanya 'menikuskan diri'. Inilah yang kita khuatiri pada ketika saudara kita di Palestin terus dibedil dan dibunuh oleh rejim laknatullah pimpinan Benjamin Netanyahu.

Ayuh, umat Islam bangkit daripada tidur, semarakkan 'semangat Badar' pada bulan mulia ini!

No comments: