*******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
******************
Renungan
"Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua-dua ibu bapamu dengan penuh rasa sayang." (Surah al-Israk, ayat 23-24)
**********************
Ada sebuah hadis menyebut bahawa sesiapa mencintai dunia, nescaya memudaratkan akhiratnya, dan sesiapa yang mencintai akhirat nescaya memudaratkan dunianya. Maka hendaklah kamu utamakan yang kekal daripada yang fana.
Tumpuan seluruh dunia kini terarah kepada kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA di Brazil yang berlanjutan sepanjang dua minggu umat Islam meraikan Ramadan, bulan mulia penuh kebarakahan yang ditunggu-tunggu sekian lama. Berlangsungnya kejohanan terhebat pentas dunia ketika Ramadan bolehlah dianggap sebagai antara ujian terbesar yang sesetengah cendekiawan mengibaratkannya sebagai pemilihan antara 'Piala Dunia' dan 'Piala Akhirat' kepada seseorang Muslim.
Pilihlah mana satu anda sukai; namun ingatlah akan maksud hadis yang menyebut bahawa sesiapa mencinta dunia, nescaya memudaratkan akhiratnya; bagi yang mencintai akhirat nescaya memudaratkan dunianya.
Bagi yang mencintai dunia, teruskan agenda anda bersengkang mata pada dinihari menyaksikan pasukan bola sepak pujaan bertarung sejam dua sedangkan bagi yang berusaha gigih menggapai 'Piala Akhirat' itulah masanya untuk merebut kurnia-Nya semaksimum mungkin dengan berqiyamullail - bersolat, membaca Qur'an, berdoa, berzikir, bertakfakur dan amalan lain.
Namun perlulah diingat bahawa pemburuan 'Piala Akhirat' bukan hanya terbatas kepada 'godaan' bola sepak Piala Dunia semata-mata tetapi 'perangkap nafsu diri sendiri' terlalu hebat sekalipun iblis syaitan sudah terbelenggu pada Ramadan mulia ini.
Di tanah air kira, Ramadan bagaikan bulan pesta - daripada hal berkaitan makan, pakaian, perhiasan dan kebanggaan. Menjelang saja Ramadan, wujud pelbagai tempat pelbagai aktiviti tambahan seperti 'Pasar Ramadan, Bazar Ramadan, Pasar Minggu Ramadan, Gerai Ramadan dan Karnival Ramadan', seolah-olah bulan ini adalah untuk perhabis dari segi makan dan kegiatan membeli-belah.
Kita bimbang jika perkembangan ini jika gagal diuruskan mengikut kehendak agama, ia juga terkategori dalam pemburuan 'Piala Dunia'. Jika tersalah langkah, kita bimbang ibadat puasa akan jadi pesta pula nanti dan sejarah merekodkan pesta haji zaman Jahiliah adalah pemesongan daripada ibadah suci murni pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan anak baginda, Ismail a.s.
Pada kemuncak maksiat pesta haji itu, pengunjung Baitullah melakukan tawaf dengan keadaan bertelanjang bulat; jadi dikhuatiri ibadah Ramadan akan bertukar menjadi pesta yang terkandung pelbagai unsur negatif seperti menggalakkan amalan membazir, bercampur-gaul lelaki perempuan ketika majlis berbuka puasa yang dicampur-adukkan dengan pesta hiburan termasuk nyanyian.
Ini juga adalah godaan 'Piala Dunia' yang perlu dihindari dalam kita memburu 'Piala Akhirat'. Beristikamahlah beribadah sepanjang Ramadan Al-Mubarak semoga di pengakhirannya kita menjadi insan bertakwa. Amin.
No comments:
Post a Comment