Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kemudian Kami jadikan kamu di atas suatu jalan yang lurus (syariah) maka hendaklah kamu mengikutinya. Dan jangan sekali-kali mengikut kehendak mereka yang tidak mengetahui." (Maksud ayat 18 Surah Al-Jasiah)
SELESAI bersahur sambil duduk-duduk menunggu waktu untuk ke masjid 16 Ramadan (14 Julai) lalu 'tertengoklah' saya siaran langsung di TV perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 di Brazil. Sudah ditakdirkan 'rezeki' saya, menyaksikan gol cantik jaringan Mario Gotze pada minit-minit terakhir permainan memberikan kemenangan bergaya 1-0 Jerman ke atas Argentina. Inilah satu-satunya detik saya menyaksikan kejohanan Piala Dunia yang berlangsung sebulan sejak 12 Jun.
Jerman berjaya merangkul Piala Dunia; bagaimana pula pencapaian kita setakat ini dalam pencarian 'Piala Akhirat' pada Ramadan mulia ini? Seorang ustaz dalam kuliah subuhnya di sebuah masjid berhampiran rumah saya pada Ahad, 13 Julai, memberitahu antara kayu pengukur mengetahui nilai Ramadan adalah dengan menilai keakraban kita dengan al-Quran...separuh Ramadan sudah berakhir, apakah al-Quran telah mendatangkan kesan pada diri kita?
Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan, katanya, telah menukar ramai insan samseng untuk berlutut mengaku kebenaran Rasulullah s.a.w.; yang paling terkenal adalah Umar Al-Khattab. Dengan mendengar Surah Taha bacaan adiknya, Fatimah; Umar tersungkur, kemudian bergegas menemui Nabi menyatakan keislamannya.
Demikian juga dengan golongan cendekiawan dan disegani seperti Utbah bin Rabiah yang terkelu lidah untuk berhujah dengan Nabi selepas dia yang mewakili kaum Quraisy membuat tiga tawaran kepada Nabi s.a.w. agar menghentikan syair Islam iaitu kuasa, harta dan perempuan. Nabi s.a.w. menghujahkannya dengan sebahagian Surah Fussilat menyebabkan Utbah meminta Nabi s.a.w. menghentikan bacaan dan dia kembali kepada kaumnya dengan tangan kosong.
Al-Quran telah menukar banyak insan, persoalannya bagaimana diri kita? Ada di kalangan kita sudah mengkhatamkannya buat sekian kali tetapi mengapa kita masih di tahap seperti dulu? Mungkin sebahagian daripada kita sudah mengorak langkah positif pada Ramadan ini (seperti ramainya jemaah pada waktu subuh) tetapi apabila menjelang Aidilfitri semuanya 'wal hasil balik asal'.
Hadirilah solat berjemaah waktu zuhur pada Aidilfitri. Mungkin di masjid besar ada sebarisan dua jemaah, tetapi ada masjid kecil dan surau kosong sekosong-kosongnya atau ditutup sama sekali. Demikian juga pada subuh hari berikutnya, ramai orang yang ketika Ramadan sempat berjemaah tetapi pada subuh hari kedua Syawal sudah 'tumbang' kerana penat berhari raya!
Al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk manusia, bukti kebenaran dan pembeza hak serta batil (maksud ayat 185 Al-Baqarah) telah menukar Umar Al-Khattab menjadi insan Islam sejati sepanjang hayatnya. Malah ada hadis menyebut Nabi s.a.w. pernah berkata jikalah ada nabi selepas baginda, orang itu adalah Umar Al-Khattab. Tetapi kita, terutama diri ini bagaimana?
Umar adalah sebaik-baik pemimpin, pada Ramadan mulia ini, saya terjumpa satu risalah di masjid yang membicarakan tanggungjawab pemimpin berdasarkan satu episod kehidupan Khalifah Harun Al-Rasyid daripada bani Abasiyah. Baginda bukan hanya terkenal gagah berani, namun sangat mencintai para ulama. Khalifah sering kali menziarahi para ulama untuk mendengar nasihat dan fatwa mereka.
Ketika menunaikan haji, baginda berjumpa Abdul Aziz Al-'Umari. Beliau adalah seorang ulama alim dan zuhud, Khalifah segera menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan nasihat daripadanya.
Abdul Aziz bertanya: "Wahai Khalifah, adakah tuan melihat kumpulan manusia yang berkumpul di Baitulllah?"
"Ya," jawab Khalifah. "Berapa jumlah mereka?" "Mereka sangat ramai. Bilangan mereka tak terhitung." Al-'Umari berkata: "Ketahuilah wahai Khalifah, setiap orang daripada mereka pada hari kiamat nanti akan ditanya tentang diri mereka sendiri. Akan tetapi engkau akan ditanyakan tentang setiap orang daripada mereka semua."
Mendengar ucapan ini, Khalifah hampir pengsan. Baginda menangis membayangkan betapa beratnya hisab di akhirat bagi sesiapa yang menjadi pemimpin di dunia. Harun Al-Rasyid menangis tetapi bagaimana pemimpin kita termasuk diri ini sebagai pemimpin kecil (seperti mengepali rumah tangga)?
Kata ustaz, Universiti Ramadan telah mengajar kita untuk jujur dalam ikhlas dalam berpuasa. Setitik air yang berkemungkinan memasuki tekak ketika kita mengambil wuduk atau mandi dalam bilik air kita seupaya meluahkannya demi menjaga puasa kita; dan alangkah indahnya jika keprihatinan ini dipraktikkan dalam kehidupan.
Mereka, termasuk di kalangan pemimpin yang menjaga setitik air daripada memasuki rongga ketika berpuasa kerana iman, pastilah akan menjaga dirinya untuk tidak melakukan kesalahan besar seperti makan dan memberi rasuah, menipu dalam pilihan raya, membabitkan diri dalam politik wang, membunuh pesaing politik serta menipu serta menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai skim bantuan dan menyemarakkan amalan perbomohan (syirik dan kurafat). Graduan cemerlang Universiti Ramadan pasti tidak melakukan ini semua!
Ya, pesanan ini juga ditujukan khas kepada diri ini, sang penulis yang banyak mengemukakan buah fikiran yang mungkin kata orang 'cakap (atau tulis) tak serupa bikin'; pada kesempatan Ramadan mulia ini penulis menyusun 10 jari memohon kemaafan kepada semua (ampunilah diri ini), takut-takut ia Ramadanku yang terakhir.
No comments:
Post a Comment