****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
****************
ALHAMDULILLAH, bertemu lagi kita di ruangan muhasabah diri ini; kali ini saya ingin memuzakarahkan perihal kesyahduan jemaah di Makkah dan Madinah ketika menunaikan haji dulu namun selepas kembali ke tanah air ia semakin lama semakin menjauhi daripada diri ini. Ya, kebanyakan kita dapat merasakan ketenangan di Tanah Suci tetapi tidak di tanah air. Kenapa?
Ruangan 'Kisah Dari Tanah Suci' kali ini ingin menarik perhatian pembaca kepada sebuah buku 'bikinan sendiri' Haji Kasiron Haji Redzuan dari Parit Semerah, Pontian, Johor yang menghimpunkan sejumlah karyanya yang tersiar dalam ruangan ini yang diberi nama 'Tiang Soko Ungu' (tajuk salah sebuah artikelnya yang disiarkan dalam Fikrah-Harakah).
Usaha Haji Kasiron menghantar buku itu (salinan artikelnya dan maklumat tambahan termasuk mengenai dirinya yang di'binding' sendiri) kepada saya tidak lama dulu, begitu mengharukan. Pada permulaan buku itu ditulis sebuah sajak bertajuk 'Kaabah'. Berikut disiarkan apa dinukilkan Haji Kasiron dalam muka pertama bukunya itu.
"Ini adalah kesan pertama pengalamanku melihat Kaabah, Rumah Suci, Rumah Allah, Rumah Pusaka, semasa aku dan isteri menunaikan fardu haji di Makkah dan berkesempatan berada Madinah tahun 1992, bulan Mei.
Apabila kurenung Kaabah dengan teliti
Dengan hati hiba dan terbuka
Serta kuketahui sejarahnya
Sejak Nabi Adam dan Nabi Syits
Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s.
Terasa kerdil diriku ini
Di hadapan kebesaran Allah Yang Maha Agung.
Timbul rasa takut dan cemas
Rindu dan hiba.
Terasa dalam hati
Belum ada erti amalanku
Jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat Tuhan
Yang aku terima.
Banyak kesalahan dan kelalaian selama ini.
Apakah akan diampuni Tuhan dosa-dosaku?
Asmaranda
Makkah,
Mei, 1992
Hotel Safa, Makkah berhadapan Babul Madinatul Munawwarah,
Pintu gerbang besar dan tinggi dengan dua menara kembar menjulang ke langit.
Demikianlah, kebanyakan jemaah boleh merasakan kesyahduan dan kedamaian di Tanah Suci seperti dinukilkan Haji Kasiron tetapi semakin lama pulang ke tanah air, perasaan itu semakin jauh. Bagi Haji Kasiron, beliau berusaha keras menyuburkan rasa kesyahduan itu dengan merakamkan kisah-kisah beliau dan isteri di Tanah Suci sama ada dalam bentuk penceritaan atau sajak.
Sebahagian daripada karya Haji Kasiron dihantar ke ruangan 'Kisah Dari Tanah Suci' ini. Di dalam bukunya, Haji Kasiron menukilkan: "Setelah kembali ke tanah air, pengalaman ini saya rakamkan sebagai memoir diri untuk kenangan.
"Tahun 2005, saya hantarkan ke Fikrah-Harakah untuk dikongsi bersama pembaca budiman dan berterusan hingga kini. Ada juga pengalaman sahabat-sahabat lain saya rakamkan.
"Guntingan akhbar 'Kisah Dari Tanah Suci' dalam Fikrah-Harakah (kira-kira 20 buah, antaranya 'Tiang Soko Ungu' yang menjadi tajuk buku beliau, 'Sujud di kaki Negro', 'Dihurung lalat' dan 'Ujian pertama di Jamrah) saya kumpulkan dalam sebuah buku, agar tidak hilang begitu saja. Mungkin untuk dijadikan renungan, muhasabah diri atau setidak-tidaknya menjadi bacaan 'eseng-eseng'. Wallahu alam."
Demikianlah timbul persoalan, mengapa seseorang itu dapat merasakan kesyahduan dan ketenangan di Tanah Suci terutama di Kaabah? Salah satu sebabnya dia berasa terlalu dekat dengan Allah; bukankah Rumah-Nya ada di sana? Ya, perasaan dekat dengan Allah akan mendatangkan kedamaian di hati.
Bagi kebanyakan jemaah di Tanah Suci; hati mereka sentiasa bersama Allah - mereka solat berjemaah lima waktu sehari, sebahagiannya di depan Kaabah. Mereka memperbanyakkan talbiyah dan zikrullah. Mereka melazimi membaca al-Quran, mereka banyak bersedekah.
Bagi Haji Kasiron, dengan mengenang-genang kisah ini, dia sentiasa rasa dekat dengan Allah tetapi tentulah dengan istikamah menunaikan segala perintah-Nya seperti sentiasa menunaikan solat waktu secara berjemaah di masjid.
Jadi jawapan kepada persoalan mengapa kesyahduan dan ketenangan sukar ditemui di tanah air adalah kerana kita semakin lama semakin jauh daripada Allah. Jadi bagaimana untuk kembali dekat kepada Allah SWT?
Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia, marilah kita mengambil kesempatan terbuka untuk kembali dekat kepada-Nya. Beramallah sebanyak mungkin di bulan barakah ini kerana hati yang disibukkan dengan mengingati Allah akan tenang.
Allah akan menenangkan hati orang yang dekat dengan-Nya. Allah SWT berfirman melalui ayat 28-29 Surah Ar-Rad' yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang beriman dan beramal salih, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya."
No comments:
Post a Comment