Saturday, June 2, 2012
Iktibar kisah nyamuk, lalat...
***************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan ******************** Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." ****************
HIDUP tidak selalunya indah. Kadang-kadang, entah apa sebabnya, dalam menjalani kehidupan ini kita terasa bagaikan berada di bahagian bawah roda yang berputar; kita rasakan diri ini bagaikan tidak diperlukan. Kita dapat merasakan betapa sepinya diri sekalipun di sekeliling ramai orang.
*********************
Bagi saya, saat-saat ini saya perlukan bahan inspirasi yang dapat menaikkan semangat. Tentunya pegangan agama yang kuat dapat membantu, misalnya jika kita fikir sesuatu derita yang kita alami itu sudah teruk dan tidak tertanggung, bayangkan derita berlipat kali ganda menunggu di alam kubur dan di akhirat sana. Jadi kita dapat rasakan sakit di dunia tiada apa-apa, ia akan berakhir jua tetapi derita di akhirat tiada penghujungnya sebab kematian sudah tiada lagi sedangkan di dunia kematian mengakhiri sesuatu penderitaan.
********************
Ketika membelek-belek sebuah buku, saya terjumpa kisah ini yang mungkin dapat memotivasi pembaca. Jika anda ingat diri anda tidak ada apa-apa (tidak dapat menyumbang sesuatu atau memberi kesan kepada orang lain), jadikan nyamuk atau haiwan halus lain sebagai iktibar.
************************
Sedang anda solat, seekor nyamuk mengnyiang-nyiang di telinga. Ia cukup mengganggu konsentrasi. Anda cuba menghalaunya tetapi gagal. Nyamuk itu berterusan mengganggu anda. Anda gagal khusyuk sehingga habis solat. Anda menyumpah nyamuk itu - seekor nyamuk kecil yang nampak tidak berdaya telah ‘menggagalkan’ solat anda.
*************************
Anda dan keluarga sedang makan tengah hari. Lauk sedap-sedap belaka. Seekor lalat hijau terbang bagai roket, hinggap pada pinggan kari ayam kegemaran anda. Anda mengibas, cuba menghalaunya. Lalat itu pergi tetapi datang lagi, hinggap pula pada nasi anda. Anda geram. Kurang ajar punya lalat. Anda ambil surat khabar, memukul lalat itu. Tidak kena, sebaliknya terpukul pinggan kuah kari ayam yang terbalik, tertumpah menyimbah tubuh isteri anda. Wah, mengamuklah si isteri, jadi seekor lalat kecil yang nampak tidak berdaya telah menggagalkan rancangan anda untuk menikmati jamuan yang damai dengan seisi keluarga.
************************
Kisah dari Quran, menyatakan Raja Namrud (raja ketika zaman Nabi Ibrahim a.s.) menjadi tidak keruan sehingga mati selepas seekor nyamuk masuk ke hidung dan otaknya. Demikianlah jika nyamuk dan lalat boleh memberi kesan dalam kehidupan, apakah anda tidak boleh memberikan apa-apa sumbangan, termasuk membantu pihak berhak menewaskan penguasa batil berdasarkan perkembangan semasa.
************************
Sesuatu sumbangan itu mungkin nampak kecil, tetapi hasilnya, masya-Allah...Cuba pembaca hayati kisah ini...
**************
Saudara LanH,
******************
Saya pernah terbaca pandangan anda di akhbar Harakah tidak lama dulu mengenai kelas belajar memandu kenderaan yang tidak ramai tenaga pengajar wanita dan keadaan ini menjadi kesulitan pada calon-calon pemandu wanita terutama yang beragama Islam.
*******************
Selang tidak berapa selepas itu, saya mendapati hal itu benar-benar berlaku terhadap saudara mara saya sendiri kerana dua anak saudara saya enggan belajar memandu kereta lagi walaupun sesi latihan sudah dibayar oleh ahli keluarga mereka. Ini kerana lelaki Cina yang mengajar selalu memegang tangan mereka semasa menunjukan cara memegang dan menukar gear. Lama kelamaan, teknik cara mengajar lelaki itu sudah seperti hendak menggatal pula.
*******************
Tidak cukup dengan adegan sebegitu, lelaki tadi berbahasa seperti mencarut pula bunyinya apabila menyebut perkataan “pantas, pantas... ” Maklumlah lelaki itu pun bersekolah tidak setinggi mana dan berbahasa Melayu pun ala kadar sahaja.
*******************
Mengambil iktibar daripada kisah dua anak saudara saya itu, saya terpanggil menubuhkan sebuah pejabat mendaftarkan calon-calon memandu kenderaan yang mengutamakan wanita di No 10-A, Taman IKS Tangga Batu, Melaka dan mula beroperasi pada 1 Mei lalu. Alhamdullilah, sambutannya amat menggalakan terutama di kalangan wanita kerana institut memandu kami di kawasan industri Krubong, Melaka kini mempunyai ramai tenaga pengajar wanita Islam selepas kami menyedari keperluannya.
********************
Terima kasih kepada Saudara LanH yang telah membuka minda saya melalui celoteh anda dahulu hingga memberi peluang kepada Koperasi Bumijaya Melaka Berhad pimpinan saya membuka sebuah pejabat pendaftaran lesen memandu kenderaan, termasuk memenuhi keperluan fardu kifayah, pengajar wanita mengajar pelajar wanita bagi mendapatkan lesen memandu. – Haji Abdul Aziz Haji Othman, Klebang Besar, Melaka, tel: 019-6267887
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment