Thursday, June 7, 2012
Baik pemimpin, baiklah orang dipimpinnya
*********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***********************
Renungan
Hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.;“Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama).”
*********************
Dewasa ini kita dapat saksikan betapa kroniknya masyarakat. Aneka jenayah semakin menjadi-jadi. Pembunuhan, rogol, memeras ugut, merompak dan rasuah sudah menjadi bahan biasa hiasan dada-dada akhbar dan media elektronik.
***************
Daripada institusi keluarga sehinggalah ke peringkat tertinggi seperti pemimpin kerajaan semuanya bermasalah. Malah ada pemimpin negara mempamerkan contoh buruk dengan menggalakkan budaya asing K-pop. Jadi tak hairanlah jika anak muda kita pun terkinja-kinja akan K-pop, budaya songsang yang cuba diterapkan dalam masyarakat.
******************
Gejala songsang ini seolah-olah tidak mempunyai penamatnya. Lagi ditegur, lagi menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat pun tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi.
****************
Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Di sini kita berharap masyarakat dapat membuka hati dan fikiran agar permasalahan ini dapat dilerai bersama.
******************
Kata pepatah Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'.
*******************
Demikianlah, kita percaya sebahagian daripada punca generasi muda kita semakin tidak terkawal adalah persekitaran yang begitu membingungkan.
****************
Jika di rumah dan sekolah, segala keluhuran diterapkan tetapi apabila berada di luar, anak-anak hilang punca.
******************
Di luar sana pelbagai suasana negatif mereka saksikan dan hadapi. Misalnya, akhbar dan majalah lucah serta separuh lucah membanjiri pasaran.
********************
Apabila menjenguk gerai-gerai majalah, kira-kira 80 peratus daripada bahan bacaan, memaparkan gambar-gambar wanita dalam aksi keterlaluan.
********************
Sebaliknya pula, amat kurang sekali bahan bacaan bermutu yang dapat menyuntik minda generasi muda. Demikian juga pengaruh media massa lain seperti televisyen dan radio dan kini internet. Dalam akhbar pun disiarkan keputusan judi (empat nombor ekor).
*****************
Jika dalam usia setahun jagung, anak-anak didedahkan dalam suasana kurang sihat, bagaimana mereka dapat membesar dalam keadaan bebas daripada gejala negatif?
*******************
Di sini kita ingin bertanya, mengapakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu mudah memberi kebenaran kepada penerbit untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan generasi muda, seterusnya masyarakat dan negara?
****************
Generasi muda juga mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama.
*******************
Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang.
*****************
Pemimpin mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda.
*******************
Jika pemimpin gemar dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama.
Agama rakyat adalah berdasarkan agama pemimpinnya. Ia bermaksud, jika seorang pemimpin itu patuh kepada agamanya, rakyat akan mengikutinya. Sebagai contoh, ramai daripada Khalifah Bani Umaiyah kaki hiburan, maka ramai rakyat kaki hiburan tetapi apabila Khalifah Umar Abdul Aziz yang warak naik takhta, maka rakyat pun menjadi taat kepada agama.
*******************
Kita bimbang jika pemimpin kaki pelbagai noda seperti menjadi pembunuh, kaki perempuan, kaki rasuah, penipu, dan talam dua muka; rakyat pun akan berperangai sama sebab hal ini sudah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadisnya yang antara lain bermaksud “baik pemimpin baiklah orang dipimpinnya.”
********************
Manakala orang Melayu pula berkata, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari! Kalau pemimpin pembunuh, maka rakyat pun cenderung menjadi pembunuh. Inilah kita bimbangkan, nauzubillah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment