Tuesday, June 12, 2012

Antara suami salih, 'sporting', bangang dan dayus

********************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************** Renungan ******************** Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ******************************** “APAKAH doa kamu?” **************** “Semoga dapat suami salih.” ****************** Jawapan begini biasa diberikan gadis termasuk artis seksi yang bakal mendirikan rumah tangga ataupun pengantin baru. Kebanyakan wanita jika diajukan soalan mengenai jodoh, mahukan suami salih. ********************** Tetapi apakah suami salih yang diidamkan itu, benar-benar memenuhi keperluan dan kehendak wanita? Cuba kita jengok apa yang berlaku dalam sesebuah rumah tangga selepas doa si gadis untuk mendapatkan ‘lelaki salih’ mungkin sudah dimakbulkan Allah. ************************ Suami yang salih tidak akan duduk-duduk di rumah saja. Dia tidak boleh berada di bawah ketiak isteri sepanjang hari. Ini kerana jihad fisabillah termasuk berjuang dalam jemaah adalah antara program lelaki salih. ********************* Suami yang salih akan sentiasa keluar untuk berjuang. Misalnya, jemaah PAS atau Tabligh sibuk dengan programnya. Kadang-kadang tidak pulang pada malam hari malah ada ketikanya beberapa hari. Perkara ini tidak disukai kebanyakan isteri. Macam mana ni, dulu awak dambakan suami yang salih, apabila dah dapat awak tak suka pula cara hidupnya. ************************ Lelaki yang salih juga akan menjadikan masjid dan tempat pengajian (markas) sebagai ‘rumah keduanya’. Ini pun kebanyakan isteri tak suka. Asyik-asyik ke masjid, kata mereka. ******************* Lelaki yang salih amat taat kepada ibu bapanya. Malah kewajipan untuk berbakti kepada orang tuanya adalah lebih besar berbanding kepada isteri dan anak-anaknya. Ada suami yang sedaya upaya memuaskan hati dan berkhidmat kepada kedua-dua ibu bapanya. Perkara ini membuatkan sesetengah isteri amat cemburu. Macam mana ni, dulu awak kata mahukan lelaki yang salih tetapi kini selepas mendapatkan lelaki salih, awak tak senang hati pula. Sudah lupakah doa kamu dulu untuk mendapatkan lelaki salih? ********************** Lelaki yang salih juga tidak hidup bermewah-mewahan dan berperangai boros. Sebahagian wangnya dihabiskan untuk perjuangan. Dia juga tidak berani terima rasuah atau merasuah atau makan segala macam duit daripada sumber yang haram. ****************** Jadi dia tidak dapat kumpul banyak harta dan tidak dapatlah beri barang-barang mewah seperti rumah besar, kereta besar dan rantai berjela kepada isteri dan keluarganya. Berhubung perkara ini ada isteri yang tidak tahan. Pelik, dulu awak mahukan suami yang salih, tetapi apabila sudah mendapat lelaki yang mempunyai cirri-ciri berkenaan, awak tak suka pula sikapnya. ****************** Lelaki yang salih berusaha keras menjauhkan diri daripada membuat maksiat. Dia selalu tegur si isteri yang cuba berpakaian seksi atau tak solat. Dia buat yang halal saja dan tinggalkan yang haram seperti ada perempuan simpanan (mistress). Salah satu perkara halal ialah kahwin lebih daripada satu, malah sampai empat. ********************** Perkara ini lagi ramai isteri tak suka dan tak mahu bincangkan langsung. Macam mana ni, dulu bukan main lagi doa mahukan lelaki yang salih, sekarang kamu cukup takut dia berpoligami tetapi ok saja jika bermaksiat dengan perempuan lain asalkan jangan memadukan kamu! *********************** Seorang cendekiawan menyenaraikan sejumlah kriteria mengenai lelaki salih antaranya; sentiasa taat kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w., jihad fisabilillah adalah program hidupnya, mati syahid adalah cita-cita hidupnya yang tertinggi, sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran daripada Allah SWT, ikhlas dalam beramal, kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya sangat takut kepada Allah SWT dan ancaman-Nya, selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya, zuhud dalam dunia tetapi tidak meninggalkannya. ******************** Kriteria lain adalah solat malam menjadi kebiasaannya, tawakal penuh kepada Allah SWT dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah SWT, selalu berinfak sama ada dalam kelapangan atau sempit, menerap nilai kasih saying sesama mukmin dan ukhuwah antara mereka, sangat kuat amar makruf dan nahi mungkarnya, sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan, pemaaf dan berlapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling koreksi sesama insan dan tawaduk penuh kepada Allah SWT dan berkasih sayang dengan penuh pengertian kepada keluarga. ********************* Selepas kahwin ramai wanita tidak suka jika suami mengongkong mereka. Jika nak mengenakan pakaian terdedah, suami perlu dibiarkan. Jika mahu keluar dengan kawan-kawan termasuk teman lelaki biarkan. Jika mahu terus 'bermain wayang' (berlakon) sekalipun ada adegan di atas ranjang biarkan atas nama seni. *********************** Wahai wanita, ini bukan lelaki salih, tetapi lelaki didakwa 'sporting' dalam istilah orang sekarang. Dari segi agama lelaki ini dipanggil dayus manakala sesetengah pihak menggelar mereka lelaki 'bangang'! Jadi kalau benar-benar mahu mencari suami salih, jadilah isteri yang salihah. Carilah ilmu bagi mengerti ciri-ciri lelaki salih dan wanita salihah. Jangan mulut saja pandai menuturkan: "Saya berdoa mendapat suami salih!" Tetapi jadilah isteri (wanita) salihah.

No comments: