Tuesday, June 26, 2012
Antara getah gelang, pemadam getah dan ‘handset’…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan ******************** Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." ****************
******************
DIDIKLAH anak-anak kamu untuk menghadapi zamannya, bukan zaman kamu, demikian antara lain kata-kata masyhur Sayidina Ali Karramallahu wajhah (k.w.).
****************
Kira-kira 10 tahun lalu, saya perasaan seorang anak saya yang berada di sekolah rendah terbabit dalam sejenis permainan menggunakan pemadam getah. Kegunaan alat ini adalah untuk memadamkan tulisan pensil tetapi lain pula dibuat oleh anak saya itu dan rakan-rakannya.
*****************
Dalam permaianan membabitkan sekurang-kurangnya dua orang ini, pemadam getah itu digerakkan dan pemenangnya adalah orang yang berupaya meletakkan pemadamnya di atas pemadam lawan. Si pemenang akan mengambil pemadam rakan yang kalah.
****************
Saya naik angin dengan anak saya selepas menemui berpuluh-puluh pemadam dalam begnya.
**************
Saya jelaskan kepadanya permainan itu tidak wajar diteruskan kerana adalah membazir untuk membeli begitu banyak pemadam lagi pun akiviti itu melekakannya daripada pelajaran. Saya meminta dia berhenti daripada terbabit daripada permainan itu.
*****************
Permainan getah pemadam ini adalah baru bagi saya. Pada zaman saya kecil dulu, permainan yang menjadi kegilaan budak-budak adalah getah gelang yang berwarna-warni tetapi sekarang sukar menjumpai getah gelang ini. Zaman saya adalah ‘zaman getah gelang’ tetapi zaman anak saya itu adalah ‘zaman getah pemadam’.
******************
Tidak pernah terlintas dalam dalam fikiran saya, getah pemadam boleh dijadikan bahan pertaruhan dalam permainan di kalangan kanak-kanak. Apa yang saya tahu adalah getah gelang tetapi zaman sudah berubah; si anak itu sudah bermain getah pemadam tetapi anak zaman sekarang lebih dahsyat lagi…anak-anak bermain ‘handset’ dan pelbagai permainan elektronik lain. Telefon bimbit kini bagaikan permainan saja bagi mereka.
*****************
Perkara inilah yang rasanya seperti tidak tertanggung lagi oleh kebanyakan ibu bapa dan guru-guru. Anak-anak zaman sekarang sudah terlalu ke depan dalam teknologi komunikasi ini sehinggakan budak sekolah rendah yang belum sampai 10 tahun pun sudah biasa dengan istilah seperti ‘top up’ dan‘reload’.
********************
Macam mana jantung ibu bapa tak rasa ‘macam mahu putus’ atau guru ‘naik angin’ kerana ada sesetengah daripada anak-anak ini tidak ‘berenggang’ langsung daripada ‘toy’ baru ini. Dulu saya naik angin dengan anak yang bermain getah pemadam tetapi sekarang ‘budak yang masih berhingus’ pun sudah ada ‘handset’ yang dibelinya sendiri dengan menggunakan duit hasil kutipan pada hari raya. Aduh, sungguh canggih ‘toy’ budak-budak zaman sekarang!
***************
Berhubung perkembangan ini, saya tertarik dengan maksud kata-kata hikmah Sayidina Ali k.w. bahawa didiklah anak-anak sesuai dengan zamannya manakala Sayidina Umar Al-Khattab pula mengingatkan ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak berlainan dengan cara mereka dididik sebab Allah melahirkan anak itu berlainan zaman daripada zaman ibu bapanya.
*****************
Jika dulu, apabila seseorang itu bercakap seorang diri, kita copnya sebagai gila tetapi sekarang dengan wujudnya pelbagai gajet elektronik ini, kerap benar kita temui anak muda yang bercakap seorang diri. Kadang-kadang kita lihat mereka tersenyum, ketawa dan menjerit ‘sorang-sorang’, jadi bagaimana mak bapak atau cikgu zaman sekarang ini tak ‘tension’ dibuatnya?
*****************
Ya, ramai ibu bapa cuba didik anak-anak mereka sebaik mungkin. Apabila bersama anak-anak bolehlah kita pantau kegiatan mereka, tetapi apabila berada di luar persekitaran rumah tangga, anak-anak kerap tergoda dengan pengaruh luar. Tentunya permainan gelang atau pemadam getah bersifat 'mati' (tiada reaksi dan respons) tetapi gajet elektronik cukup bahaya kerana boleh memberi respons (bahan) tanpa sempadan. Ngeri memikirkan jika anak-anak kita dalam usia hingusan itu sudah menjadi ketagih dalam mengakses bahan-bahan lucah dan sampah.
*******************
Zaman teknologi maklumat inilah menjadikan ibu bapa dan guru semakin tercabar kerana kerap berlaku apa yang mereka ajar tidak sejajar dengan persekitaran. Misalnya media massa semakin teruk dengan bahan lucah dan pembohongan, orang politik semakin banyak menyeleweng manakala jenayah semakin menjadi-jadi. Jadi pendidikan anak-anak semakin sukar; bagaimana agaknya kita perlu lakukan agar tindakan kita bertepatan dengan ingatan Sayidina Ali - didiklah anak-anak kamu untuk menghadapi zamannya...takkan kita nak suruh anak kita main getah gelang lagi.
**************
Menghalang anak-anak main gelang dan pemadam getah mudah tetapi bagaimana mahu membendung mereka daripada bermain 'toy' masa kini? Sama-samalah kita fikirkan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment