Friday, January 13, 2012

Pakatan kuasai Melaka, tetapi bagaimana nasib PAS?

***************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Nabi s.a.w. bertanya Abu Musa al Asy'ari r.a.; "Mahukah aku tunjukkan kepada kamu (simpanan) harta khazanah daripada harta-harta khazanah di syurga?" Abu Musa menjawab: "Sudah tentu Ya Rasulullah." Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: (zikir) "La Haula Wala Quwwata Illa Billah" yang bermaksud "Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan Allah Ta'ala." (HR. Imam Bukhari dan Muslim)

*******************
TULISAN saya dalam ruangan ini dengan tajuk 'PAS perlu pasukan boleh menang di Melaka' mendapat reaksi sedikit panas di kalangan pemimpin, ahli PAS dan pembaca. Sumber memberitahu saya, ia turut dibincangkan dalam satu mesyuarat kepimpinan negeri baru-baru ini.

Seorang sahabat pula memberitahu saya, berdasarkan perubahan sokongan (swing) yang sungguh ketara di kalangan pengundi bukan Melayu (Islam), Pakatan Rakyat diyakini akan membuat kejutan seterusnya memenangi kepimpinan negeri Hang Tuah pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata hal itu sejajar dengan pandangan mengejutkan Pengerusi Zentrum, Dr Hassan Hasbullah bahawa negeri dengan 28 kerusi Dun ini akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, KeADILan dan DAP.

Bagaimanapun, sahabat itu mengingatkan pihak yang akan mencatatkan kejayaan gemilang adalah DAP yang berkemungkinan besar akan menang tujuh daripada lapan kerusi yang ditandinginya (sekarang ini DAP ada lima kerusi; pada 2008 dulu cuma kalah di Duyong, Bemban dan Kelebang dengan majoriti kecil), KeADILan memenangi beberapa kerusi daripada tujuh kerusi yang diperuntukkan kepadanya manakala nasib PAS yang bertanding di 13 kerusi (yang terbanyak) terus menjadi tanda tanya.

Jika PAS masih terkial-kial untuk mendapatkan 'anak sulungnya', bolehkah ia menjadi pihak dominan dalam Pakatan Rakyat? Berdasarkan perubahan terlalu perlahan orang Melayu Melaka yang masih dibuai mimpi 'kisah Hang Tuahnya', dikhuatiri PAS yang bakal bertanding menentang Umno di kawasan dominan Melayu, tidak akan ke mana-mana. Inilah satu persoalan yang sangat merisaukan sahabat saya itu.

Berdasarkan prestasi PAS yang kurang memberangsangkan di kawasan majoriti pengundi Melayu yang tinggi seperti Tanjung Bidara (lebih 90 peratus) tetapi agak baik di Dun yang bersifat bercampur-campur seperti Durian Tunggal (Melayu 67 peratus), pada pilihan raya umum lalu (2008), apakah pendekatan yang boleh diambil PAS?

Mungkin pandangan pembaca ini sedikit sebanyak boleh dijadikan sandaran: "Saya amat tertarik dengan coleteh saudara LanH mengenai PAS perlu pasukan boleh menang di Melaka. Biarlah saya memperkenalkan diri dahulu.

"Saya bukanlah orang jati Melaka; saya dan suami merantau ke Melaka kerana urusan kerja suami saya dan sudah menetap selama tujuh tahun di sini.

Pada pendapat saya sepanjang tinggal lama di sini memang mengundang macam-macam perasaan terhadap orang Melayu di sini,kadang-kadang nak ketawa pun ada,nak marah pun ada,kesian pun ada.

Pada saya orang-orang PAS di sini kurang bergaul berbanding orang-orang Umno; saya dan suami selalu duduk di kedai makan hanya nak tengok gelagat orang-orang Umno ni,pada pemerhatian saya, mereka ni memang peramah jika di banding dengan orang-orang PAS.

Dari situ bagi saya orang-orang Melaka menilai yang PAS ini bukan pilihan yang bagus untuk disertai,satu lagi corak pemikiran orang-orang Melaka ini daripada yang tua hingga yang muda sama,iaitu Umno boleh bagi mereka macam-macam .

Dan selalu mereka berpandangan kalau PAS memerintah, budaya Melayu akan lenyap kerana hukum hudud. Mereka juga fikir, kalau Pakatan Rakyat memerintah Melaka, orang-orang Cina besar kepala. Ini satu lagi isu yang saya rasa perlu diambil kira, orang Melaka ni terlalu bangga jadi Melayu daripada menjadi seorang Islam.

Daripada cara mereka yang saya kenal, boleh kutuk Islam mereka tapi jangan kutuk ke-Melayuan mereka boleh mengundang amarah yang teruk.

Daripada apa yang saya luahkan sebenarnya banyak lagi kelemahan PAS di Melaka ini; bagi saya orang PAS perlu ubah cara bermesra dengan orang tempatan daripada memandang sinis mereka ini.

Pernah seorang kawan saya meluahkan perasaan dia pada saya,dia berkata orang-orang PAS ini anggap kalau bukan PAS dah terpesong,saya tidak salahkan dia cuma terkilan dengan tanggapan dia mengenai PAS. Saya harap pandangan saya dapat disampaikan kepada ahli-ahli PAS Melaka untuk lebih bagus pada masa-masa akan datang." - Yang Benar, Perantau di Melaka

2 comments:

KYS said...

Tuan LanH,

Saya ini orang Melaka tetapi telah lebih 10 tahun merantau ke Johor. Saya ini orang kampung dan dibesarkan dalam keluarga yang menyokong PAS. Usrah, ceramah agama, ceramah politik, usrah mingguan semua ibu-bapa saya bawa walaupun masih kecil. Bayangkan dalam satu kampung hanya kami yang menyokong PAS. Orang lain semua sungguh pekat biru BN-nya. Pada pendapat saya memang payah hendak mendekati orang-orang Melaka yang menyokong UMNO. Mereka tersangatlah taksub dengan UMNO. Ini kerana pertama, mereka bodoh atau jahil dan kedua mereka tidak mempunyai roh Islam dalam jiwa mereka. Orang Melaka memang peramah tetapi mereka terus dibodohkan dan dikhayalkan oleh UMNO. Yang kita boleh berharap sekarang anak-muda yang telah sedar dan mendapat maklumat yang betul dari media baru agar membuat pencerahan kepada ibu-bapa mereka. Ceramah PAS harus diadakan selalu. Orang PAS juga haru melupakan semangat berpuak-puak mereka untuk memajukan PAS Melaka. Ikhlaskan hati dan teguhkan jiwa. Jaga akhlak. Mesrakan diri dengan masyarakat sekeliling. Selebihnya kita bertawakallah pada Allah. Orang-orang Cina telah beralih undi, apa nak jadi dengan orang Melayu. Mahu tak mahu jika pakatan rakyat menang orang Cina yang akan memegang jawatan Ketua Menteri. Tapi sebenarnya saya tak kisah KM Melaka di pegang oleh orang Cina. Selagi dia benar dan adil. Apa-apalah ASALKAN BUKAN UMNO. ABU!ABU! ABU!

anakabu88 said...

saya tertarik dengan satu ayat oleh KYS....
"Orang PAS juga haru melupakan semangat berpuak-puak mereka untuk memajukan PAS Melaka"
klau dapat minta penjelasan sikit..