Friday, January 6, 2012

PAS perlu pasukan boleh menang di Melaka

************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Maksud Ayat 6 Surah Al-Hujurat, 49)
***************

KESEMPATAN bercuti, antara lain saya manfaatkan untuk mendengar pandangan dan keluhan ahli PAS peringkat bawahan mengenai peluang PAS dan rakan Pakatan Rakyatnya di negeri bersejarah yang penduduknya terus berbangga dengan legasi Hang Tuah.

Ketika duduk-duduk di beranda sebuah masjid, seorang pemuda (pekerja) yang sedang menyiapkan bangunan tambahan masjid itu menyapa saya; “Abang percaya Hang Tuah ada tak?” Dengan segera saya jawab: “Percaya atau tidak kewujudan Hang Tuah tak penting, yang penting percaya dan yakin kepada Allah. Jom pi solat.”

Pemuda itu terpinga-pinga, mungkin ajakan itu agak asing baginya. Biasanya buruh (bukan semua) begitu kuat bekerja termasuk mengangkat batu, tetapi apabila masuk waktu solat, mereka menjadi lemah untuk mengangkat wuduk seterusnya solat.

Demikianlah, saya cuba gambarkan bahawa orang PAS Melaka perlu yakinkan orang Melayu Melaka untuk mengundi parti Islam pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus menolak mitos hanya Umno saja yang mampu memerintah seperti kejapnya keyakinan mereka akan wujudnya Hang Tuah.

Pada pilihan raya bagi Dun Melaka yang mempunyai 28 anggota, biasanya PAS diperuntukkan 13 kerusi, DAP lapan dan bakinya kepada KeADILan. Pada pilihan raya lalu (Mac 2008) PAS dan KeADILan tidak mendapat apa-apa (kosong) manakala DAP menang lima kerusi.

Masa semakin singkat, PAS gagal mendapat anak sulung termasuklah peluang keemasan ketika pilihan raya kecil Dun Merlimau Mac tahun lalu (2010). Berdasarkan perkembangan ini, bagaimana gambaran masa depan PAS pada pilihan raya ke-13 yang berada terlalu hampir ini?

Seorang bekas pemimpin PAS pernah meminta saya mengutarakan nasihatnya sebelum PAS Melaka memasuki gelanggang pada pilihan raya berikutnya.

Beliau sedih kerana dakwanya pemimpin dan ahli PAS Melaka ada puak-puak tertentu. Hal ini tentu tidak baik untuk masa depan parti apatah lagi bagi menghadapi jentera Umno-BN yang memperkuda segala kemudahan awam. Menurut beliau segala kekuatan perlu digembleng bagi menghadapi fitnah dan tomahan Umno-BN di samping memenangi hati rakyat Melaka terutama orang Melayu yang dilihat mahu terus hidup seadanya dulu, kini dan selamanya.

Katanya, keputusan pilihan raya kecil Dun Merlimau sewajarnya jadi kayu pengukur bahawa hakikatnya PAS Melaka tetap gagal mendapat tempat di hati pengundi, terutama orang Melayu. Berdasarkan ketidak-mampuan PAS menerbos minda orang Melayu inilah, pemimpin PAS perlu jitu; bersatu dalam satu saf kuat bagi memenangi hati mereka di samping menangkis hujanan dan lambakan kemewahan dan janji manis oleh pemimpin Umno-BN negeri.

Berkenaan hal ini, seorang bekas pemimpin Pemuda PAS Kawasan, menasihatkan setiap Kawasan; daripada Yang Dipertuanya kepada seluruh ahli berpadu tenaga; melupakan sengketa dan amalan berpuak-puak untuk berjuang sepenuh tenaga bagi mendapatkan kemenangan.

Dan kepada yang tidak terpilih atau rasa diri mereka disisihkan, usahlah merajuk!

Katanya, walaupun ada Yang Dipertua menang dengan hanya satu undi pada pemilihan lalu, pasukannya yang akan diketengahkan pada pilihan raya nanti perlu disokong dan bantu sepenuhnya; jangan ada amalan pulau memulau atau enggan bekerja disebabkan calon dipilih bukan pilihan mereka.

Beliau juga mengingatkan bagi PAS negeri Melaka yang masih gagal melahirkan anak sulung; mereka bukan hanya perlu mengetengahkan calon boleh menang tetapi juga pasukan boleh menang kerana orang Melayu Melaka yang tetap setia dengan semangat Hang Tuahnya; tetap mahu melihat seorang Melayu berada di puncak persada kuasa…Ketua Menterilah!

No comments: